SEJARAH......Komander
Robot @ Ghalib Andang salah seorang pejuang MORO yang memiliki MyKad Malaysia
yang kemudiannya mengetuai Kumpulan Abu Sayyaf yang terkenal dalam kes
penculikan Sipadan dan Pandanan. Robot ditembak mati ketika cuba melarikan diri
daripada penjara Filipina dalam keadaan kaki kudung.
KOTA KINABALU : Bekas
pejuang Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang datang ke Sabah hampir
40 tahun lepas memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat
masalah pendatang tanpa izin di negeri itu, beliau memperoleh dokumen
pengenalan diri dengan membuat permohonan kepada pihak berkuasa.
Abdul Halil Aranial, yang
masuk ke Sabah pada 1975 berkata beliau telah menggunakan pas pengenalan diri
sementara yang diberikan kepada pelarian Filipina IMM-13 selama 19 tahun
sebelum membuat permohonan kad pengenalan (IC).
Abdul Halil, 59, berkata
pada 2009 beliau membuat permohonan untuk taraf penduduk tetap di Jabatan
Pendaftaran Negeri (JPN) Sabah, di Kota Kinabalu dan pada tahun sama MyPR
berwarna merah dikeluarkan kepadanya.
Saksi ke-26 itu yang datang
menaiki bot laju bersama enam lagi pejuang dan pegawai MNLF itu berkata beliau
menggunakan MyPR itu sehingga sekarang dan beliau juga ada memohon untuk
mendapatkan MyKad.
"Saya pohon dapatkan
MyKad kerana saya hendak jadi rakyat Malaysia," kata Abdul Halil yang
mempunyai tiga isteri dan 13 anak itu, sambil menambah isteri-isteri dan
anak-anaknya juga memegang MyPR.
Ketika ditanya pegawai
pengendali Jamil Aripin sama ada beliau berhasrat kembali ke negara asalnya
Filipina, beliau berkata jika keadaan di selatan Filipina semakin pulih beliau
ingin balik untuk berjumpa anggota keluarganya.
Beliau yang juga dikenali
sebagai 'Komander Janggut' memberitahu beliau telah dilantik sebagai Ketua
Kampung di skim penempatan di Taman Kota Keningau pada 2008 bagi menguruskan
pelarian Filipina di situ.
Sementara dua rakyat India
dan seorang rakyat Pakistan dalam keterangan mereka berkata mereka tidak perlu
menunggu tempoh yang lama untu memperoleh kad pengenalan biru dan juga MyKad.
Saksi ke-25 Mohamed Hussein,
yang lahir di Pakistan, berkata beliau sampai di Sabah pada 1987 dengan menaiki
kapal terbang dari Karachi ke Kuala Lumpur kemudian ke Kota Kinabalu dan
menaiki bot ke Tawau.
Katanya beliau memasuki
negara ini menggunakan pasport Pakistan tanpa sebarang dokumen lain seperti
sijil kelahiran atau sijil kewarganegaraan.
Menceritakan bagaimana
beliau boleh memiliki kad pengenalan biru seterusnya MyKad, saksi itu berkata
semasa tinggal di Tawau pada 1988 ada seorang lelaki warganegara Pakistan dan
beberapa orang rakyat Malaysia telah menawarkan kepadanya untuk membuat IC.
Katanya beliau diminta
menyerahkan pasport dan gambarnya kepada lelaki-lelaki yang tidak dikenalinya
itu.
"Beberapa minggu
kemudian mereka datang berjumpa saya dan bawa saya ke JPN Tawau," katanya,
sambil menambah bahawa ketika di pejabat JPN borang itu telah diisi oleh
beberapa orang yang lain kerana beliau tidak tahu menulis.
Mohamed berkata beliau
kemudiannya menurunkan cap jarinya dan menandatangani borang yang telah diisi
itu dengan bayaran RM10 dan beliau juga diberikan resit sementara.
Beliau berkata pasport
Pakistannya diserahkan kepada JPN dan beliau juga tidak memberikan sebarang
bayaran kepada rakyat Pakistan dan beberapa orang rakyat Malaysia yang membawanya
ke jabatan itu.
Saksi itu berkata pada tahun
sama IC biru dikeluarkan kepadanya dan beliau juga kemudiannya menukarnya
kepada IC yang bermutu tinggi seterusnya kepada MyKad.
Beliau yang mempunyai dua
anak berkata sepanjang proses penukaran IC itu tidak terdapat sebarang masalah
dan beliau juga telah empat kali mengundi menggunakan IC itu.
Mohamed yang berkahwin
dengan rakyat Indonesia itu berkata sejak 1987 beliau telah empat ke lima kali
pulang ke Pakistan menggunakan pasport Malaysia.
Kepada soalan apakah yang
tercatat di bahagian tempat lahir di dalam ICnya, Mohamed berkata 'Tawau' dan
ia dicadangkan oleh kakitangan JPN semasa beliau membuat IC.
Beliau juga berkata beliau
pertama kali mengundi di kawasan pilihan raya Tawau kemudiannya di Papar.
Aziz Kasim, yang dilahirkan
di Tamil Naidu, India pula berkata beliau masuk ke Kuala Lumpur menggunakan
kapal terbang kemudiannya ke Labuan dan Kota Kinabalu menggunakan pasport India
pada 1980.
Saksi ke-27 itu berkata pada
1987 ada seorang yang mengaku pegawai kerajaan datang ke restoran tempat beliau
bekerja dan memberitahunya dia (pegawai) boleh menolongnya dan rakannya
mendapatkan IC.
Katanya beliau diminta
menurunkan cap jari, menandatangani borang itu dan juga gambar dan empat bulan
selepas itu pegawai itu datang lagi ke restoran bersama IC biru.
Beliau juga setuju dengan
cadangan Jamil bahawa beliau memperoleh IC biru itu tanpa mempunyai sijil lahir
atau sijil kewarganegaraan.
Aziz berkata beliau juga
pulang ke India menggunakan pasport Malaysia dan berkahwin dengan isterinya
yang juga rakyat India.
Ketika ditanya apa yang
dicatat di tempat lahirnya di pasportnya, saksi itu yang telah menukar MyKad
lamanya kpada MyKad terbaharu pada Jun tahun lepas berkata
"Semporna."
Saksi terakhir Mohidin
Batcha Sariff yang lahir di Madras, India pula berkata beliau datang ke Sabah
pada 1978 dan memperoleh kad pengenalan biru selepas enam bulan memohonnya.
Mohidin, yang merupakan
pemilik restoran, berkata pada 1982 beliau sendiri pergi ke JPN dan ada seorang
kakitangan di sana telah menolongnya mengisi segala dokumen dan enam bulan
kemudian pada tahun sama IC biru dikeluarkan kepadanya.
Ketika ditanya di mana kah
tempat lahir yang dicatat di dalam ICnya itu, saksi ke-28 itu berkata 'Beaufort.'
Pendengaran di hadapan lima
anggota panel dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve
Shim Lip Kiong bersambung 29 Jan ini.
Panel itu turut dianggotai
bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon;
bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu; bekas Setiausaha
Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri dan
bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J.Luping. (Bernama)
No comments:
Post a Comment