Oleh : MUTALIB M.D
PETRONAS harus melakukan
transformasi total terlebih dahulu termasuk menghakis amalan penjajah yang
mengamalkan kasta dalam pengurusan sehingga membelakangkan hak rakyat Sabah
untuk membangunkan Malaysia secara bestari.
Menteri Luar, Datuk Seri
Panglima Anifah Haji Aman berkata demikian kepada Sabahkini.net ketika ditanya
pandangan beliau berhubung kenyataan Pengerusi Petronas Sabah dan Labuan,
Joseph Podtung, dalam Sabahkini.net kelmarin dulu yang menghebahkan lima projek mega Petronas di Sabah untuk 2013.
"Untuk memastikan
Malaysia menjayakan Dasar Transformasi Negara, Petronas wajib melakukan
transformasi terlebih dahulu kerana dasar yang diwarisi daripada penjajah harus
dikikis. Kita sudah hampir 50 tahun merdeka dan sejak 1976, rakyat Sabah melihat
Petronas sebagai liabiliti dan menjadi modal politik pembangkang," ujar
Anifah yang mengalu-alukan Petronas membuka pintu kepada usaha bumiputera untuk
mendapatkan ruang dan peluang di SOGT.
Transformasi Petronas, kata
Anifah, harus mencakupi segala bidang termasuk menaiktaraf pengusaha dan penglibatan
mereka dalam kontrak mega termasuk melalui usahasama atau kerjasama bestari.
"Jika dahulu rakyat
tempatan menjadi tukang masak, kini mereka patut menjadi pembekal makanan. Jika
dulu mereka subkontraktor, Petronas patut menjadikan mereka kontraktor utama.
Jika modal mereka kecil, lakukan secara usahasama atau konsortium. Amalan
meneruskan tradisi mengekalkan mereka di status lama adalah amalan penjajah.
Inilah yang harus dikikis," kata Anifah yang meyakini kontraktor
bumiputera mampu bersaing di persada antarabangsa.
Jika Petronas memberi peluang
dan kepercayaan kepada kontraktor bumiputera sejak dua dekad lalu, kata Anifah,
tidak mustahil Sabah mungkin sudah lebih maju daripada Singapura.
"Petronas jangan
jadikan Sabah (Kimanis) sebagai Bintulu yang telah dikuasai oleh orang luar dan
menafikan peluang rakyat Sarawak dalam ekuiti Petronas," ujar Anifah
berhubung kecenderungan Petronas melantik kontraktor luar sebagai
sub-kontraktor mereka.
Kata Anifah, masa untuk
Petronas menunjukkan ego kepada rakyat Sabah sudah berakhir dan sewajarnya
menghentikan sindrom telunjuk lurus kelingking berkait agar tidak dipandang
serong menjelang PRU-13.
"Tiba masanya Petronas
menjelaskan kepada rakyat Sabah hakikat sebenar yang disembunyikan selama ini
berhubung 'kemurahan hati' dan 'ketinggian budi' yang berselindung di sebalik
anugerah projek pembangunan yang tidak telus.
"Persoalan inilah yang
berstigma di dalam minda majoriti rakyat Sabah bahawa Kerajaan Persekutuan
melayan Sabah secara tidak adil dan beragenda, sehingga menghakis keyakinan
rakyat kepada Kerajaan BN," kata Anifah yang agak keliru dengan penjelasan
Joseph Podtung sebagai menjawab teguran beliau melalui artikel bertajuk 'Petronas Slammed On Projects'
"Berlandaskan kepada
jawapan Joseph Podtung, saya melihat Petronas seolah-olah bukan lagi GLC kerana
membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
"Keegoan mereka begitu
terserlah, terutama dalam soal agehan kek ekonomi kepada kontraktor bumiputera
yang kelihatan melukut di tepi gantang dan menjadi pengemis di negeri sendiri
sejak akhir-akhir ini," ujar Anifah yang menggesa Petronas menjelaskan
beberapa persoalan penting yang menjadi enigma kepada Pemimpin BN di Sabah.
Kata Anifah, Joseph Podtung
seharusnya jujur memberikan penjelasan berhubung agehan kontrak sebanyak RM45
billion kerana daripada siasatan beliau, rakyat Sabah hanya mendapat manfaat
langsung kurang daripada 2 % dan selebihnya bocor kepada syarikat luar yang
tidak langsung menyumbang dana kepada ekonomi dan rakyat Sabah.
"Kita tidak mahu isu
ini menjadi modal pembangkang untuk menyerang kerajaan pada PRU-13 dan kerana
itu saya meminta penjelasan Joseph Podtung untuk memaklumkan secara telus
kepada saya, kepada siapa kontrak RM45 bilion berkenaan diagehkan," kata Anifah.
Tegasnya lagi, beliau kesal
dengan keangkuhan Petronas yang mengungkit pembinaan Pusat Latihan Petroleum
Kimanis (KTC) bernilai RM30.5 juta yang hanya memberi manfaat kepada 48 pelajar
di Kampus Sementara di Membakut Jaya.
SOGT KIMANIS.....Pemandangan udara SOGT Kimanis. Semoga RM45 bilion beri manfaat kepada rakyat tempatan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap BN.
Sikap Petronas yang menjadi
'Tuan' di Sabah dengan membelakangkan Menteri Kabinet, Kerajaan Negeri Sabah
dan Ahli Parlimen serta Adun; bakal menjadi agitasi politik dan modal kempen
pembangkang yang menggelar Petronas sebagai 'Perompak' wang rakyat Sabah.
"Pandangan mereka tidak
salah dan sinonim dengan sikap dan tindakan Petronas sejak 1976. Sekalipun
dilenturkan oleh pembayaran royalti 5 % yang menjadi pertikaian sejak sekian
lama, namun agak malang bagi Sabah jika kelangsungan ini berterusan untuk
beberapa dekad yang akan datang," kata Anifah yang meminta Kerajaan Negeri
mengkaji semula perjanjian dengan Petronas.
Kata Anifah, agehan kek
ekonomi perlu selaras dengan janji kerajaan Persekutuan untuk memastikan Sabah menjadi
salah sebuah negeri maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi; namun visi
berkenaan akan gagal jika Petronas tidak telus dalam agehan 5 projek mega yang
diumumkan.
"Buat apa kita bercakap
tentang RM45 bilion, jika rakyat Sabah hanya mendapat tidak sampai RM2 bilion,
itupun melalui GLC kerajaan (Yayasan Sabah) sehingga kontraktor dan rakyat
tempatan hanya menjadi pemerhati atau berputih mata," ujar Anifah mendesak
agar Petronas bersikap telus dan tidak melakukan By-Pass yang keterlaluan.
Kini kata Anifah, tugas
untuk mengeluarkan Sabah daripada kancah kemiskinan terletak di bahu Petronas
melalui 5 projek mega bernilai RM45 bilion dan bukan lagi menjadi beban
Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
"Jadilah GLC yang
berpegang kepada janji dan sentiasa mengenang budi dan bukannya menggigit jari
kepada orang menyuapkan makanan," ujar Anifah melalui tamsilan.
Kata Anifah, walaupun
operasi Petronas kini berkembang di luar negara, namun mereka tidak boleh
mengabaikan rakyat Sabah yang berhak mengecapi kemewahan dan menikmati
pembangunan hasil daripada 5 projek mega yang diumumkan Petronas di Sabah.
"Melalui Dasar
Transformasi Ekonomi Negara, rakyat Sabah bukan lagi bekerja sebagai kuli,
malah berhak menjadi pengusaha dan pemegang saham dalam projek pelaburan Petronas
di Sabah," kata Anifah yang agak kesal dengan ketidak pekaan Petronas yang
berbangga kerana menawarkan 1,558 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
Melalui teguran ikhlas ini
kata Anifah, Petronas wajib menggubah semula kerangka perancangan dan hala tuju
pembangunan agar tidak dijadikan modal kempen pembangkang di Beaufort,
Sipitang, Kimanis dan Papar kerana rakyat sekitarnya berhak menikmati limpahan
pelaburan projek mega Petronas.
"Kini jelas kepada kita
bahawa BN tidak memerlukan pembangkang kerana Ahli Parlimen BN sentiasa peka
dengan sebarang perubahan iklim pelaburan, sekalipun melibatkan soal dalaman
atau luaran Petronas (GLC)," kata Anifah yang mempunyai komitmen yang
tinggi terhadap kebajikan rakyat setempat dan kepentingan negeri Sabah.
(NOTA : Pandangan Anifah yang disiarkan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya pandangan Kerajaan Malaysia atau UMNO.)
(NOTA : Pandangan Anifah yang disiarkan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya pandangan Kerajaan Malaysia atau UMNO.)
No comments:
Post a Comment