TAWAU: Pertubuhan Pribumi
Perkasa Malaysia (Perkasa) daerah Tawau tidak terlibat dalam kes tuntutan saman
RM100 juta oleh penghuni projek perumahan (PPR) Taman Sri Titingan terhadap
Majlis Perbandaran Tawau (MPT), September tahun lepas.
Demikian menurut
Pengerusinya, Fadzil Othman yang menafikan sekeras kerasnya penglibatan mereka
dalam kes tuntutan saman membabitkan 337 penduduk PPR atas kejadian penemuan
mayat dalam tangki air di taman perumahan tersebut.
Menurutnya, kes tuntutan itu
telah didalangi oleh mantan YDP Perkasa Sabah, Mohd Jeffry Rosman atas
kapasitinya sebagai YDP Perkasa Sabah ketika itu.
“Perkasa pusat tidak pernah
memberi restu di atas tindakan peribadi Jeffry tersebut dan beliau menggunakan
kuasanya sendiri dan atas pertimbangannya sendiri,” katanya.
Katanya, kes tuntutan saman
berkenaan tidak pernah dibawa ke mesyuarat PERKASA Negeri mahupun Pusat untuk
dibincangkan.
“Jawatankuasa Perkasa Daerah
Tawau berpendapat permasalahan yang timbul boleh diselesaikan di meja rundingan
tanpa melibatkan pihak ke tiga dan tindakan yang boleh mencetuskan
ketidakharmonian,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya,
Perkasa Tawau menasihatkan penduduk taman perumahan Sri Titingan tidak
terpengaruh dengan janji-janji manis pihak tertentu demi kepentingan peribadi
mereka dalam menangani masalah ini.
“Kita juga menasihatkan
kepada mereka yang terlibat atau penduduk taman perumahan berkenaan menarik
balik saman yang dikemukakan,” katanya.
Pihaknya berpendapat,
penduduk taman perumahan tersebut harus bersyukur atas keprihatinan wakil
rakyat Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan pihak MPT yang telah mengganti
saluran paip air dan tangki baru bagi blok yang terlibat.
Sementara itu katanya, pihak
Perkasa Tawau akan sentiasa memberi kerjasama dan komitmen sepenuhnya kepada
semua agensi kerajaan bagi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan kepada
penduduk daerah ini.
No comments:
Post a Comment