Oleh
: NG HAN MIN
KEBANYAKAN
orang dipercayai akan mengutuk tindakan polis membedil gas pemedih mata dan
meriam air berkimia terhadap peserta BERSIH 3.0. Namun terdapat sesetengah juga
yang menganggap bahawa polis tidak boleh dipersalahkan, kerana peserta yang
memprovokasi polis. Jadi, padan mukalah.
Namun,
tindakan sebagaimana yang boleh ditafsir sebagai 'provokasi'? Di manakah
sempadan kesabaran yang digariskan oleh kedua-dua pihak? Saya menganggap inilah
persoalan yang perlu diperjelaskan segera dalam negara yang kini sedang dalam
proses belajar bagaimana untuk menyatakan tuntutan melalui kebebasan berhimpun.
Pada
28 April, saya berada di tepi Agro Bank, jambatan yang menuju ke Dataran
Merdeka. Di situ juga sekatan polis ditempatkan untuk menutup Dataran Merdeka. Saya
boleh melihat dengan jelas apa yang berlaku pada ketika itu dari situ. Saya
rasa, saya layak untuk berkongsi pandangan saya.
Lebih
kurang jam satu, dua petang, petugas berbaju merah (bagi pihak BERSIH) telah
berkali-kali memberi amaran kepada peserta, bahawa mahkamah telah mengeluarkan
perintah, maka jangan sesekali merempuh ke dalam Dataran Merdeka.
Selagi
kita berada di luar sekatan jalan, maka polis tidak berkuasa untuk menangkap
kami. Tetapi seandainya kita merempuh masuk Dataran Merdeka, kita tidak
dilindungi undang-undang. Malah beliau menambah, jikalau polis mengarahkan kita
jangan duduk, maka kita perlu bangun. Seandainya polis mengarahkan kita
tinggalkan tempat itu, maka kita perlu mengambil jalan lain. Apa-apa pun,
jangan bertembung dengan polis.
Pada
kira-kira jam tiga petang, orang ramai kian bersurai. Tapi ramai lagi yang
enggan meninggalkan tempat itu. Pada ketika itu, seorang lelaki melepasi
sekatan jalan dari tepi jambatan, dengan bunga dalam tangannya. Beliau menuju
ke arah polis yang memegang perisai. Masa ini jugalah wartawan menuju ke arah
lelaki itu untuk mengambil gambar. Selepas 30 saat, lelaki itu patah balik.
Wartawan pun mengepungnya, barangkali untuk menemu ramahnya.
Sejenak
kemudian, saya beralih ke tebing di Pasar Seni dan memerhati dari situ. Selepas lelaki itu melepasi sekatan jalan,
sesetengah pula terikut-ikut dengan cubaan melangkau sekatan itu. Orang ramai
ini tidak bersenjata. Polis yang berperisai pula tersergam barisannya di situ. Tiada pertembungan fizikal. Ramai polis
berteduh di koridor yang tidak jauh dari situ. Tidak menghulurkan bantuan
secara tergesa-gesa. Suasananya tidak tegang.
Pada
kira-kira jam 3.30 petang, setelah loceng amaran berbunyi, meriam air dan gas
pemedih mata ditembak. Pada mulanya saya ingat ia hanya menyasarkan orang yang
melepasi rintangan polis. Polis dijangka berhenti setelah berjaya mengundurkan
peserta dari sempadan itu yang digariskan.
Entah
bagaimana, meriam air menembak merata-rata, gas pemedih mata dibedil ke seluruh
pelusuk. Di tebing Pasar Seni, tidak kurang butiran gas pemedih mata bertaburan
di situ. Kulit kita tersengit. Air mata, bendalir hidung dan hampir semua
cecair dalam perut termuntah. Kawasan itu sangat sempit. Hanya satu lorong
menuju ke jalan, malah perlu melepasi satu tangga. Saya terlalu dekat di
depan. Ketika berundur, orang ramai
terhimpit di tangga. Pada saat-saat itu saya merasakan diri saya hampir lemas
di situ.
Perkembangan
selanjutnya sesungguhnya semakin rancak, dan semakin celaru.
Sememangnya
orang ramai yang melangkaui sekatan polis itu mengingkari nasihat. Perbuatan sedemikian perlu dinilai semula.
Namun, apa yang ingin saya katakan di sini di rata-rata dunia, sama ada
demonstrasi mahupun protes, sememangnya rakyat yang turun ke jalan raya tidak
berpuas hati dengan kerajaan. Hari ini, mahkamah Malaysia yang dikuasai
kerajaan mengeluarkan perintah yang tidak munasabah untuk menghalang orang
ramai daripada berhimpun di Dataran Merdeka.
Perintah
mahkamah ini tidak munasabah sebermulanya, kerana dari satu segi, ia menghalang
kebebasan berhimpun dan bersuara orang ramai. Perintah mahkamah sedemikian
telah mencungkil ketidakpuasan orang ramai. Ia sesuatu yang tidak sukar
difahami seandainya dicabar oleh orang ramai.
Hari
itu kita turun ke jalan raya kerana api kemarahan terpendam dalam hati. Justeru
itu, kita mengetepikan kerja, perniagaan kita untuk datang dari jauh ke Kuala
Lumpur. Kita bukan datang untuk berpesta dan berkarnival. Kita datang untuk
tunjuk ketidakpuasan dan kemarahan terhadap sistem pilihan raya yang kotor. Bukankah
ia sesuatu yang agak melampau untuk kita turuti segala perintah arah duduk,
jadi duduklah kamu; arah bangun, jadi bangunlah kamu.
Oleh
itu, apakah tindak tanduk yang dianggap 'provokasi'? Hari itu, orang ramai tidak
mengancam keselamatan polis, sekurang-kurangnya di tempat saya berada. Di
sesetengah negara, peserta demonstrasi membawa besi dan pisau, malah membaling
bom petrol dan ada juga yang merompak kedai.
Di
negara yang mana warga sivilnya lebih beradab, biarpun tidak berlaku
pertembungan secara ganas, namun pergeseran di sepanjang proses itu juga
sesuatu yang lumrah.
Jika
tahap kesedaran demokrasi sesebuah kerajaan adalah tinggi dan bukan berhidung
tinggi, maka ia akan melihat pertembungan ini sebagai antara cara rakyat melepaskan
geram. Meskipun ia mungkin tidak betul, tetapi perlu dikendali secara
toleransi.
Hari
itu, dengan bangganya ingin saya katakan, tahap warga sivil negara kita tidak
jauh beza dari Hong Kong, Taiwan, Amerika Syarikat yang mana tahap warga sivil
mereka agak tinggi. Malah, kita mungkin lebih baik daripada mereka. Saya tidak
nampak orang membawa senjata, tiada orang merosakkan harta awam untuk
melepaskan geram dan tidak banyak orang yang hilang akal kerana tidak terkawal
emosinya.
Jadi,
hanya kerana merempuh sekatan jalan atau kawat berduri, maka ia dianggap
memijak garis merah kerajaan? Apakah dengan ini ia mengancam keselamatan
penguatkuasa? Di negara lain yang terkenal dengan demokrasi, orang ramai yang
membaling telur, membakar atau merosakkan bangunan kerajaan tidak dikecam
dengan keras. Bukankah agak rendah 'garis dasar' yang ditetapkan kerajaan kita?
Lebih-lebih
lagi, tujuan gas pemedih mata dan meriam air kimia adalah cara polis melindungi
diri. Polis boleh berhenti setelah berjaya menyuraikan orang ramai. Mengapa
pula polis membedil gas pemedih mata seolah-olah hilang kawal, seakan-akan
mendesak rakyat ke pinggiran maut?
Untuk
saya, ia tidak perlu pergi sehingga situasi di mana kita perlu membedil gas
pemedih mata dan meriam air kimia sewenang-wenangnya. Jikapun ada huru-hara di
tempat lain, polis boleh bertindak mengikut budi bicara. Di pejabat Majlis
Peguam, Pasar Seni, tiada kekecohan berlaku, mengapa pula diberi layanan yang
sama?
Jangan
dikelirukan nama 'gas pemedih mata'. Jangan anggap bahawa ia boleh ditembak
sewenang-wenangnya kerana tidak membunuh orang. Gas pemedih mata bukan alat
permainan yang mengalirkan anda beberapa titisan air mata. Ia adalah senjata.
Anda
akan terseksa pada saat-saat menghidu gas pemedih mata. Mereka yang lemah
mungkin gagal bertahan. Malah kawan saya melihat sendiri, ada yang
nyaris-nyaris terjun ke sungai kerana tidak tahan dengan gas itu. Selepas
terkena gas pemedih mata, dengan spontan orang akan lari lintang-pukang, tanpa
banyak berfikir. Tragedi manusia pijak manusia mudah berlaku dalam keadaan di
mana kita hilang waras.
Dan
sesebuah kerajaan yang membedil gas pemedih mata sewenang-wenangnya, adalah
terlalu zalim kalau bukan terlalu jahil.
No comments:
Post a Comment