KOTA KINABALU : Lebih 500
orang menyertai Himpunan Sabah Bangkit di Red Square, Taman Chong Thien Vun,
semalam. Pada himpunan itu, mereka membaling bunga mawar ke arah keranda yang tertulis
‘Keranda Kezaliman’sebagai simbolik melawan kezaliman pemerintah.
Dianjurkan gabungan NGO
Menuntut Hak Rakyat Sabah (GEGAR) berakhir jam 3 petang itu, himpunan itu
mengemukakan 11 tuntutan untuk rakyat Sabah.
Ia meliputi isu peluang
pekerjaan, rumah mampu milik, kos sara hidup rendah, liputan jalur lebar
percuma, kadar jenayah minimum, kemudahan pendidikan berkualiti dan percuma,
pilihan raya bersih dan adil, negeri hijau dan bersih, lebih royalti minyak dan
balak, hak tanah adat dan pembangunan insfrastruktur.
Pengerusi Penganjur Himpunan
Sabah Bangkit, Harieyadi Karmin ketika berucapan menyatakan GEGAR diketuai anak
muda Sabah, malah hampir semua ahli jawatankuasa terdiri daripada anak muda dan
mahasiswa.
Katanya, mereka mahu
menyampaikan mesej kepada pemerintah bahawa anak muda kini tidak lagi hanya
tahu berseronok, duduk diam dan melihat.
“Anak muda mahukan
perubahan. Marilah kita bersama-sama menunjukkan solidariti menuntut hak kita.
Tunjukkan kita memang benar-benar mahukan perubahan.
“Kita mahu tunjukkan kepada
pemerintah, rakyat bukan tunggul yang hanya diam apabila hak mereka tidak diberi.
Kita mahukan perubahan, bukan lagi janji kosong yang ditabur,” katanya.
Beliau berkata, GEGAR
memberi amaran kepada pemerintah bahawa rakyat adalah pemegang kuasa dalam
sistem demokrasi.
Antara penceramah ialah
juruakap Bersih Sabah, Andrew Ambrose dan beberapa wakil dari mahasiswa, anak
muda dan parti politik dari Pakatan, selain SAPP.
Peserta juga memungut sampah
disekitar Red Square, Taman Chong Thien Vun setelah selesai perhimpunan.
No comments:
Post a Comment