Saturday, 20 April 2013

DETIK BERSEJARAH DALAM PERJUANGAN PAS






BERSEJARAH....Nik Aziz menyifatkan kesediaan DAP menggunakan logo PAS sebagai detik bersejarah dalam perjuangan PAS semenjak lebih separuh abad ia ditubuhkan.

Oleh : AMIN ISKANDAR

KUALA LUMPUR : Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap kesediaan DAP untuk menggunakan logo PAS dalam Pilihan Raya 2013 sebagai satu detik bersejarah dalam perjuangan parti Islam itu.

Hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan untuk menjadikan logo PAS sebagai sandaran di Semenanjung Malaysia jika pegawai pengurus (RO) menolak surat watikah dari calon parti tersebut.

Bagi negeri di Malaysia Timur di Sabah dan Sarawak, logo mata PKR akan digunakan oleh DAP sekiranya terpaksa.

“Dari sudut yang lain, kesediaan DAP menggunakan logo PAS ini saya sifatkan sebagai detik bersejarah dalam perjuangan PAS semenjak lebih separuh abad ia ditubuhkan,” kata Nik Abdul Aziz dalam satu kenyataan petang ini.

Semalam pendaftar pertubuhan (RoS) menghantar satu surat kepada pucuk pimpinan DAP mengatakan mereka tidak mengiktiraf pemilihan CEC yang dijalankan pada Disember tahun lalu.

Menurut menteri besar Kelantan sementara itu, keberanian DAP untuk menggunakan logo bulan PAS untuk bertanding di kawasan Cina membuktikan tembok perkauman yang selama ini cuba ditanam oleh pemerintah Barisan Nasional (BN) akhirnya berjaya dipecahkan.

“PAS dan DAP sering dilagakan oleh Umno/Barisan Nasional. Di hadapan bangsa Melayu, pemimpin Umno menakut-nakutkan mereka dengan bahaya DAP dan begitu juga sebaliknya di hadapan bangsa Cina, mereka digembar-gemburkan dengan imej PAS sebagai taliban, radikal dan sebagainya.

“Hari ini, benteng tersebut telah runtuh sepenuhnya. DAP tanpa takut-takut lagi telah merobohkan persepsi ini apabila bertindak berani memilih logo PAS untuk bertanding di kawasan-kawasan yang telah diperuntukkan kepada mereka khususnya kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina,” tambah beliau dalam kenyataan yang disiarkan di portal Harakahdaily itu.

Nik Abdul Aziz bersimpati dengan kejadian yang menimpa DAP pada saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon yang akan diadakan esok.

“Isu logo sekalipun mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi ia melambangkan maruah dan harga sebuah perjuangan,” katanya.

Petang tadi Lim Guan Eng mengatakan calon DAP akan diberikan dua borang penamaan calon apabila hadir di pusat penamaan calon di 51 kerusi parlimen dan 103 kerusi negeri yang akan ditandingi oleh oleh parti itu pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

“Kami akan sediakan dua surat watikah dan kita akan serahkan surat DAP terlebih dahulu dan jika ditolak, surat watikah kedua dari PAS di bawah logo bulan akan digunakan,” kata beliau dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat DAP di sini merujuk kepada pertandingan di semenanjung Malaysia.

Ketua menteri sementara Pulau Pinang itu mengatakan keputusan tersebut dicapai kerana penyokong mahukan parti mencuba menggunakan simbol Roket.

No comments:

Post a Comment