Wednesday 17 April 2013

CINA MASIH SETIA BERSAMA BN




PADU....Au yakin sokongan padu kaum Cina terhadap kerajaan BN masih kekal.

Oleh: SHAIMON S JUMADI                   Foto : SAFFIE S JUMADI

SANDAKAN : Calon BN daripada Parti Gerakan, Au Kam Wah yang bertanding di kawasan Elopura pada PRU 13 ini menyatakan bahawa sokongan masyarakat Cina terhadap perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) masih kukuh dan 70 peratus pengundi Cina masih setia dengan pucuk pimpinan BN; sama ada di peringkat negeri dan juga persekutuan.

Ini jelas kata Au, setiap program yang berpaksikan kemasyaratan Cina telah nampak kehadiran mereka begitu menggembirakan sekali untuk mendengar ceramah mengenai situasi perjalanan politik semasa.

Au Kam Wah berkata demikian  kepada  Sabahkini.Net sejurus selepas menghadiri Perbincangan Tertutup dengan Ketua-Ketua Parti Komponen Barisan Nasional  (BN) zon Sandakan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka dekat sini, kelmarin.

Katanya, di kawasan Elopura, sokongan Cina terhadap BN masih kental kerana mereka masih memerlukan perubahan dalam aspek ekonomi dan pembangunan prasarana di beberapa tempat tertentu.

“Saya bagi pihak Parti Gerakan sebagai rakan dalam parti komponen BN merasa terharu kerana sokongan yang diberikan daripada parti-parti komponen Bn seperti PBS, UPKO, MCA, MIC dan LDP begitu baik ini membuktikan sokongan padu yang ditunjukan akan membolehkan  calon-calon BN yang bertanding di kawasan DUN Elopura, Tanjung Papat dan juga Parlimen Sandakan akan memperoleh kemenangan untuk mengekalkan kerusi di kawasan-kawasan pada PRU 13 ini,” ujarnya.






WAWANCARA....V.K Liew yakin kerusi Parlimen Sandakan DUN Elopura dan Tg Papat kekal milik BN.

Sementara Datuk Liew Vui Keong yang masih kekal calon di Parlimen Sandakan yang mungkin sengit berdepan dengan beberapa parti pembangkang seperti DAP dan Star; turut menyatakan perkara yang sama bahawa sokongan Cina kepada kerajaan BN masih kental kerana mereka sedar sejak BN menerajui kerajaan sejak 20 tahun di Sabah khususnya di Sandakan, banyak membawa perubahan besar dalam arus perdana pembangunan Sabah.

“Di Sandakan, telah wujud Hub Pendidikan iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS); jalan raya dinaik taraf dan banyak lagi kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk dinikmati oleh rakyat setempat. Contohnya lebih  daripada 100 hotel dibina di daerah ini dan sekaligus memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan,” katanya.

Ditanya hubungan LDP dengan UMNO, Gerakan, PBS, UPKO, MIC, MCA; V.K Liew menjelaskan memang cukup baik dan telah menampakkan kerja sama yang erat; apatah lagi di musim kempen pilihanraya umum ke 13 kerana masing-masing mempunyai peranan membantu calon BN yang bertanding.

“Pembangkang seperti DAP, PKR, Star dan SAPP sudah ketandusan isu dan hanya mengitar semula isu lapuk sepert RCI, Pencerobohan, Barang mahal dan NCR; sedangkan rakyat sudah bosan mendengar propaganda sedemikian  yang dilemparkan kepada kerajaan BN,” ujarnya lagi.

Kata V.K Liew lagi, walaupun pihak pembangkang melontarkan pelbagai tuduhan dan tohmahan kepada kerajaan BN, rakyat sudah bosan dengan tindak tanduk pembangkang yang hanya bijak bercakap dan memutarbelitkan fakta, tetapi akhirnya seperti menjual air liur basi.

“Macam Pengerusi DAP Sandakan, Steven Wong yang mahu jadi pemimpin; sedangkan mahu cakap bahasa Melayu dan Inggeris pun  tidak fasih seperti baru  datang dari Shanghai,” ujar V.K Liew.

Turut hadir pada perjumpaan tersebut Timbalan Ketua Bahagian UMNO Sandakan Datuk Hj Awang Sham, Pengerusi UMNO Zon Elopura Datuk Hj Alipuddin Puyon dan Ketua-Ketua Bahagian parti-parti komponen BN lainnya.

No comments:

Post a Comment