Saturday, 6 April 2013

PAS UMUM CALON ANAK TEMPATAN DI LABUAN






CALON ......Ketua Penerangan PAS Kawasan Labuan, Hadnan Mohamad diumumkan sebagai calon parti itu.

Oleh : JAMILAH KAMARUDIN

KUALA LUMPUR: PAS hari ini nekad meletakkan calon anak tempatan di Parlimen Labuan walaupun Timbalan PKR Azmin Ali semalam mengumumkan kerusi itu milik PKR.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad mengumumkan Ketua Penerangan PAS Kawasan Labuan, Hadnan Mohamad sebagai calon parti itu bagi Parlimen Labuan (P166).

Hadnan, 53, anak tempatan Labuan dari Tanjung Aru bekerja sebagai Perunding Bekalan Barangan di Sabah Shell Petroleum Company Limited dan pernah menjawat jawatan Naib Presiden Kesatuan Pekerja Perindustrian Petroleum.

“Kami ingin memaklumkan bahawa PAS akan tetap bertanding di Parlimen Labuan untuk Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) sebagaimana keputusan yang dipersetujui dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada Ogos 2011,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa di sini.

Mohamad Noor berkata pihaknya yakin dengan latar belakang dan ketokohan Hadnan mampu memberi peluang kepada PAS menang di Labuan.

“Dengan pengalaman luas beliau dalam bidang korporat serta tahap intelektual yang tinggi, PAS Wilayah Persekutuan percaya beliau adalah
orang paling sesuai sebagai calon PAS (Pakatan Rakyat) di Labuan,” katanya.

Pengumuman Mohamad Noor itu sekaligus membenam hasrat PKR untuk bertanding di Labuan, kerusi yang ditandingi PAS pada tahun 2008.

Rekod buruk PAS

Keputusan PKR untuk bertanding di situ kerana melihat rekod buruk PAS semasa pilihan raya umum lalu (PRU) apabila hanya mendapat 22 peratus undi sahaja.

Namun Mohamad Noor sebaliknya mempertahankan kekalahan tersebut dengan mendakwa wujud pihak, dipercayai DAP yang menaja calon Bebas ketika itu, Lau Seng Kiat untuk bertanding tiga penjuru dengan BN dan PAS.

“PAS Wilayah Persekutuan menyeru semua ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat di Labuan agar tetap memilih calon PAS yang dipersetujui.

“Kami juga menggesa agar semua ahli, penyokong mahupun pengundi menolak mana-mana calon yang bertanding sebagai calon bebas di Labuan dalam PRU 13,” katanya.

Dalam pada itu, PAS Wilayah Persekutuan (WP) kesal dengan tindakan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mengumumkan peletakan calon di parlimen Setiawangsa dan Labuan tanpa persetujuan PAS dan Pakatan Rakyat.

Pesuruhjaya PAS WP Mohamad Noor Mohamad berkata, Azmin tidak berbincang dengan Majlis Pakatan Rakyat WP mengenai kerusi Setiawangsa dan Labuan terlebih dahulu.

Malah sehingga kini kerusi Parlimen Setiawangsa masih dalam perbincangan dan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat masih belum membuat keputusan muktamad berhubung kerusi tersebut.

“PAS WP merasa kesal dengan pengumuman Azmin Ali dalam media semalam bahawa PKR akan bertanding di tiga kawasan iaitu di Parlimen Bera, Setiawangsa dan Labuan.

“PAS WP merasakan kenyataan Azmin tidak mencerminkan semangat setiakawan dan perpaduan antara Pakatan Rakyat khususnya peringkat Wilayah Persekutuan,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa di sini hari ini.

Bantahan akar umbi PKR

Azmin semalam mengumumkan PKR akan bertanding di kerusi Parlimen Bera, Setiawangsa dan Labuan iaitu kerusi yang ditandingi PAS pada pilihan raya umum 2008.

Pertukaran kerusi dibuat berikutan timbulnya bantahan akar umbi PKR apabila PAS mendahului dengan menamakan calon mereka bertanding di Parlimen Temerloh dan Kangar.

Sementara itu, Mohamad Noor berkata pihaknya masih terkilan dengan peristiwa pilihan raya umum lalu (PRU12) apabila ada pihak dalam Pakatan Rakyat yang menaja calon Bebas bertanding di Labuan.

Keadaan itu menyebabkan perpecahan undi dan membawa kelebihan kepada pihak Barisan Nasional (BN) sehingga PAS kalah teruk sebanyak 7, 901 undi.

“Sekiranya Pakatan nak kalahkan BN mesti bertanding satu lawan satu, tak boleh tiga penjuru.

“Selepas ini jangan ada parti yang menaja lagi calon Bebas. Kalau macam ni peluang lebih tipis kerana undi akan berkurangan sebab ada pertandingan tiga penjuru,” katanya.

Mengenai isu kerusi Parlimen Setiawangsa pula, beliau berkata pihaknya akan menunggu keputusan daripada pimpinan tertinggi dalam Mesyuarat PAS Pusat yang akan diadakan pada 9 April nanti.

Pakatan Rakyat peringkat WP pada Ogos 2011 telah membuat keputusan mengenai isu pembahagian kerusi.

Seperti yang dipersetujui, PKR mendapat empat kerusi (Wangsa Maju, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak dan Batu), DAP pula lima kerusi (Cheras, Kepong, Segambut, Seputeh dan Bukit Bintang).

Manakala PAS mendapat tiga kerusi iaitu Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan, sementara Setiawangsa masih dalam perbincangan. (FMT)

No comments:

Post a Comment