Friday, 5 April 2013

LAGI SKANDAL TANAH FORDECO TERBONGKAR







PENIPUAN.....Aidin menjelaskan kepada Sabahkini.Net mengenai dua beradik yang menipu 200 peserta menggunakan 'Surat Kuasa' palsu.

Oleh: SHAIMON S JUMADI                   Foto : SAFFIE S JUMADI

SANDAKAN : Satu lagi Kes Penipuan Tanah Koyah A, Fasa III, Tenegang, Kinabatangan yang membabitkan 200 pemohon bagi kawasan  seluas 3,000 ekar yang dipohon pada tahun 1993 lagi, kini terdedah.

Tanah yang dimaksudkan itu adalah di bawah Skim Pekebun Kecil tetapi tanah ini telah jatuh ke tangan Dataran Indah Jaya, anak Syarikat Fordeco Sdn Bhd akibat perbuatan penyelewengan oleh Jabatan Tanah dan Ukur kerana walaupun sudah mempunyai geran, begitu mudah dipindahmilik.

Aidin Osman yang dilantik oleh 200 pemilik tanah tersebut sebagai Ketua Pengurusan dan Pengendalian Kes ini menjelaskan bahawa kes ini sudahpun difailkan ke Mahkamah Majistret untuk mempertikaikan 'Power of Attorney' (PA) palsu itu dan pembicaraan kes ini akan diadakan pada Mei tahun ini.

Kata Aidin lagi, dua orang adik beradik yang dikenali sebagai Adlin Mohd dan Hasbol Mohd telah melakukan penipuan dengan menggunakan PA  palsu setelah meniru tandatangan seramai 200 peserta sedangkan mereka tidak pernah menandatangani sebarang dokumen daripada Adlin dan Hasbol.

Jenayah terancang ini telah dilaporkan kepada polis dan ekoran daripada itu Adlin telah ditangkap tetapi dibebaskan atas ikat jamin oleh dua penjamin RM75,000 sehingga menunggu tarikh bicara yang ditetapkan Mei kelak.

Kata Aidin, Adlin dan Hasbol memang licik kerana mereka  menggunakan  dua set PA dan setiap satu PA melibatkan seramai 100 orang dan kedua adik beradik menerima ganjaran yang cukup lumayan dan tidak ternilai jumlahnya daripada Dataran Indah Jaya.

Menurut Aidin, Hasbol abang kepada Adlin kini yang sedang berada di luar Sabah sedang diburu polis dan pihak polis meminta Hasbol menyerah diri  di mana-mana Balai Polis berhampiran

Aidin berkata demikian kepada Sabahkini.Net selepas menyaksikan satu majlis menandatangani PA baru yang melibatkan 200 orang pemilik tanah di hadapan Peguambela dan Peguamcara Omar Bakri & Co  di pejabatnya, dekat sini, kelmarin.

Aidin berkata sepandai-pandai tupai melompat  akhirnya jatuh  ke tanah juga. Inilah akibatnya kalau orang tamak menipu dan makan hak orang lain maka hidup tidak sempurna kerana ditimpa bermacam-macam bala akibat terkena sumpahan mangsa yang teraniaya.

"Walaupun Hasbol dan Adlin telah menerima jutaan ringgit tetapi tidak kekal lama daripada hasil menipu. Tidurpun tidak selesa. Kita dapat maklumat mereka terima lebih RM10 juta, tetapi lesap sekelip mata,” ujar Aidin.

No comments:

Post a Comment