Oleh : SHAIMON S JUMADI
BANDAR ini akan
menjadi tumpuan masyarakat seluruh dunia apabila satu konvensyen
mengenai industri sarang burung walit bakal diadakan pada bulan Mac nanti.
Penganjuran buat pertama
kali ini akan membantu menjadikan Sandakan sebagai sebuah destinasi pelancongan
yang perlu dikunjungi kerana peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada
pengusaha termasuk pengimport mewakili negara-negara seperti China, Korea, Singapura,
Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Thailand dan banyak lagi.
Sudah pasti menerusi
penganjuran konvensyen dijangka berlangsung di Four Point by Sheraton itu akan
melonjak nama bandar Sandakan di persada dunia kerana secara umumnya, jarang
sekali diadakan konvensyen seumpama ini.
"Kita sudah pun
merancang untuk memastikan konvensyen yang dipanggil 'Konvensyen Burung Walit
Sedunia' dan ini akan menjadi kenyataan kelak," kata Datu Omar Ali Datu Bachtiyal selaku pengerusi
penganjur kepada konvensyen tersebut kepada Sabahkini.Net kelmarin.
Sehubungan dengan itu,
beliau mempelawa para pengusaha sarang burung termasuk burung walit di seluruh
negara agar mengambil bahagian pada konvensyen ini.
Katanya, beberapa agenda
menarik akan dibincangkan melalui pembentangan kertas kerja berhubung potensi
dan masa depan para pengusaha yang terlibat dalam mengusahakan perusahaan
sangat popular sejak zaman berzaman.
"Kita berharap pada
pihak kerajaan dan juga swasta supaya dapat membantu bagi memastikan
penganjuran konvensyen ini akan terlaksana.
"Saya sudah lama untuk
menganjurkan konvensyen sebegini kerana ia amat penting terhadap pertumbuhan
ekonomi di bandar Sandakan amnya dan Sabah khususnya.
"Ini kerana, Sandakan
terkenal dengan Gua Gomantong, tetapi nampaknya belum ada usaha-usaha yang
mampu menarik kedatangan pelabur. Oleh itu, saya melihat menerusi penganjuran
konvensyen berkenaan sudah pasti akan meletakkan nama bandar kita pada mata dunia
"Kita sekarang ini
sedang dalam proses mesyuarat di mana saya sendiri akan menjemput Pertubuhan
Industri Burung Walit Sabah melalui perunding iaitu Syarikat Gerak Borneo Sdn
Bhd bagi membantu menjayakan penganjuran ini," beritahu Omar Ali.
Bagaimanapun, kata beliau,
bukan mudah untuk mengadakan konvensyen besar seumpama itu memandangkan ia
memerlukan penelitian dari segi penyelidikan selain kos sepanjang konvensyen.
Dia percaya keyakinan dan
komitmen tinggi sedikit pun tidak mematahkan matlamatnya bagi memastikan
konvensyen menjadi kenyataan kelak.
"Ini juga merupakan
wawasan saya sempena Tahun Baru 2013. Kita lihat Sandakan terkenal dengan
industri sarang burungnya, justeru perlu ada usaha seperti ini.
"Matlamat saya
bersama-sama Gerak Borneo adalah bagi memastikan bandar Sandakan sebagai
pengeluar utama industri sarang burung dan burung walit.
"Oleh yang demikian,
saya berharap pada semua pengusaha sarang burung dan burung walit agar tidak
melepaskan peluang untuk turut serta dalam konvensyen kali ini.
"Kita akan
mewar-warkannya dari semasa ke semasa berhubung penyertaan pada konvensyen
ini," tambah beliau.
No comments:
Post a Comment