BUDAYA....Kepelbagaian
makanan di Malaysia menggambarkan budaya kita yang pelbagai.
Oleh : NAJIB RAZAK
SAYA masih ingat apabila
saya berpeluang menikmati sarapan pagi di Village Park, Damansara Utama. Saya
telah banyak kali mendengar tentang nasi lemak di situ yang sangat terkenal
dengan kelazatannya. Selepas menikmatinya sendiri, kelazatannya terbukti tidak
mengecewakan!
Kita sangat bertuah kerana
negara mempunyai masyarakat pelbagai kaum yang hidup aman dan damai dalam
semangat 1Malaysia. Antara kelebihannya adalah apabila kita dapat menikmati
beberapa makanan paling lazat di dunia yang terdapat di negara kita. Sudah
pasti semua kenal dengan kelazatan kuay teow goreng Penang dan Laksa Johor.
Setiap bangsa di negara kita
mempunyai makanan istimewa tersendiri yang menepati citarasa kita semua. Saya
masih ingat, semasa di United Kingdom satu ketika dulu, ada kalanya saya
merindui makanan tempatan yang tidak mungkin boleh kita dapati di mana-mana
negara di dunia ini.
Kelazatan makanan tempatan
cukup dikenali di seluruh dunia. Kepelbagaiannya cukup unik malah ia sering
kali diceritakan di platform antarabangsa termasuk CNN. Masyarakat seluruh
dunia seringkali memuji makanan kita setiap kali mereka melawat negara ini
dengan menggunakan pengaruh media sosial. Ini sekali gus memberi impak yang
baik kepada industri pelancongan negara.
Selain kelazatan serta
kepelbagaian jenis makanan, negara kita juga dikenali sebagai pendahulu hab
halal di seluruh dunia. Halal Industry Development Corporation (HDC), sentiasa
memastikan agar kita dapat mengekalkan standard pada tahap paling tinggi dalam pengeluaran
makanan halal.
Secara keseluruhannya, ia
telah menyumbang kepada kita sebanyak RM16 bilion untuk aktiviti eksport selain
menarik lebih RM1 bilion Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negara ini.
Bajet 2013 lalu juga turut
memastikan agar momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan dengan menyediakan
modal kerja kira-kira RM200 juta kepada usahawan kecil dan sederhana yang
mengeluarkan produk makanan halal.
Kepelbagaian jenis makanan
itu sekali gus menggambarkan kepada semua betapa negara kita ini kaya dengan
budaya yang pelbagai. Setiap makanan yang terdapat di negara kita ini semuanya
adalah kerana kepelbagaian cara hidup dan selera setiap bangsa di Malaysisa. Ia
sedikit sebanyak merupakan asas kepada kejayaan negara hari ini.
Jadi, apakah makanan
kegemaran anda?
No comments:
Post a Comment