Oleh : MUTALIB M.D
PRESIDEN Penaja USNO, Datu
Badaruddin Tun Mustapha sebentar tadi mengesahkan bakal Calon USNO di Parlimen
Semporna, Salleh Haji Abdul Salleh dikhuatiri diculik kerana tidak dapat
dikesan sejak 14 Mac lalu.
Menurut Badaruddin, pihaknya
mengalami jalan buntu setelah Salleh tidak dapat dihubungi selepas mereka berjumpa
kali terakhir pada 13 Mac lalu dan keluarganya telah membuat laporan polis
berhuung kehilangan Salleh.
"Beliau (Salleh) telah
bersetuju untuk mewakili USNO menentang Calon UMNO di Semporna pada PRU-13.
Tetapi apabila kami cuba menghubungi beliau untuk menandatangani borang
pencalonan, Salleh tidak dapat dikesan. Malah keluarganya juga sedang berusaha
mencari beliau. Kita tidak menolak kemungkinan
beliau diculik kerana insiden penculikan dua pekerja di tempat Salleh bekerja tahun
lalu masih menghantui kita selama ini," ujar Badaruddin yang mengesahkan
setakat ini USNO akan meletakkan calon di lima kawasan termasuk Semporna.
Pemilihan Salleh sebagai
calon USNO Semporna, kata Badaruddin berdasarkan kredibiliti dan daya
kepimpinannya sebagai Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan Semporna sejak 20
tahun lalu.
Tambahan pula kata
Badaruddin, Salleh adalah generasi muda dan anak jati tempatan Semporna yang
mempunyai susurgalur tulen dan memenuhi kriteria perjuangan USNO pada masa akan
datang.
Menurut Badaruddin, Salleh
merupakan anak salah seorang pejuang kemerdekaan Sabah iaitu Hj.Abdul Salleh
Khatib Ali @ Gupurani dari keturunan para Ulama terkenal Daerah itu semenjak
zaman Magindora di antaranya Imam Misuari Khatib Sarahari, Keturunan Panglima
dari waris Panglima Ripahani @ Ripah serta pewaris kepada beberapa buah Pulau
di persekitaran Semporna; termasuk Pulau Sebangkat Taman Marine Tun Sakaran,
Pulau Si Amil, Denawan dan Pulau Sepanggau yang terdapat di Daerah itu.
Kepimpinan Salleh, kata
Badaruddin terserlah melalui PNK Semporna sejak berusia 22 tahun dan menjadi
pengasas kepada PNK Sabah sejak 1993.
Melalui usaha gigih dan
kerja keras Salleh, kata Badaruddin, maka pada hari ini PNK telah menubuhkan 17
cawangan di Seluruh Sabah dengan
kerjasama LKIM
Salleh juga merupakan salah
seorang Pelopor Industri Rumpair laut Negara atau Seaweeds di Sebangkat Reef
sejak 20 tahun lalu dan mengadakan projek kerjasama dengan UMS (Universiti
Sabah Malaysia) dalam Industri itu melalui STREP Sdn. Bhd yang sedang berjalan
pada hari ini.
Dengan kedudukan Salleh
sebagai Setiausaha Lcf-TSMP (Local Forum Komuniti Tun Sakaran Marine Park)
sejak Taman Marin Tun Sakaran di wartakan pada 2004 termasuk 8 buah pulau iaitu
Sebangkat, Selakan, Sibuan, Maiga, Tatagan, Gaya, Mantabuan dan Bohey Dulang
yang mempunyai komuniti Nelayan seramai 3,000 orang.
Maka dengan pengalaman
kepimpinan dalam NGO, susurgalur keturunan yang serta pewaris Kepimpinan di kawasan
Semporna serta anak jati Sabah dari waris anak tempatan Semporna, maka kata
Badaruddin, USNO melihat beliau sebagai pemimpin yang berpotensi menjadi wakil
rakyat di kawasan itu untuk meneruskan legasi Semporna.
"Kita berharap agar
dapat menemui beliau sebelum hari penamaan calon kerana beliau menjadi harapan
generasi muda Semporna," kata Badaruddin yang yakin Salleh mampu
menewaskan calon BN di Semporna pada PRU-13.
Dalam pada itu, perisik Sabahkini.net
di Semporna mengesahkan ada saksi yang melihat Salleh dibawa beberapa orang
pegawai polis berpakaian preman sekitar 14 Mac tetapi atas sebab keselamatan
diri mereka, tidak ada saksi yang berani memperkenalkan diri.
Cubaan Sabahkini.net untuk
mendapat pengesahan polis Semporna juga gagal tetapi dipercayai Salleh ditahan
untuk soal siasat berhubung laporan pihak tertentu atas arahan 'Dua Datuk' dari
Kuala Lumpur.
Bagaimanapun Polis enggan
memberikan pengesahan tangkapan berkenaan dan Sabahkini.net gagal menemui
Peguam Keluarga mereka, Abdul Ghani Zelika yang dimaklumkan perisik
Sabahkini.net berada di Balai Polis Semporna, dua hari selepas Salleh ditangkap
polis.
Sabahkini.net terpaksa
menunggu sehingga 11 April iaitu genap 28 hari setelah Salleh dikhuatiri
ditangkap di bawah SOSMA, iaitu Akta yang membolehkan suspek ditahan polis selama
28 hari bagi membantu siasatan polis.
Sabahkini.net masih menunggu
pengesahan Menteri Dalam Negeri sama ada Salleh ditangkap di bawah SOSMA atau
ada motif politik sebagaimana yang berlaku di zaman pemerintah USNO apabila
calon yang berpotensi ditangkap dan dipenjarakan.
No comments:
Post a Comment