JEMAAH Menteri telah
bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat
masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah pada 8 Februari tahun ini,
kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau berkata berikutan
itu, kerajaan sudah memulakan proses bagi menyediakan terma rujukan suruhanjaya
siasatan tersebut.
Bagi memastikan semua
masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah ini dapat diselesaikan
secara komprehensif, maka terma-terma rujukan suruhanjaya itu perlulah
menyeluruh dan tidak hanya terhad kepada aspek siasatan, kata Mohamed Nazri
pada sesi soal jawab di Dewan Negara, Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata demikian
ketika menjawab soalan Senator Paul Kong Sing Chu (BN-MCA) yang ingin tahu
status terkini RCI yang menurutnya amat dinantikan di Sabah tetapi belum
diumumkan sehingga kini.
Mohamed Nazri berkata RCI
itu akan turut meliputi aspek keselamatan, sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Katanya, ini bagi membolehkan suruhanjaya mengemukakan cadangan penyelesaian
yang berkekalan.
Dalam hubungan ini, beliau
berkata kerajaan Persekutuan akan mendapatkan maklum balas dan pandangan
daripada kerajaan negeri Sabah dan pihak-pihak yang berkenaan.
No comments:
Post a Comment