BUKIT MERTAJAM : Bekas
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar ditubuhkan sebuah
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemberian taraf kerakyatan
kepada sejuta pendatang asing di Persekutuan Tanah Melayu sebelum Malaysia
mencapai kemerdekaan.
"Saya hanya
mencadangkan sahaja, dan tidak serius tentang itu (melaksanakannya)...tetapi
jika mahu menjalankan siasatan mestilah secara menyeluruh, ia tidak adil
sekiranya hanya fokus kepada satu perkara sahaja dan tidak perkara lain.
"Terdapat perkara yang
sama, saya hanya mahu menunjukkan perbandingan, saya bukan serius mengenainya
tetapi saya memang menekankan apabila melakukan sesuatu perkara ia mesti
adil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan dan menyampaikan
ucaptama pada konvensyen 'Transformasi Ekonomi dan Pelajaran Melayu Pulau
Pinang 2013' anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang
di Dewan Utama, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Permatang Pauh di sini
hari ini.
Beliau berkata demikian
ketika diminta mengulas mengenai kritikan terhadap tindakannya memberikan taraf
kerakyatan kepada 200,000 pendatang asing di Sabah ketika beliau menjadi
perdana menteri. Katanya 200,000 pendatang asing itu telah berada di Sabah
untuk satu tempoh yang lama iaitu lebih 20 tahun dan menggunakan bahasa Melayu
dalam komunikasi serta mengamalkan budaya setempat.
"Dari segi perundangan
mereka memang layak untuk mendapat taraf kerakyatan," katanya.
Selain itu, katanya,
pemberian taraf kerakyatan kepada sejuta pendatang asing di Persekutuan Tanah
Melayu sebelum merdeka dilakukan Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman
Putra Al-Haj walaupun ia tidak termaktub dalam undang-undang ketika itu.
"Hal ini berlaku
disebabkan orang Melayu pemurah dan bersedia untuk mengurangkan kuasa mereka,
ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku di Sabah kerana mereka memang berhak
untuk mendapat taraf kerakyatan," katanya.
Konvensyen sehari anjuran
Perkasa Pulau Pinang itu bertujuan membangkitkan motivasi dan kesedaran di
kalangan orang Melayu Pulau Pinang, khusus mengenai ekonomi dan pendidikan.
Antara objektif utama
konvensyen sehari ini ialah menjadi salah satu platform utama percambahan minda
membincangkan isu serta peluang ekonomi dan pelajaran orang Melayu Pulau Pinang
dan menghasilkan resolusi dan pelan tindakan strategik hala tuju transformasi
ekonomi dan pelajaran secara dinamik dan holistik yang sentiasa relevan dan
kemaskini ke arah pembangunan dan kemajuan ekonomi serta pelajaran orang
Melayu.
Tiga kertas kerja
dibentangkan pada konvensyen itu. Yang turut hadir ialah isteri Dr Mahathir,
Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Yang
Dipertua Perkasa Negeri Pulau Pinang Yusof Suhaimi Mohd Yatim. (Bernama)
No comments:
Post a Comment