Oleh: JACOB BALANG
KOTA KINABALU: Parti
Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Nasional menegaskan bahawa parti itu
setakat ini telah pun selesai mengenalpasti 7 pemimpinnya yang layak untuk
bertanding sebagai calon bagi kawasan Parlimen; manakala 18 pemimpinnya untuk
bertanding kerusi Dun kini masih dalam proses tapisan pihak pejabat Insolvensi.
Presidennya, Haji Masrum
Dayat (dua dari kiri) berkata demikian dalam satu sidang media sejurus selepas parti itu
selesai mengadakan mesyuarat khas yang dihadiri kira-kira seratus Ketua Ketua
Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi yang diadakan di bangunan Tabung Haji pada
Sabtu.
Hadir sama mengiringi beliau
Setiausaha Agung Parti KITA Azmi Othman, Ketua Penerangan Jailin Toh, Thomas
Anggan (Pengerusi Parti KITA Sabah), Mutang Dawat dan beberapa pemimpin parti
itu diperingkat Nasional.
Haji Masrum berkata, ketujuh
tujuh pemimpin yang telah melepasi tapisan dari pihak Insolvensi dan layak
bertanding bagi kerusi Parlimen adalah seperti berikut, Woldin Salag (Kota
Marudu); Haji Asik Shah (Kota Belud); Ag Tengah bin Pg Damit (Sipitang); Dr
Abdul Rasid Kobod (Semporna); Thomas Anggan (Keningau), Mutang Dawat (Tenom)
dan Engah Sintan (Pensiangan).
“Jumlah yang diumumkan
sekarang tidak bermakna parti ini hanya menurunkan sejumlah itu sahaja, tetapi
kita masih ada lagi pemimpin untuk bertanding bagi kerusi Parlimen dan DUN
tetapi masih belum mendapat pelepasan daripada pihak Insolvensi.
“Kita mahu semua bakal bakal
calon mesti melepasi kekangan kelayakan mereka untuk bertanding dan memastikan
mereka ini benar benar bersih dan bebas daripada masalah kebankrapan. Lagi pun
kita mahu pemimpin yang bakal diturunkan itu mempunyai rekod bersih supaya
rakyat akar umbi tidak ragu-ragu memberi sokongan padu,” tegas beliau.
Ketika ditanya sama ada
parti KITA akan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain untuk
menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum kali ke-13 (PRU13)
beliau berkata, kesediaan mereka sentiasa terbuka jika pakatan kerjasama yang
dihasratkan itu jujur dan ikhlas.
Sebelum itu, ketika
mesyuarat itu berlangsung, situasi agak tegang sedikit apabila beberapa
pemimpin akar umbi khususnya bakal calon mula mengetengah isu perbelanjaan
parti untuk membiayai kos pencalonan dan kos operasi berkempen yang sepatutnya
mendapat subsidi daripada pucuk pimpinan parti.
Namun keadaan bertambah
hangat apabila pucuk pimpinan parti enggan menyerahkan surat watikah pencalonan
dan tauliah parti kepada bakal bakal calon dengan alasan bahawa mereka (bakal
calon) hendaklah terlebih dahulu melalui tapisan dari pejabat Insolvensi yang
mengesahkan mereka bebas dari masalah kebankrapan.
Seorang pemimpin parti itu
yang tersenarai untuk bertanding kawasan Parlimen Pensiangan Engah Sintan
berkata, “Kita tidak mahu terlalu membuang masa dengan pelbagai alasan itu dan
ini termasuk masalah kewangan parti. Tetapi apa yang lebih penting, serahkanlah
watikah dan tauliah kepada kami dan tahulah kami menguruskannya kepada pihak
Insolvensi,” tegasnya.
Manakala seorang bekas ahli
DAP Kemabong yang mahu menyertai Parti KITA, William Datuk Tingkalor bertindak
meninggalkan mesyuarat itu kerana bingung dengan situasi tersebut sambil memberitahu
bahawa beliau (William) mahu menangguhkan hasratnya itu untuk sementara waktu.
No comments:
Post a Comment