Monday, 8 April 2013

ADA MUKA BARU CALON BN






GUGUR.....Dua calon ini mungkin digugurkan kerana terlibat dengan skandal IC Projek dan terkandas saringan SPRM selain beberapa 'Tunggul Mati' dalam Kabinet Sabah.


KOTA KINABALU : Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata terdapat muka baru sebagai calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Katanya, senarai calon yang akan bertanding sudah pun dimuktamadkan dan segala keputusan untuk menentukan calon yang layak diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Senarai calon sudah dimuktamadkan dan terpulanglah kepada Perdana Menteri untuk menentukan siapa yang sesuai dan boleh dicalonkan di kawasan-kawasan tertentu,” kata Musa ketika ditanya media selepas merasmikan program “Astro Kasih – Beautiful Malaysia GUINNESS WORLD RECORDS, di Gayana Eco Resort, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Musa yang juga merupakan Pengerusi BN Negeri menyatakan bahawa manifesto BN Sabah yang bakal dilancarkan selepas pelancaran manifesto BN di peringkat Pusat merupakan sebuah manifesto yang menjanjikan harapan besar kepada rakyat untuk hidup dalam keadaan aman, damai dan makmur.

“Sebenarnya manifesto kita seiring dengan manifesto di peringkat pusat…yang membolehkan rakyat membaca, melihat dan memikirkan apa yang telah kita lakukan dan apa yang akan kita laksanakan di masa akan datang,” kata Musa.

Mengulas mengenai persiapan jentera BN Negeri, Musa berkata sememangnya BN Negeri sudah lama berusaha keras dan bekerjasama dalam membuat persediaan untuk menghadapi PRU-13.

Katanya, kesemua parti komponen BN sentiasa menjalin hubungan yang baik, duduk berbincang, malah ‘berkampung’ bersama-sama selain berusaha untuk memastikan kemenangan berpihak kepada setiap calon-calon BN yang bertanding.

“Apa yang peting kita dapat beritahu kepada rakyat melalui bukti-bukti yang jelas mengenai kebaikan yang dibawa dan janji-janji yang telah ditepati oleh Kerajaan BN selama ini…saya yakin rakyat Sabah tahu menilai kebaikan yang dibawa oleh kerajaan BN selama ini,” katanya sambil menyatakan rasa syukur kerana Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri yang prihatin dan peka terhadap nasib rakyat di seluruh negara termasuk Sabah.

Katanya, selama ini sememangnya Sabah tidak pernah ketinggalan dalam menerima bantuan dan keprihatinan dari Kerajaan untuk memastikan rakyat terus hidup selesa, aman dan sejahtera.

No comments:

Post a Comment