Saturday, 20 April 2013

OPS DAULAT : PETRONAS SUMBANG RM1.2 JUTA






KUALA LUMPUR : Petronas Jumaat menyumbang RM1.2 juta kepada Tabung Kebajikan Ops Daulat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tabung Perwira Lahad Datu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga kepada anggota keselamatan yang terkorban sewaktu Ops Daulat.

Dalam satu kenyataan, syarikat minyak negara itu berkata sumbangan untuk kedua-dua tabung yang masing-masing berjumlah RM500,000 disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Haji Omar dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Bukit Aman, di sini.

"Baki sumbangan berjumlah RM200,000 akan diagihkan kepada 10 keluarga anggota PDRM dan ATM yang terkorban ketika bertugas dalam Ops Daulat di Lahad Datu dan Semporna, Sabah baru-baru ini.

"Sumbangan ini diberikan untuk membantu meringankan beban keluarga yang ditinggalkan, khususnya bagi menampung keperluan pendidikan anak-anak anggota keselamatan yang terkorban. Bayaran berjumlah RM20,000 bagi setiap keluarga tersebut akan dibuat menerusi akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i)," katanya.

Sumbangan yang diberikan Petronas itu merupakan tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap usaha dan risiko yang telah diambil oleh anggota keselamatan untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan negara di Malaysia.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. (Bernama)

No comments:

Post a Comment