KOTA KINABALU: Polis
Kontinjen Sabah mempersiapkan kira-kira 6,000 pegawai dan anggotanya untuk
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini.
Menurut Ketua Jabatan
Pengurusan Sabah, SAC Noor Azam Jamaludin, pegawai dan anggota yang bertugas
ini akan memastikan keselamatan masyarakat terjamin sepanjang proses PRU-13 ini
berlangsung.
“Polis akan menggerakkan
para pegawai dan anggota untuk menghadapi PRU-13 ini bagi memastikan
keselamatan orang ramai sentiasa berada di tahap yang tinggi dan terjamin…di
samping meningkatkan keyakinan orang ramai untuk keluar mengundi terutama yang
masih ragu-ragu tentang tahap keselamatan di Negeri ini,” kata Noor Azam dalam
sesi sidang media, di Ibu Pejabat Kontinjen Sabah, di sini, kelmarin.
Menurut Noor Azam yang juga
merupakan jurucakap untuk IPK Sabah bagi PRU-13, setakat ini kekuatan 6,000
pegawai dan anggota (tidak termasuk Pasukan Gerakan Am, Jabatan Siasatan
Jenayah, Cawangan Khas dan yang bertugas dalam ‘Ops Daulat’) itu memadai untuk
pihak polis menjalankan tugas dengan baik.
Walau bagaimanapun katanya,
kekuatan pasukan itu bakal ditambah dengan permohonan pasukan bantuan yang akan
dilakukan.
“IPK Sabah akan membuat
permohonan untuk menambah bilangan pegawai dan anggota, dan terpulanglah juga
dari mana pengagihan ini dibuat sama ada pasukan dari Semenanjung ataupun
Sarawak dihantar ke sini…mungkin juga kita gerakkan daripada Pusat Latihan
Polis (PULAPOL) atau daripada Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) ,” katanya.
Sementara itu, Noor Azam
turut mengingatkan pemimpin parti-parti politik atau calon yang bertanding
semasa PRU-13 nanti supaya tidak terlalu ghairah atau teruja dalam berkempen
sehingga boleh mencetuskan kemarahan kepada pihak lain.
“Parti-parti politik yang
bertanding dinasihatkan mengikut peraturan yang sedia ada dan sekiranya ingin
mengadakan ceramah, maka mereka perlu menghubungi ketua polis di Daerah
masing-masing,” kata Noor Azam sambil menyatakan bahawa tindakan undang-undang
akan diambil jika peraturan-peraturan semasa PRU ini dilanggar oleh mana-mana
pihak.
Katanya, parti-parti politik
juga diingatkan supaya mengawal sikap penyokong mereka bagi memastikan PRU-13
ini berjalan dalam keadaan aman dan selamat dan juga tiada sebarang perkara yang
tidak diingini berlaku.
Dalam pada itu, Noor Azam
juga berkata balai polis bergerak berkemungkinan akan di bina mengikut
keperluan sesuatu Daerah untuk memantau keadaan semasa PRU berlangsung.
Orang ramai juga boleh
menghubungi mana-mana balai polis yang terdekat jika ingin mengajukan sebarang
kemusykilan atau boleh terus menghubungi talian hotline IPK Sabah: 088-318555.
No comments:
Post a Comment