KUALA LUMPUR : Barisan
Nasional (BN) akan menyerahkan surat tauliah calonnya yang akan bertanding pada
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kepada Pengerusi BN negeri Isnin, lima hari
sebelum penamaan calon Sabtu depan.
Pengerusi Biro Publisiti dan
Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan berkata majlis itu akan diadakan di Ibu
Pejabat BN di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala
Lumpur.
Beliau berkata Pengerusi BN
negeri akan pulang ke negeri masing-masing untuk mengumumkan calon-calon PRU13
BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
"Kebanyakan negeri
dijangka membuat pengumuman esok dan Selasa ini, dan itu semua terpulang kepada
mereka (pengerusi-pengerusi negeri)," katanya ketika dihubungi Bernama
pada Ahad.
Beliau berkata Pengerusi BN
Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menyampaikan surat tauliah itu kepada
pengerusi BN negeri.
Sementara itu di KOTA
BAHARU, Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pengumuman
calon BN negeri itu akan diumumkan selepas mendapat lampu hijau daripada Najib.
"Kemungkinan esok
muktamad (senarai calon)," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media BN
Kelantan di Kota Baharu.
Beliau berkata BN Kelantan
telah mengemukakan cadangan calon yang terdiri daripada muka lama dan baharu,
tokoh agama, Pemuda dan Wanita, dan senarai itu telah mendapat pandangan
daripada semua pihak, termasuk perbincangan dengan ketua-ketua UMNO bahagian
masing-masing.
Beliau berharap mereka yang
tidak dicalonkan, tidak merajuk dan mengkhianati parti itu seperti
mensabotajnya dengan 'cah keting'.
"Kalau merajuk sekali
pun fikirlah yang kita perlu kembali untuk bekerja demi untuk merampas Kelantan
daripada PAS dan untuk masa depan rakyat yang perlukan pembelaan kita,"
katanya.
Sementara itu, BN Johor dan
Kedah dijangka mengumumkan calon BN negeri masing-masing pada pagi Selasa, kata
jurucakap BN kedua-dua negeri terbabit.
Di SHAH ALAM, Timbalan
Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata BN negeri itu akan
menampilkan beberapa muka baharu terdiri daripada golongan profesional, guru
dan wakil badan bukan kerajaan, terutama untuk kerusi DUN yang BN tewas pada
PRU lepas.
Bercakap kepada pemberita
selepas menghadiri majlis Mesra Komuniti Usahawan Selangor anjuran Tabung
Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di Shah Alam, beliau berkata BN
Selangor telah meminta Najib, yang juga Pengerusi BN negeri itu, mengumumkan
dan menyampaikan sendiri surat tauliah kepada calon di negeri itu.
BN akan menurunkan
calon-calonnya untuk bertanding di kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada pilihan raya umum 2008,
BN memenangi 140 kerusi Parlimen dan 307 kerusi DUN.
SPR pada Rabu lepas
menetapkan penamaan calon Sabtu ini dan pengundian pada 5 Mei. (Bernama)
No comments:
Post a Comment