Oleh : HAFIZ YATIM &
SUSAN LOONE
DAP telah memaklumkan kepada
semua 51 calon Parlimen dan 103 calon DUN negeri dari parti itu supaya
menggunakan logo roket terlebih dahulu semasa penamaan calon esok, dan
menunjukkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) surat kebenaran yang
ditandatangani oleh Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.
"Jika sekiranya kami
tidak boleh menggunakan simbol kami, kemudian baru tunjukkan kepada mereka
surat kebenaran yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa
Ali," kata Lim dalam satu sidang akhbar hari ini.
Arahan itu dibuat selepas
DAP memutuskan untuk menggunakan logo PAS dan PKR untuk bertanding dalam
pilihan raya umum akan datang pada 5 Mei.
Lim berkata dua surat
kebenaran telah ditandatangani oleh parti itu dan PAS untuk calon-calonnya.
"Ini adalah peluang
terakhir kami untuk menggunakan simbol roket tetapi jika tidak boleh, kita akan
guna simbol PAS," kata Ketua Menteri sementara Pulau Pinang itu.
Sebelum itu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata calon DAP
akan menggunakan logo PAS di semenanjung dan PKR di Sabah dan Sarawak sekiranya
mereka tidak dibenarkan menggunakan logo sendiri di hari penamaan esok.
Karpal berkata, keputusan
itu diambil kerana sehingga jam 3 petang ini - tarikh akhir yang ditetapkan DAP
- mereka tidak mendapat sebarang respon penarikan balik surat penggantungan
jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu daripada Pendaftar Pertubuhan
(ROS).
pakatan convention 191209
karpal with nik azizKarpal juga berkata tiada tanda-tanda surat itu akan tiba.
"Ekoran itu, kami akan
teruskan apa yang diputuskan semalam dan bertanding bawah lambang PAS di
Semenanjung dan PKR di Sabah dan Sarawak," katanya ketika dihubungi.
Setiausaha Agung PAS Datuk
Mustafa Ali ketika dihubungi juga mengesahkan DAP akan menggunakan logo parti
Islam itu di semenanjung.
Karpal sebelum ini meminta
ROS menarik balik surat bertarikh 17 April sebelum jam 3 petang hari ini dan
tidak akan memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan ROS itu.
Surat itu dihantar ekoran
dakwaan berlaku kesilapan teknikal dalam pemilihan parti tu tahun lepas.
Tindakan itu diambil
walaupun Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
mengesahkan bahawa DAP masih boleh untuk bertanding walaupun tanpa
pengiktirafan ROS.
"Saya telah tandatangan
semua watikah untuk calon DAP (bertanding di semenanjung)," kata Mustafa
sambil menyifatkan langkah itu sebagai "bersejarah" untuk PAS.
Sementara itu, Pengerusi DAP
Sarawak, Wong Ho Leng memberitahu sidang akhbar di Sibu bahawa surat kebenaran
bertanding di bawah PKR kini dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke negeri itu
Katanya, PAS sudahpun
menghantar surat kebenaran mereka
yang tiba pagi ini dan telah
diserahkan kepada calon-calonnya di kawasan luar bandar kerana bimbang surat
kebenaran dari tidak sampai pada masanya.
Sementara itu, pengarah
pilihan raya DAP Sabah, Fred Fung berkata surat kebenaran dari PKR untuk
calon-calon DAP kini dalam perjalanan dari Kuala Lumpur.
"Orang kita menunggu di
Kota Kinabalu sekarang untuk mengambil surat tersebut dan menyerahkannya kepada
calon-calon kami di Sandakan dan Melalap," katanya ketika dihubungi.
Sandakan dan Melalap
masing-masing terletak 319km dan 157km dari Kota Kinabalu.
No comments:
Post a Comment