KUALA LUMPUR : Anak saudara
kepada Jamalul Kiram, yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, Datu Amirbahar Hushin
Kiram hari ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat
Polis Daerah Lahad Datu, Sabah, atas pertuduhan melancarkan perang terhadap
Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.
Datu Amirbahar, bakal
berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan
iaitu melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Dia yang dianggap sebagai
Menteri Pertahanan Kerajaan Kesultanan Sulu juga didakwa menjadi anggota
kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman
penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Datu Amirbahar, 49, dari
Jolo, Selatan Filipina didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kg Tanduo,
Lahad Datu, antara 9 Feb dan 23 Mac lepas.
Tiada pengakuan direkodkan
daripada tertuduh yang ditangkap pada 23 Mac lepas ketika pertuduhan dibacakan
dalam bahasa Suluk di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam a/l
S.S.Maniam yang bersidang sebagai Majistret.
Pendakwaan diketuai Ketua
Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Datuk Nordin Hassan, dan Timbalan Pendakwa Raya
(DPP) Mohd Dusuki Mokhtar, kedua-duanya dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya
dan DPP Lahad Datu Shukor Abu Bakar.
Mahkamah juga membenarkan
permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 177A (2) Kanun Prosedur Jenayah
bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau dan 14 Mei ditetapkan untuk
sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi.
Mengikut Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, semua kesalahan keselamatan hendaklah
dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Berikutan dakwaan terhadap
Datu Amirbahar, 20 warga Filipina didakwa setakat ini manakala seorang koperal
polis warga tempatan juga didakwa di Mahkamah Majistret berhubung insiden
pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini.
Kesemua warga Filipina itu
didakwa berhubung pelbagai kesalahan antaranya melancarkan perang ke atas Yang
di-Pertuan Agong, menjadi anggota kumpulan pengganas, melindungi pengganas
serta merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas.
Seorang anggota polis pula
didakwa tidak memberi maklumat mengenai tindakan pengganas. Kesemua kes itu
juga dipindahkan di Mahkamah Tinggi Tawau.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment