LAHAD DATU : Pusat Media di
Felda Sahabat yang dibuka hampir dua bulan berikutan insiden pencerobohan
militan dari selatan Filipina ditutup Ahad.
Pusat itu, yang sebelum ini
beroperasi 24 jam, memberi kemudahan internet, komputer dan pencetakan kepada
lebih 100 wartawan dan jurugambar yang membuat liputan sepanjang Operasi
Daulat.
Pegawai Perhubungan Awam
Jabatan Penerangan Sabah Mohd Kaya Ijjoh berkata pusat media itu ditutup
sepenuhnya selepas Operasi Daulat diumum akan berakhir.
Semalam Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Operasi Daulat sejak 5 Mac lepas
bagi menangani insiden pencerobohan pengganas dari Filipina di pantai timur
Sabah akan berakhir beberapa hari lagi.
Najib berkata operasi
kepolisan dan ketenteraan untuk menghapuskan pengganas itu akan diteruskan di
bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Sementara itu, Pegawai Media
Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan Lt Mohd Hafiz Mohamed Sabilan
berkata Kementerian Pertahanan masih beroperasi di pusat media itu bagi
membantu wartawan yang membuat liputan.
"Hanya media tentera
yang masuk untuk ambil gambar dan mengedarkannya kepada media," katanya.
No comments:
Post a Comment