Wednesday, 10 April 2013

INSIDEN PENGGANAS TIDAK JEJAS PELABURAN








TAHNIAH...Dato Sri Nasir (kiri) bersalaman dengan Pengerusi Kinabalu Land, Haji Ahmad Shah Naing (kanan) sempena majlis menandatangani Perjanjian Usahasama itu di MDS Semporna.

Oleh : ARSHAD HUSSIN

SEMPORNA : Isu Insiden pencerobohan pengganas Lahad Datu dan Semporna bulan lalu tidak memberi impak yang besar terhadap pelaburan hartanah di daerah ini, sebaliknya perniagaan itu mendapat permintaan tinggi di kalangan pelabur luar.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Dato Sri Nasir Tun Sakaran, berkata para pelabur semakin yakin dengan keadaan keselamatan di daerah itu kembali pulih sekaligus melonjakkan pertumbuhan sosio-ekonomi yang semakin ketara khususnya dalam sektor pelaburan hartanah.

Beliau berkata demikian sempena merasmi dan menyaksikan majlis Pemeterian Perjanjian Usahasahama Pembinaan antara Syarikat Kinabalu Land Sdn.Bhd dengan Majlis Daerah Semporna (MDS) di sini.

Hadirsama sempena majlis itu Pegawai Daerah Semporna, A.M.Ibnu A.K.Baba; Timbalan Pengerusi MDS, Haji Hisyam Datuk Abdul Fattah; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Semporna, Mohd.Saidi Haji Ibrahim; Pengerusi dan Pengarah Urusan Kinabalu Land Sdn.Bhd, Haji AhmadShah Naing, Pengarah Kinabalu Land Sdn.Bhd., Eardie Surianto; Imam Daerah, Al-Fadhil Ustaz  Haji Isthial Danial.

Pemeteraian perjanjian usahasama itu bagi membangun premis perniagaan tiga tingkat dan mempunyai 38 pintu  di atas tapak tanah milik MDS seluas 3.722 ekar.

Syarikat Kinabalu Land Sdn.Bhd. diwakili Pengerusi dan Pengarah Urusan Kinabalu Land Sdn.Bhd, Haji AhmadShah Naing sementara Majlis Daerah Semporna diwakili Pegawai Daerah Semporna merangkap Pengerusi MDS, Abdul Muhammad Ibnu Abdul Kadir Baba.

Nasir menjelaskan, kos pembangunan bangunan kedai itu menelan belanja sekitar RM40 juta hingga RM50 juta dengan tempoh penyiapan selama 30 bulan.

Sehubungan itu Dato Sri Nasir, mengingatkan para pemaju premis perniagaan menyediakan kawasan terbuka (Open Space) dan letak kereta yang secukupnya apabila membina bangunan-bangunan kedai bagi mengelak kesesakan lalulintas demi keselamatan serta keselesaan pengguna.

Katanya, antara faktor kesesakan di setiap lorong kedai adalah disebabkan pengabaian aspek penyediaan ‘open space’ yang luas dan letak kereta yang tidak tersusun rapi sehingga menimbulkan kesesakan dan kesukaran kenderaan melalui lorong-lorong kedai.

No comments:

Post a Comment