Friday, 5 April 2013

PRU-13 TELAH LAMA DINANTIKAN






Oleh: KREW SABAHKINI.NET

TUARAN : Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka Malaysia (AMANAH) Kawasan Sulaman, Haji Ghulabdin Enjih menyambut baik pengumumam Pembubaran Dewan Rakyat ke 12 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan diikuti oleh Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman pada rabu bagi memberikan laluan kepada PRU-13.

Haji Ghulabdin yang juga Bekas Ketua penerangan UMNO Bahagian Tuaran optimis bahawa golongan muda dijangka akan memberikan sesuatu  kejutan untuk membawa perubahan besar terhadap pemilihan tampuk pemerintahan kerajaan yang akan datang.

Katanya, dengan berbekalkan maklumat yang diperolehi menerusi kemudahan laman sosial dan blog, beliau mendakwa pandangan rakyat terutamanya golongan muda terhadap kerajaan hari ini sudah mula berubah.

"Saya percaya golongan muda yang kini lebih mempercayai sumber yang diperolehi daripada laman maya seperi 'Facebook' dan 'Twitter' akan turut mempengaruhi sokongan dan keputusan PRU ke 13 nanti.

"Hakikatnya golongan muda tidak akan terpengaruh dengan momokan media arus perdana seperti TV1 dan TV3 yang mereka sifatkan hanya merupakan retorik dan rekaan semata-mata," kata Haji Ghulabdin yang juga Pengarah Media dan Perang saraf Jentera Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kawasan Sulaman.

Ketika diminta mengulas mengenai persediaan parti pembangkang sejurus pengumuman pembubaran Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri beliau menyatakan, pelbagai siri menemui rakyat telah dilakukan termasuklah Jelajah Pakatan Harapan Rakyat yang dijayakan sendiri oleh pimpinan pembangkang seperti Ketua Umum PKR Pusat, Datuk seri Anwar Ibrahim.

"Melihat kepada tahap sokongan rakyat yang begitu tinggi terhadap pembangkang begitu ketara setelah pelbagai isu meletus di negara ini seperti rasuah, kroni, ketelusan dan yang terbaru insiden pencerobohan berdarah di Lahad Datu yang menguris dan menyayat hati rakyat apabila mereka melihat rentak lemah lembut kerajaan yang membenarkan penceroboh lebih awal menyerang kita, sehingga perwira kita pula yang terkorban," kata Haji Ghulabdin lagi.

Haji Ghulabdin berkata, pengumuman yang dilakukan Najib itu amat dinanti-nantikan rakyat jelata untuk dapat mempergunakan peluang sebaik-baiknya dalam PRU ke 13 yang dianggap semua pihak terutama di pihak pembangkang sebagai peluang keemasan untuk merubah sistem dan dasar kerajaan yang telah dianggap lama dan tidak relevan lagi.

Beliau yang telah berkecimpung dalam bidang politik tempatan selama 30 tahun itu turut menyatakan keyakinannya terhadap manifesto PR yang jelas memperlihatkan ketelusan, dimana apabila diberikan mandat oleh rakyat sebagai kerajaan PR akan diberikan royalti minyak sebanyak 20 peratus, menghapuskan bayaran Perbadanan Pinjaman Pendidikan (PTPTN) yang membebankan ibu bapa dan pelajar; serta memberikan banyak lagi sumbangan kepada rakyat tanpa menunggu pilihan raya.

Haji Ghulabdin disebut-sebut sebagai salah seorang Calon dalam pilihan raya bagi Kawasan Sulaman menganggap berita itu datangnya dari rakyat kawasan berkenaan yang dianggapnya satu proses biasa apabila menjelangnya pilihan raya; serta pembubaran Parlimen dan DUN berlaku maka pelbagai tanggapan dan andaian mengenai calon-calon parti mula menjadi perbualan di kalangan rakyat setempat.

No comments:

Post a Comment