Oleh : NORUTUL ILHAM
KUALA LUMPUR : Naib Presiden
KEADILAN, Fuziah Salleh berkata,
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung imigran Sabah yang sedang
berlangsung bagi menyiasat perkara itu hanya 'wayang' Umno BN.
Katanya, walaupun saksi
daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dipanggil untuk memberi keterangan,
namun pastinya mereka tidak akan dedahkan sejauh mana projek IC itu untuk
memenangkan Umno BN di sana.
“Ini semua wayang yang
dimainkan Umno BN. Selesai suruhanjaya nanti, ada pula alasan-alasan tak
munasabah daripada hasil pendengaran itu.
“Mengikut orang Sabah
sendiri, mereka tidak percaya angka yang diberikan SPR kerana rekod yang
dikemukakan bukan yang terkini. Daripada awal sudah nampak kekeliruan,” katanya
ketika dihubungi.
Dalam pendengaran itu
semalam, JPN memberitahu RCI, hanya 66,682 warga asing di negeri itu diberikan
kewarganegaraan sejak pembentukan Malaysia.
Angka tersebut, kata
Timbalan Pengarah Bahagian Kewarganegaraan JPN, Nik Norashikin Nik Mansur,
dikumpulkan dalam tempoh 50 tahun bermula 1963 hingga Oktober 2012.
“Mereka hanya bagi sejumlah
angka, bukannya berdasarkan tahun supaya ia nampak terperinci. Saya gesa Umno
BN supaya memberikan angka terkini supaya rakyat tidak lagi ditipu.
“Mereka dah tak boleh kawal
isu ini. Jadi sekarang kita persoalkan adakah projek IC masih berlaku hingga
sekarang?” ujar Ahli Parlimen Kuantan itu.
Penolong Pendaftar JPN
Sabah, Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil mendedahkan kepada RCI, kira-kira 100,000
kad pengenalan biru diberi kepada pendatang Sabah pada tahun 1993.
Katanya, beliau menerima
RM80,000 daripada Pengarah JPN Sabah pada ketika itu Ramli Kamarudin untuk
mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang Filipina, Indonesia dan Pakistan
di Sabah.
Dzulkifly juga memberitahu,
lebih 100,000 surat beranak dikeluarkan bagi pendatang pada awal tahun 1990an.
Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri
Sabah, Datuk Harris Salleh menafikan wujudnya skim imigresen rahsia untuk
mengubah demografi negeri Sabah, yang lebih dikenali sebagai Projek IC atau
Projek M.
Malah, RCI semalam
diberitahu oleh saksi-saksi bahawa, dua bekas orang kanan mantan Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikaitkan berhubung dakwaan pemberian
kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.
Mereka adalah Tan Sri Abdul
Aziz Shamsuddin, yang ketika itu merupakan Setiausaha Politik kepada Mahathir
dan Timbalan Menteri Dalam Negeri pada waktu itu, Tan Sri Megat Junid Megat
Ayub.
“Sampai bila mereka tak akan
mengaku, tapi kalau bangkai gajah macam mana nak tutup,” sindirnya.
“Walaupun ada fakta dan
bukti, Umno tetap mahu tutup kebenaran,” kata Fuziah. (KeadilanDaily)
No comments:
Post a Comment