PETRONAS hari ini
mengumumkan penemuan minyak dan gas di telaga Adong Kecil West-1 di Blok SK333,
di daratan Sarawak, iaitu penemuan minyak dan gas pertama di daratan Malaysia
selepas 24 tahun.
Syarikat minyak negara itu
berkata penemuan kali terakhir di daratan ialah di Medan Asam Paya pada 1989,
juga di Sarawak.
Petronas berkata telaga
Adong Kecil West-1, terletak kira-kira 20km di timur laut pekan Miri, digerudi
oleh JX Nippon Oil & Gas Exploration (Onshore Sarawak) Ltd, operator bagi
Blok SK333, bersama-sama rakan usaha samanya, Petronas Carigali Sdn Bhd.
Ia berkata telaga itu
digerudi pada kedalaman 3,170 meter dan menemui kira-kira 349 meter ketebalan
bersih hidrokarbon.
Dua ujian gerudi
merealisasikan kadar aliran kira-kira 440 tong minyak
sehari dan 11.5 juta meter
padu standard gas sehari, katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Petronas berkata penilaian
teknikal sedang dijalankan oleh operator bagi menentukan jumlah sumber di medan
terbabit.
"Berdasarkan keputusan
penggerudian, terdapat tanda-tanda bahagian lebih dalam di kawasan laut, yang
mungkin berpotensi tinggi mengandungi hidrokarbon.
"Bagaimana pun,
menerusi tekanan lubang bor yang tinggi, operasi penggerudian lebih mencabar
untuk kolam yang lebih dalam dan dermaga dengan spesifikasi tinggi diperlukan
untuk menguji jarak terbabit," kata Petronas.
Setakat ini, tiga penemuan
dibuat di daratan Sarawak, iaitu Miri, Asam Paya dan medan Adong Kecil West.
Menerusi penemuan ini,
Petronas berkata ia sudah membuktikan daratan Sarawak mempunyai potensi untuk
penemuan lebih banyak minyak dan gas dengan medan Miri, medan minyak pertama
Malaysia, ditemui pada 1910.
Aktiviti lanjut di laut itu
akan dilakukan oleh syarikat usaha sama terbabit dalam menyokong Petronas
mencergaskan semula eksplorasi minyak dan gas di daratan Malaysia. (Bernama)
No comments:
Post a Comment