KUALA LUMPUR : “Ini barisan
(calon) yang kita harap diterima rakyat dan segala hal (atau isu) lain kita
akan cuba tanganinya dengan baik,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak.
Beliau mengulas cadangan
pihak tertentu supaya senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding
pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) disemak semula.
Katanya, mustahil untuk
menukar calon dipilih pada saat akhir kerana boleh menimbulkan masalah lain
yang lebih menyulitkan keadaan.
Bagaimanapun, katanya
pimpinan tertinggi akan cuba menyelesaikan sebarang persoalan ditimbulkan pihak
tertentu, termasuk penyokong calon yang tidak terpilih bertanding dan menjadi
anggota Pasukan Transformasi BN.
“Kita tak boleh bagi
kepuasan kepada semua pihak dan kalau di saat akhir kita ubah (senarai calon
dipilih) boleh menimbulkan masalah lain pula.
“Tapi kita akan cuba tangani
sebaik mungkin. Sama ada perlu disemak semula... itu tengok kepada keadaan
kerana bagi BN, kita anggap ini barisan yang harap diterima rakyat,” katanya.
Beliau ditemui selepas
Majlis Pertemuan Bersama Jalinan Wanita Ibu Tunggal Malaysia (JUWITA) di Dewan
Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.
Najib turut menasihatkan
penyokong calon yang tidak dipilih supaya bertenang dan berfikir untuk masa
depan parti.
“Kalau tidak diberi mereka
(calon baru) laluan, tidak akan ada perubahan, jadi kepada mereka yang ada
sedikit rasa kekecewaan saya harap ia dapat dibendung.
“Fikirlah masa depan parti
bahawa pilihan raya umum ini kita memerlukan kesetiaan dan sokongan setiap
anggota parti,” katanya.
Malah, katanya, apa yang
lebih penting adalah BN perlu berkuasa untuk menubuhkan kerajaan kerana dengan
cara itu dapat membantu rakyat menerusi lebih banyak cara dan inisiatif.
No comments:
Post a Comment