MENGIBAR....Musa
dan ahli-ahli Parti mengibarkan Bendera BN sewaktu Asmin menyanyikan lagu
Membakar Semangat
Oleh : SAIMON S JUMADI
KETUA Menteri
Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, menegaskan kerajaan tidak pernah
bersikap pilih kasih dalam soal membantu rakyat, apatah lagi yang melibatkan
keperluan golongan belia di negeri ini.
Menurut beliau, setiap apa
jua bentuk keperluan akan disalurkan secara sama rata asalkan golongan tersebut
tidak mempersia-sia setiap peluang yang disediakan pihak kerajaan.
Ini katanya, sudah menjadi
prinsip perjuangan Barisan Nasional (BN) yang diberikan mandat oleh rakyat
sentiasa berusaha menyalurkan pembangunan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira
kaum, agama mahu pun fahaman politik masing-masing.
"Apalagi keperluan yang
melibatkan golongan belia ... kita sentiasa membantu dan tidak pernah pilih
kasih kerana apa yang lebih penting ialah mereka rajin dan sentiasa merebut
peluang yang disediakan," jelasnya sewaktu berucap pada Majlis Sepetang
Bersama Ketua Menteri di Dewan Serbaguna Sri Libaran, dekat sini, petang
kelmarin.
Beliau berkata, bak pepatah
'Usaha Tangga Kejayaan' bermakna setiap usaha yang dilakukan pastinya membawa
kejayaan sekiranya seseorang sentiasa berusaha dan tidak menoleh ke belakang.
Katanya, kejayaan pemimpin
mahu pun individu terdahulu adalah disebabkan sikap ingin maju sudah tertanam
dalam diri mereka memandangkan untuk mencapai kemajuan bukanlah satu perkara
mudah.
"Ramai yang sudah maju
dalam setiap bidang terutama bidang-bidang perniagaan di mana prinsip hidup
seperti itu boleh dijadikan sebagai panduan untuk berjaya.
"Mungkin anda boleh
berkongsi sedikit tentang kisah hidup saya pada waktu muda untuk dijadikan
sebagai satu ikhtibar. Segala-galanya bermula di Sandakan dalam tahun 1972
apabila saya memulakan perniagaan yang dipanggil memunggah kayu ke atas kapal.
"Perniagaan yang saya
jalankan memerlukan kesabaran kerana pada ketika itu bandar Sandakan dikenali
sebagai 'Mini Hong Kong' kerana ditimbuni kayu balak.
"Bagaimanapun, berkat
kesabaran, saya akhirnya mempunyai kapal sendiri dan dapat memperluaskan
perniagaan yang membolehkan saya terus berjaya sehinggalah ke hari ini,"
katanya sambil diberikan tepukan gemuruh.
Bertitik tolak dari itu,
Musa berkata kerajaan BN yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat
terutama golongan belia sudah pasti peluang terbuka dengan seluas-luasnya.
Begitu pun, ujarnya,
kejayaan tidak akan datang bergolek kerana ia memerlukan kesungguhan selain
tabah menghadapi apa jua cabaran berikutan untuk maju pasti berdepan dengan
pelbagai cabaran.
"Kita sediakan
macam-macam peluang untuk memastikan generasi muda mempunyai kemahiran diri
menerusi kursus-kursus yang anda minati.
"Yang penting anda
sentiasa berazam sebab kerajaan BN sentiasa ikhlas membantu menerusi pelbagai
bantuan dan inisiatif selari dengan Tranformasi Kerajaan ke arah meningkatkan
taraf hidup rakyat," jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua
Menteri berkata semangat gelombang biru BN pasti membawa kemenangan kepada BN
menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
Namun demikian, katanya,
ahli-ahli parti jangan terlalu mudah berpuas hati kerana apa yang lebih
mustahak gerakan jentera parti perlu dimantapkan sekali gus tidak memberi
peluang kepada pembangkang.
"Jentera parti perlu
diperkukuhkan sekarang untuk menghadapi PRU-13. Kekuatan di peringkat akar umbi
tentu tidak memberi masalah kepada parti.
"Sebab itu, saya sudah
mengarahkan agar setiap ahli parti tanpa mengira apa pun jawatan agar
memastikan jentera sentiasa siap siaga bagi memastikan kekuatan tidak mudah
digugat.
"Kemenangan BN pada
pilihanraya kali ini penting demi kesinambungan pembangunan yang telah dan
sedang dilaksanakan. Justeru, rakyat perlu matang dan jangan mudah terpengaruh
dengan dakyah-dakyah dari kumpulan pembangkang," tambah beliau.
Majlis Sepetang Bersama
Ketua Menteri itu meriah dengan pelbagai program antaranya persembahan nyanyian
dari selebriti-selebriti terkemuka di Sabah antaranya artis Ampal @ Abu Bakar
Ellah; Jainrywen Liusin; Ebi AF dan Asmin Mudin di samping tarian etnik
termasuk juga gerai-gerai yang menyediakan pelbagai hidangan menyelerakan.
No comments:
Post a Comment