LIMA belas Pengganas Sulu
dan seorang Koperal polis yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan ketika
insiden pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini akan dihadapkan ke Mahkamah
Tinggi Tawau Jumaat ini.
Lapan daripada mereka
berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan
melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.
Ini merupakan kali kedua
tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dikenakan di negara
ini selepas insiden kumpulan pemberontak Al Maunah di Bukit Jenalik Sauk, Perak
pada tahun 2000.
Selain itu tujuh lagi
tertuduh menghadapi pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas,
melindungi pengganas serta merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas.
Seorang anggota polis warga
tempatan pula didakwa tidak memberi maklumat mengenai tindakan pengganas.
Kesemua mereka sebelum ini
didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah
Lahad Datu. Pada prosiding Jumaat ini, pengakuan tertuduh akan direkodkan di
hadapan Hakim Mahkamah Tinggi P Ravinthran.
Pada 21 Mac lepas, lapan
warga Filipina iaitu Atik Hussin Abu Bakar, Basad Manuel, Lin Mad Salleh,
Holland Kalbi, Habil Suhaili, Timhar Hadir, Kadir Uyung dan Lating Tiong tidak
diwakili peguam hingga Ravinthran memutuskan supaya pengakuan mereka tidak
direkodkan demi memberi keadilan kepada tertuduh.
Selain itu pertuduhan
terhadap lapan lagi tertuduh termasuk Koperal Hassan Ali Basri yang didakwa
awal April, akan dibacakan semula kerana kes mereka baru sahaja dipindahkan ke
Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan melancarkan
perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun
Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan pertuduhan
menjadi anggota kumpulan pengganas menurut Seksyen 130KA kanun sama, membawa
hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda.
Seksyen 130E iaitu merekrut
orang sebagai anggota kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan
pengganas pula membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda
manakala Seksyen 130K diperuntukkan bagi kesalahan melindungi pengganas yang
membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda atau penjara maksimum 20
tahun dan boleh denda.
Sementara itu bagi kesalahan
mengikut Seksyen 130M iaitu sengaja tidak memberi maklumat mengenai pengganas,
ia boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau
kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kesemua tertuduh ditahan
mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 yang
tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Dalam prosiding lepas,
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai barisan pendakwaan
berkata pada Jumaat ini beliau akan memberitahu mahkamah mengenai perkembangan
perbincangan dengan Persatuan Undang-undang Sabah, Majlis Peguam dan kerajaan
Filipina berhubung khidmat peguam untuk kesemua tertuduh. (Bernama)
No comments:
Post a Comment