Thursday 4 April 2013

SEKTOR PELANCONGAN SANDAKAN TIDAK TERJEJAS







SIDANG MEDIA.....Michael (Duduk Tengah) sedang menjelaskan sesuatu kepada Media semasa sesi Sidang Media mengenai Keselamatan di Sabah.


Oleh: SHAIMON S JUMADI


SANDAKAN: Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Michael Emban, berkata pelancong luar negara tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke negeri ini memandangkan keadaan adalah terkawal dan selamat.

Bercakap kepada  Wartawan   sejurus selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pelancongan (Tourism Task Force Meeting)  di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.

Katanya, Lembaga Pelancongan Sabah akan cuba meyakinkan pelancong termasuk pelancongan dalam negara bahawasanya keselamatan mereka terjamin biar pun berlaku tragedi pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Tungku di Lahad Datu baru-baru ini.

"Kita mengakui meski pun terdapat penurunan kepada jumlah pelancong yang datang, namun kita memberi jaminan ia tidak akan menjejaskan sektor pelancongan sedia ada kerana kawalan keselamatan telah pun diperketatkan.

"Lagi pun, jika kita lihat situasi yang berlaku agak jauh cuma berlaku di situ tambahan lagi kejayaan 'Ops Daulat' yang dijalankan pihak keselamatan telah berjaya menangani kes pencerobohan berkenaan dengan amat berkesan," jelasnya.




Sehubungan dengan itu, beliau berkata mesyuarat dipengerusikannya sebagai susulan untuk memastikan pengusaha-pengusaha pelancongan di daerah ini terus memperhebatkan usaha menggalak kedatangan lebih ramai pelancongan.

Ini katanya, industri pelancongan sebagai pemacu kepada sumber ekonomi negeri perlu dipertingkatkan biar pun berdepan dengan apa jua cabaran semasa.

Michael menegaskan serentak itu pihak kementerian akan berusaha memulihkan keadaan bagi memastikan kedatangan pelancong asing terus meningkat dari semasa ke semasa.

"Oleh sebab itu, tujuan mesyuarat pada petang ini adalah bagi memanggil semua pengusaha pelancongan untuk memainkan peranan masing-masing memandangkan keadaan adalah terkawal dan bukan sebaliknya.

"Kita mesti yakinkan pelancong bahawa Sabah adalah selamat untuk dikunjungi dan tiada yang perlu dibimbangkan," beritahu beliau.

Sementara itu, bagi Pengerusi Penaja Persatuan Pelancongan Sandakan iaitu Datuk John Lim memberitahu usaha menarik kedatangan pelancong khususnya ke Sandakan terus dipergiatkan.

Ini katanya, kedudukan situasi yang berlaku itu jauh dari sini melibatkan kira-kira 300 kilometer dan pelancong tidak perlu berasa bimbang mengenai keselamatan mereka.

"Keadaan sudah pun pulih seperti sediakala, lagi pun ia jauh dari Sandakan ... pada saya, pelancong tidak perlulah bimbang kerana pasukan keselamatan telah mengawal ketat perairan," ujarnya.

Bagi, Pengurus Besar Four Points by Sheraton Sandakan, Syntio Camilleri pula berkata pelancong yang datang ke sini bebas pergi ke mana-mana tanpa merasa takut walaupun berlaku kes pencerobohan di Lahad Datu sejak bulan Februari.

Beliau berkata, ia bermakna sektor pelancongan di daerah ini tidak terjejas ekoran kawalan keselamatan yang dijalankan pasukan keselamatan sejak akhir-akhir ini.

"Tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke Sandakan kerana kalau kita lihat kedudukan tempat yang berlakunya pencerobohan itu adalah jauh dari sini iaitu lebih kurang 400 kilometer," katanya.

No comments:

Post a Comment