SANDAKAN : Ketua Menteri
Datuk Musa Aman hari ini mengingatkan rakyat di negeri ini agar tidak
menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai bahan uji kaji untuk
menukar kerajaan.
Musa (gambar) berkata rakyat
harus bijak membuat keputusan agar terus menyokong kerajaan Barisan Nasional
(BN) demi kepentingan bersama seterusnya dapat memastikan kesinambungan
perancangan untuk pembangunan negara.
“Kerajaan tahu apa yang
terbaik dilaksanakan untuk rakyat, oleh itu rakyat perlu yakin bahawa kerajaan
sentiasa membuat perancangan rapi demi masa depan negara yang juga berpihak
kepada rakyat,” katanya ketika Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung
Gum-Gum dekat sini kelmarin.
Musa yang juga Anggota
Majlis Tertinggi Umno berkata rakyat yakin dengan pentadbiran kerajaan BN yang
mampu melaksanakan program pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat untuk
jangka panjang.
“Saya gembira melihat
semangat rakyat negeri ini yang setia memberi sokongan padu kepada pucuk pimpinan
kerajaan untuk terus teguh memerintah negara ini,” katanya.
Menurutnya jika rakyat terus
bersatu mengekalkan perpaduan, bersatu dan tetap setia kepada kerajaan walaupun
dicemari dengan fitnah parti pembangkang, sudah tentu keamanan negara akan terus
wujud serta bebas daripada kucar-kacir.
Pada majlis tersebut, Musa
turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan
dan Keselamatan Kampung, Ketua Kampung bagi Dewan Undangan Negeri Gum-Gum serta
sumbangan kepada beberapa pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan
Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). (Bernama)
No comments:
Post a Comment