Saturday, 6 April 2013

MUSA AMAN PUJI PARA PENDIDIK DI SABAH







KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memuji pegawai dan kakitangan pelajaran di Sabah yang komited meningkat mutu pendidikan.

"Kita boleh lihat keputusan peperiksaan di Sabah meningkat setiap tahun dan ini menggambarkan kerja kuat anda dan anda melaksanakan tugas anda," katanya semasa berjumpa para pegawai pelajaran negeri yang diketuai Pengarah Pelajaran yang baru, Jame Alip di Sri Gaya di sini Jumaat.

Beliau berkata golongan pendidik perlu diberi penghargaan kerana melaksanakan tugas dengan baik di sebalik kekurangan yang ada.

"Tetapi apa yang penting ialah kita lakukan tugas kita," katanya dan menambah beliau terlibat dalam bidang pendidikan sejak beliau di Yayasan Sabah dan bekerja dengan kesemua pengarah pelajaran negeri.

Musa berkata pujian juga harus diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membawa program pembangunan untuk negara dan Sabah.

"Saya tidak cuba memuji perdana menteri tetapi terbukti beliau sangat memberi perhatian dan prihatin terhadap Sabah dan keperluan rakyatnya.

"Beliau tahu Sabah sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia sudah tentu memerlukan peruntukan besar untuk pembangunan.

"Kita juga melihat dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini yang kita kehilangan nyawa 10 anggota pasukan keselamatan. Selepas memberikan bantuan dan sumbangan yang perlu kepada keluarga wira yang gugur, beliau dengan segera mengumumkan penubuhan ESSCOM and ESSZONE.

"Beliau menempatkan lima batalion tentera dan meluluskan peruntukan jutaan ringgit untuk membina infrastruktur yang perlu bagi memperkuat keselamatan (di pantai timur)," katanya.

Musa berkata dalam bidang pelajaran, Najib memperkenalkan banyak polisi yang memanfaat rakyat seperti pengecualian yuran sekolah dan memberi bantuan baucer kepada pelajar sekolah.

Beliau berkata Sabah kini mempunyai simpanan lebih RM3 bilion dan diiktiraf sebagai antara negeri terbaik mengurus kewangannya.

Setakat ini Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah menerima kira-kira RM122 bilion pelaburan di bawah inisiatif Koridor Pembangunan Sabah sementara Sabah terus menerima pengunjung asing ke Semporna dan Pulau Sipadan. (Bernama)

No comments:

Post a Comment