KERAJAAN sementara perlu
wujud apabila terbubarnya Dewan Rakyat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong
dan berfungsi sebagai kerajaan, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Beliau berkata Perlembagaan
Persekutuan tidak memperuntuk secara khusus mengenai kerajaan sementara tetapi
Perkara 43 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntuk bahawa Yang di-Pertuan
Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam menjalankan
fungsinya.
Katanya ini selaras dengan
Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntuk bahawa Yang di-Pertuan
Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang
menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri.
"Kita juga harus
melihat kes Abdul Ghani Ali v. Pendakwa Raya (2001), apabila Mahkamah
Persekutuan memutuskan bahawa perkataan 'hendaklah' dalam Perkara 43 (1)
Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa Jemaah Menteri perlu wujud pada
setiap masa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong walaupun Parlimen telah
dibubarkan.
"Perlu ada sebuah
kerajaan secara berterusan, tidak harus ada jurang. (Patut sentiasa ada) sebuah
kerajaan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong. Ini keputusan mahkamah. Jadi
berdasarkan ini perlu ada sebuah kerajaan sepanjang masa, maka penubuhan
kerajaan sementara dibuat," katanya kepada Bernama dalam temu bual di
pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Abdul Gani berkata
Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntuk secara khusus mengenai kerajaan
sementara dan fungsinya tetapi ia wujud melalui konvensyen perlembagaan yang
tersirat dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya kerajaan sementara
yang terdiri daripada barisan Jemaah Menteri bermula apabila Dewan Rakyat
dibubarkan dan akan tamat pada tarikh pelantikan perdana menteri yang baharu
selepas keputusan pilihan raya umum atau sehingga bermula penggal baharu
Parlimen, yang mana lebih awal.
Beliau menjelaskan bahawa
kerajaan sementara boleh menjalankan urusan pentadbiran kerajaan yang tertakluk
kepada batasan-batasan tertentu.
Katanya kerajaan sementara
boleh mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran rutin agensi
kerajaan tetapi tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan polisi yang besar,
memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk.
Beliau juga berkata kerajaan
sementara boleh membuat apa-apa keputusan berhubung keselamatan, kestabilan dan
ekonomi negara serta ketenteraman awam yang sedang diancam.
Selain menjalankan tugasan
rasmi yang rutin, Abdul Gani berkata kerajaan sementara juga boleh meneruskan
pelaksanaan dasar dan program yang sedia ada dengan peruntukan kewangan telah
disediakan seperti projek perumahan rakyat termiskin, pinjaman mikro kredit dan
pemberian hak milik tanah.
Katanya kerajaan sementara
boleh membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji dengan syarat
peruntukan mengenainya telah diluluskan kerajaan dan Parlimen khususnya di
bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan Belanjawan 2013.
Katanya ini termasuk membuat
apa-apa pembayaran yang diluluskan kerajaan sebelum Dewan Rakyat dibubarkan
kerana tindakan itu merupakan antara perkara rutin yang menjadi tanggungjawab
kerajaan sementara.
"Contoh, Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) sudah diputuskan, itu hak rakyat untuk memperolehnya. Jadi apa
pula timbul isu penyogokan? Penyogokan hanya boleh digunapakai apabila
seseorang itu tidak mempunyai hak dan saya beri 'sebagai membalas budi',"
katanya.
Beliau berkata anggota
kerajaan sementara boleh mengadakan atau menghadiri majlis-majlis rasmi dan
mengadakan jamuan yang telah dijadualkan bagi sesuatu projek, program atau atur
cara yang ditetapkan dengan menggunakan perbelanjaan kerajaan dan mematuhi
arahan perbendaharaan yang berkuatkuasa.
Abdul Gani juga berkata anggota
kerajaan sementara boleh merasmikan sesuatu majlis sekiranya majlis berkenaan
hanya sekadar melibatkan perasmian jalan raya, sekolah atau jambatan yang telah
dijadualkan.
Katanya anggota pentadbiran
juga boleh merasmikan apa-apa majlis di kawasan beliau bertanding termasuk
majlis bukan di bawah tanggungjawabnya mengikut Perintah Menteri-Menteri
Kerajaan Persekutuan semasa Dewan Rakyat terbubar.
Selain itu, katanya,
kerajaan sementara juga boleh menetapkan tarikh permulaan kuatkuasa mana-mana
undang-undang yang telah diluluskan Parlimen.
"Pada asasnya, terdapat
tiga perkara yang kerajaan sementara tidak patut lakukan - membuat keputusan
dasar-dasar utama yang mungkin boleh menjadi komitmen atau membebankan kerajaan
yang bakal dibentuk , membuat pelantikan penting seperti melantik ketua hakim
negara baharu oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Untuk menasihatkan
sebarang pelantikan, tak boleh. Ketiga, menandatangani mana-mana kontrak besar
bagi pihak kerajaan," katanya.
Ditanya sama ada terdapat
negara lain menggubal undang-undang khusus mengenai kerajaan sementara, Abdul
Gani berkata : "Setakat yang saya tahu, tidak ada". (Bernama)
No comments:
Post a Comment