Oleh : TUN DR MAHATHIR MOHAMED
KE MANA sahaja saya pergi,
di Malaysia atau luar negara, saya akan ditanya bila pilihan raya akan
diadakan. Saya harap saya tahu jawapannya tetapi Perdana Menteri tidak
memberitahu saya apa-apa, dan lazimnya hanya Perdana Menteri yang boleh
menentukan tarikh tersebut. Sudah tentu tarikh itu tidak boleh melangkaui
tempoh lima tahun hayat Parlimen.
Soalan seterusnya ialah sama
ada Barisan Nasional (BN) akan menang. Jawapan saya BN akan menang. Tetapi
sebesar mana kemenangan itu sangat penting. Malaysia tidak boleh ditadbir oleh
Parlimen yang berbelah-bahagi (hung parliament) atau sebuah kerajaan yang
lemah. Keduanya tidak baik untuk Malaysia kerana semua akan tumpu kepada
politik dan ekonomi serta pembangunan akan diketepi.
Ramai yang berkata
Perikatan/BN telah berkuasa terlampau lama. Benar. Saya percaya bahawa sesuatu
pemerintahan tidak boleh terlalu lama. Tetapi sekarang saya tidak begitu yakin
pandangan saya boleh diguna pakai untuk semua keadaan.
Ini kerana alternatif kepada
BN adalah sesuatu yang menakutkan. Ia dipimpin oleh seorang yang obsesi hanya
hendak jadi Perdana Menteri tidak kira bagaimana sekalipun. Dulu saya
tertanya-tanya mengapa dia menyertai Umno dan bukan Pas. Sekarang saya faham.
Dia akan melakukan apa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri.
Menyertai Umno dan tidak
Pas, yang pemimpinnya tidak pernah jadi Perdana Menteri, dia akan menjadi
Perdana Menteri hanya dengan memanjat tangga kepimpinan Umno.
Sebaik sahaja menyertai Umno
dia bertanding jawatan Ketua Pemuda. Kemudian dia bertanding Naib Presiden
seterusnya Timbalan Presiden. Langkah selanjutnya ialah menjatuhkan Presiden dan
menjadi Perdana Menteri. Ia amat mudah.
Tetapi Perdana Menteri
kelihatan tidak mahu berundur. Maka dia memulakan gerakan sulit memburukkan
Perdana Menteri. Apa yang berlaku sudah menjadi lipatan sejarah.
Sekarang dia menerajui
pembangkang dengan harapan akan dinobatkan di Putrajaya sebagai Perdana Menteri
selepas pilihan raya ini. Saya berpendapat ini tidak baik untuk negara.
Begitu juga dengan koleksi
cacamarba pakatan yang cuma berpakat untuk tidak bertanding sesama mereka
tetapi sebaliknya menyokong satu sama lain untuk memenangi pilihan raya sahaja.
Selain parti “Saya mahu jadi
Perdana Menteri”, turut sama ialah parti yang rasis dan parti yang
memperalatkan agama. Mereka akan berbalah sepanjang masa.
Mereka bukan satu gabungan.
Mereka cuma berpakat untuk membantu masing-masing memenangi pilihan raya.
Sekarang pun mereka sudah berbalah berkenaan siapa yang patut jadi Perdana
Menteri. Mereka tidak berpegang kepada pendapat bahawa parti yang terbesar
harus memimpin.
Memang benar BN sudah lama
berkuasa. Begitu juga Pas di Kelantan. Tiada siapa boleh nafi kemajuan dan
kemakmuran luar biasa yang dikecapi di negara ini dicapai dalam tempoh
pemerintahan BN. Ini tidak boleh dinyatakan mengenai pencapaian Pas di
Kelantan.
Dinasti
Kepimpinan Pas dan DAP yang
sudah berumur tidak bertukar jauh lebih lama berbanding BN dan parti-parti
komponennya. Sudah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan BN tetapi dalam
tempoh itu Ketua DAP masih tetap di tempatnya dan tidak mahu melepaskan
jawatan. Dan anaknya akan mengambil-alih. Sebuah dinasti sedang terbina.
Kepimpinan Pas juga tidak
berubah dalam tempoh kepimpinan empat pemimpin BN.
Ketua Keadilan meletakkan
dirinya sebagai Penasihat tetapi menobat isterinya sebagai Presiden dan anak
perempuannya sebagai Naib Presiden. Teman akrabnya menjadi timbalan. Tidak ada
tanda-tanda akan berlaku sebarang perubahan kepimpinan. Dan pasti tiada
pemimpin yang akan meletak jawatan.
Perubahan mestilah dari
dalam dan luar. Perubahan luaran hanyalah untuk mengabui mata. Semasa kepimpinan
enam ketua Umno, polisi agak berbeza di antara satu sama lain. Kerajaan yang
dipimpin tidak boleh dianggap sama.
Yang pasti prinsip politik
dan ekonomi jauh berbeza. Begitu juga dengan dasar luar. Malah boleh dikatakan
walaupun nama adalah sama, kerajaan setiap Perdana Menteri itu berbeza satu
sama lain.
BN yang bertanding dalam
Pilihan Raya Umum ke-13 tidak akan sama dengan BN di bawah kepimpinan lima yang
terdahulu. Ia adalah BN yang baru. Dan perubahan akan berlaku.
Namun begitu BN tetap berpegang
kepada prinsip dan polisi asas yang sama. Parti komponen BN mengamalkan
demokrasi di dalam parti dan negara. BN percaya kepada perdagangan bebas dan
inisiatif daripada sektor swasta.
BN berpegang kepada
kerjasama antara kaum dan perkongsian kuasa. BN juga percaya kepada agihan
kekayaan yang adil di antara kaum. BN mesra perniagaan tanpa meminggir
kepentingan anggota masyarakat yang lain.
Ia terbuka kepada inovasi
dan idea-idea baru serta mengambilkira pandangan yang dilontar rakyat dan ini
membawa kepada perubahan dan transformasi. Cuma yang buta sahaja yang tidak
dapat melihat perbezaan antara pemimpin tertinggi kerajaan BN.
Ini bukanlah negara satu
parti. BN itu sendiri adalah gabungan 14 parti yang berlainan. Mereka boleh
bersama atau memilih untuk keluar. Banyak parti ditubuh di Malaysia semasa
zaman Perikatan dan BN memerintah negara.
Sesetengahnya dapat bertahan
walaupun tidak menyertai gabungan kerajaan. Yang lain seperti sosialis, terus
hilang. Setengahnya berjaya ke Parlimen manakala yang lain gagal memastikan
wakil mereka ke Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.
Parti-parti pembangkang yang
bertahan tidak pernah gagal untuk memenangi beberapa kerusi di dalam setiap
pilihan raya. Pas kekal menerajui Kelantan menerusi beberapa pilihan raya dan
pernah memenangi Terengganu dua kali. Sebuah parti tempatan pernah menewaskan
BN dan menubuh kerajaan di Sabah. Pulau Pinang dimenangi Parti Gerakan, ketika
itu sebuah parti pembangkang.
Pilihan raya di Malaysia
tidak pernah membosankan. Dalam tahun 1969, Perikatan hampir kalah dan dalam
tahun 2008 BN kehilangan lima buah negeri, satu Wilayah Persekutuan dan gagal
mendapatkan majoriti dua pertiga di peringkat Persekutuan.
Keputusan pilihan raya di
Malaysia tidak pernah melihat parti yang memerintah mendapat sokongan 99
peratus. Hakikatnya parti pembangkang selalu memenangi sebilangan kerusi di
peringkat Dewan Undangan Negeri dan peringkat Persekutuan.
Sukar untuk memahami
bagaimana seseorang boleh menyatakan bahawa Malaysia adalah negara pemerintahan
satu parti. Memang benar Perikatan dan BN memenangi semua Pilihan Raya
Persekutuan. Negara ini negara demokratik dan jika rakyat memilih untuk
mengundi semula parti kerajaan itu hak demokratik mereka.
Mengundi pembangkang untuk
memerintah tidak menjadikan Malaysia lebih demokratik mahupun menjadi bukti
kita mengamalkan sistem dwi-parti. Pandangan jika mengundi pembangkang dalam
pilihan raya akan datang akan menjadikan Malaysia negara yang mengamalkan
sistem dwi-parti adalah tidak berasas.
Parti-parti pembangkang
tidak mewakili satu parti, bukan pun satu gabungan. Mereka membantu satu sama
lain hanya untuk memenangi pilihan raya. Mereka akan kekal bersendirian, setiap
satu dengan dasar dan agenda masing-masing. Mereka mungkin menubuhkan kerajaan
campuran tetapi ia akan menjadi gabungan yang longgar tanpa satupun agenda yang
jelas.
Barack Obama menjanjikan
perubahan bila terpilih. Tetapi dia tidak berdaya untuk menutup Guantanamo Bay
ataupun keluar segera dari Iraq atau Afghanistan. Dia terpaksa meneruskan
tindakan yang dirancang oleh orang yang digantikannya. Apabila tamat edahnya,
tiada apa perubahan yang telah berlaku di Amerika Syarikat.
Sangsi
Di Jepun kehendak kepada
perubahan membawa kepada kekalahan Parti Liberal Demokratik (LDP). Sekarang LDP
kembali berkuasa menggantikan Parti Demokratik Jepun yang kekal hanya satu
penggal. Perubahan kerajaan tidak meningkatkan kemajuan Jepun.
Pendapat bahawa perubahan
semestinya membawa kebaikan tidak selalu benar. Milton Obote dikatakan Presiden
yang tidak baik untuk Uganda. Maka Idi Amin merampas kuasa. Ia lebih buruk
sehingga terpaksa diturunkan secara paksa oleh tentera yang memberontak.
Iraq diperintah oleh Saddam
Hussein sebagai diktator. Dia dikatakan amat kejam. Amerika Syarikat membuat
keputusan melakukan pertukaran rejim (regime change). Ini melibatkan pembunuhan
200,000 rakyat Iraq yang tidak berdosa selain menghancurkan negara mereka.
Terdapat kerajaan baru
sekarang tetapi disangsikan kebaikannya berbanding kerajaan Saddam. Tidak ada
pertelingkahan antara puak Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah di zaman Saddam,
tetapi sekarang pertembungan ganas sering berlaku antara dua pihak ini,
masing-masing mengebom dan membunuh pihak yang lain.
Terdapat banyak contoh
perubahan rejim tetapi kebanyakannya tiada perubahan yang berlaku hasil
daripadanya. Amat sedikit contoh menunjukkan apabila berlaku perubahan keadaan
bertambah baik. Seperti dikatakan oleh orang Perancis “Plus ca change, plus
c’est la meme chose” (lebih banyak perubahan, lebih banyak kekal sama).
Tidak perlu menukar kerajaan
semata-mata untuk menegak sistem dwi-parti. Negara yang mempunyai sistem
dwi-parti tidak berkeadaan lebih baik. Mereka masih menghadapi krisis ekonomi
dan kewangan, mengalami kemelesetan, berdepan dengan demonstrasi jalanan dan
mogok.
Saya telah nyatakan sebelum
ini “better the devil you know than the angel you don’t.” BN bukanlah syaitan.
Negara ini maju dengan jaya di bawah pemerintahan BN. Bila kejayaan tidak
berlaku, BN cepat menukar pemimpin yang gagal.
Pilihan raya memberi kita
peluang menunjuk kepada parti pemerintah akan perlunya mengubah dirinya
sendiri. Mesej ini akan sampai, amaran telah diberi dan tindakan positif akan
diambil.
Jangan perjudi negara ini
dengan pihak yang tidak dikenali dan yang belum teruji. Beberapa peluang yang
diberi kepada pembangkang menunjukkan kekurangan kemahiran dan pencapaian.
Kelantan jelas tidak maju dengan baik. Pulau Pinang pula, kejayaan yang sedikit
disertai dengan kegagalan yang banyak.
Pilihan raya untuk rakyat
memilih parti yang akan memerintah negara. Ramai percaya majoriti rakyat tahu
apa yang baik untuk mereka. Tetapi hakikatnya majoriti rakyat tidak tahu.
Mereka mengundi sama ada berdasarkan kaum atau parti yang propagandanya
terdedah kepada mereka. Cuma segelintir yang memahami isu-isu dan kualiti parti
yang bertanding.
Akibatnya, pilihan raya
mungkin menyebabkan parti yang tidak layak terpilih membentuk kerajaan.
Kerana kemungkinan ini,
amatlah penting pengundi diberi seberapa banyak penjelasan yang mungkin mengenai
parti dan dasar serta rekod mereka supaya pengundi dapat membuat keputusan yang
pintar.
No comments:
Post a Comment