Sunday, 7 April 2013

BN BAKAL TERLEPAS KERUSI SEPANGGAR?






Oleh : HENRY BATING

KOTA KINABALU: Kerusi Parlimen Sepanggar yang bersebelahan bahagian utara Parlimen Kota Kinabalu sudah hampir pasti menjadi penyumbang sebagai ‘Fixed-Deposit’ Barisan Nasional (BN); namun pucuk kepimpinan BN perlu mengambil keputusan bijak menentukan calon yang boleh menang dan bersesuaian dengan sejarah sokongan rakyat kawasan yang merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam dan DUN Karambunai itu.

Mantan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Inanam, Alaska @ Kalasa Sahat berkata adalah menjadi hak semua parti komponen menawar diri bertanding atas tiket BN di Sepanggar, namun perkara penting yang tidak boleh diabaikan ialah bilangan kerusi Parlimen yang sudah diwakili sesebuah parti komponen yang berminat untuk bertanding.

“Kita boleh melakukan analisis mudah bahawa perwakilan sedia ada daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah diwakili Umno 13, PBS 4 (kalah 1), Upko 4, LDP 1 dan PBRS 1; manakala Sepanggar dan Tawau masih kosong ekoran dibawa keluar oleh SAPP.

“Jika Umno memutuskan mahu mengambil Sepanggar, maka bilangan kerusi Parlimen ditandingi parti itu Sabah akan menjadi 14; manakala Tawau jika diberikan kepada PBS menjadikan jumlah ditandingi parti ini menjadi 5,” kata Alaska.

Justeru, menurut Alaska, kesimpulan dapat dibuat bahawa Umno Sabah bakal memiliki lebih daripada separuh bilangan kerusi Parlimen di Sabah dan perkiraan ini akan memberikan ruang kepada pihak pembangkang untuk membawa isu bahawa parti tunjang BN itu tidak bersedia berkongsi kuasa menurut perkiraan yang sebenarnya.

Sebaliknya, kata Alaska, pemilihan calon hendaklah disesuaikan dengan bilangan 53,226 pengundi kawasan Parlimen Sepanggar, yang merangkumi kira-kira 35 peratus masyarakat Kadazandusun Murut (bukan Islam), Bajau Sama dan bumiputera Islam 45 peratus, Cina dan Sino 20%.

“Tapi dalam komposisi pengundi itu pun, bumiputera Islam turut merangkumi keluarga masyarakat Kadazandusun Murut, demikian juga dengan Sino yang turut merangkumi peranakan etnik Kadazandusun Murut,” kata Alaska yang kini memegang jawatan sebagai Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Inanam.

Oleh itu kata Alaska, kawasan Inanam dan Karambunai sejak penubuhan PBS pada tahun 1985 telah mendapat sokongan padu mewakili kawasan parlimen yang sekarang ini dinamakan Sepanggar dari kalangan pengundi Kadazandusun Murut, Cina dan Bajau Sama.

“Sejak kawasan Parlimen ini bernama Penampang, Gaya dan kini Sepanggar, calon yang terpilih mewakili kawasan ini adalah dari kalangan yang mendapat sokongan dari pengundi majoriti.

"Kita telah melihat bahawa kawasan Parlimen ini telah diwakili Tan Sri Bernard Dompok (Penampang), Datuk Philip Yong Chew Lip (Gaya), Datuk Liew Teck Chan (Gaya) dan Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) yang mendapat sokongan pengundi majoriti,” kata Alaska sambil menambah Dompok dan Philip Yong memenangi kerusi itu atas tiket PBS.

Alaska yang menjadi Ketua Bahagian PBS (2000-2003) menyatakan pihaknya mendapati penyokong majoriti PBS pelbagai etnik di Sepanggar adalah tidak mengalami banyak perubahan ketika parti itu menjadi pembangkang dan kini sebagai komponen BN.
“Satu perkara lagi, kekuatan PBS di kawasan Sepanggar adalah menonjol dengan kewujudan lebih 100 cawangan di Inanam dan Karambunai meliputi lebih 9,000 ahli. Dan keseluruhan ahli ini adalah penduduk asal kawasan Sepanggar dan mengundi di kawasan Sepanggar,” kata Alaska.

Alaska berharap, dengan melihat kronologi sokongan tersebut, adalah penting bagi pucuk pimpinan BN memilih calon yang boleh menang dan kawasan yang boleh dimenangi BN.

No comments:

Post a Comment