Oleh : HASMIN AZROY ABDULLAH
KOTA KINABALU : Wiramuda
(Youth) Parti Reformasi Negeri (Star) Sabah mempersoalkan apakah sebenarnya
peranan Datuk Seri Wilfred Bumburing dalam bersekongkol dengan PKR; tetapi
tidak pula menyertai terus parti Semenanjung itu.
Sebagai respon kepada
kenyataan Bumburing yang keterlaluan menganggap Star sebagai pemecah undi,
ingin saya jelaskan bahawa Star mempunyai matlamat yang jelas menerusi apa yang
kami panggil Agenda Borneo, lama sebelum kewujudan APS.
Kami menentang dasar Barisan
Nasional yang menafikan hak rakyat Sabah. APS baru muncul semalam tetapi terus
mendakwa berjuang yang sama sedangkan perjuangan yang dilaungkan APS hanyalah
mengulang lidah perjuangan pemimpin Star, Dr Jeffrey Kitingan yang amat
konsisten dengan perjuangannya sejak tahun 80-an.
Jika Bumburing benar-benar
jujur membantu Pakatan Rakyat, mengapa dia tidak terus menjadi ahli PKR saja?
Bahkan Bumburing pernah berkata jika tidak dilayan PKR kelak sesudah menang,
dia akan keluar, jadi keluar ke mana? Ke BN kembali?
Tidakkah Bumburing sedar
sebenarnya beliaulah pemecah yang nyata bukan hanya dalam pembangkang tetapi
juga dalam PKR Sabah sendiri. Seluruh rakyat tahu Bumburing kini menentang
rakan sebantal dan seselimutnya puluhan tahun ini hanya kerana tidak lagi dicalonkan
oleh Upko-BN pada pilihanraya akan datang ini.
Jadi siapa sebenarnya yang
cari makan? Pernah bermaharajalela sebagai ejen BN dan kini jadi ejen PR,
sebuah lagi parti besar dari Semenanjung, untuk memecahbelahkan orang Sabah
termasuk mereka yang sudah pun mula berkumpul di bawah naungan Star dan Pakatan
Borneo.
Kini ramai anak muda
termasuk guru-guru yang langsung tiada latar belakang politik sebelum ini kini
bersama Dr Jeffrey membantu beliau mencapai apa yang sebenarnya dihasratkan
oleh rakyat tulen Sabah untuk mengembalikan kuasa politik kepada parti Sabah
serta membebaskan Sabah dari belenggu penjajahan parti Malaya.
Saya menyeru semua rakyat
Sabah marilah bersatu di bawah Star berjuang menuntut hak kita sehingga kita
juga dapat apa yang Wilayah Acheh perolehi di negara jiran Indonesia.
Perjuangan Star sebenarnya sudahpun mula membuahkan hasil di mana pihak-pihak
berkenaan mula mendengar tuntutan kita tetapi kalau kita dipecahkan oleh ejen
musuh, nescaya mereka tidak akan mendengar kita sebab kita lemah dan dilemahkan
seperti apa yang dilakukan semalam ini oleh BN-Umno dan juga cuba ditiru oleh
PR-PKR.
No comments:
Post a Comment