MENCARI......Operasi
pencarian oleh kakitangan JPAM dan unit berudara di perairan Pantai Dalit
kelmarin.
Oleh : RUZAINI ZULKIFLI
TUARAN: “Dia merupakan anak
yang baik, saya amat sedih kejadian ini menimpanya namun kami sekeluarga
percaya tuhan lebih menyayanginya,” rintih Datu Enyong mengenang nasib anaknya
Datu Almuraz, 21, yang hilang dan dipercayai lemas ketika mandi manda di Pantai
Dalit, kelmarin.
Turut dilaporkan hilang anak
saudara Almuraz, Arjibra Zulkipli, 21, yang merupakan seorang juruteknik elektrikal dipercayai lemas ketika mandi
bersama lima lagi rakan pada Ahad lepas.
Lebih menyedihkan, Almuraz
yang merupakan seorang pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi Shah Alam,
Selangor dikatakan akan pulang menyambung pelajarannya pada minggu hadapan.
Sementara itu, Enyong
berharap anak kandung serta cucu saudaranya akan ditemui secepat mungkin
memandangkan tiada tanda-tanda penemuan kedua-dua mangsa meskipun operasi
menyelamat oleh pihak berkuasa terpaksa ditamatkan sehingga 7 petang kelmarin.
“Kami sekeluarga amat
berharap agar mereka akan ditemui walau bagaimanapun keadaannya dan terus
berusaha melakukan usaha pencarian,” katanya yang turut menyertai operasi
mencari dengan menyelam di perairan berkenaan bersama beberapa penduduk lain.
Turut berada di lokasi
kejadian sejak petang Ahad lepas termasuklah termasuk ayah kepada Aljibra,
Zulkipli Mohamad, 49, yang menunggu berita mengenai mangsa.
Malah khidmat seorang bomoh
dari Kota Belud turut digunakan yang secara sukarela sanggup menawarkan
pertolongan bagi membantu misi mencari kedua-dua mangsa.
Zulkipli memberitahu dia
hanya mengetahui kejadian itu setelah pulang dari kenduri kesyukuran rakannya
selepas dimaklumkan oleh jirannya.
“Sebagaimana keluarga yang
lain, saya amat berharap anak kami akan ditemui,” katanya sugul sambil
menegaskan kedua-dua mangsa sangat rapat antara satu lain.
Ketua Polis Daerah Tuaran,
Deputi Superitendan Zaharudin Rasip berkata dalam insiden pada jam 4.30 petang
itu, kedua-dua mangsa bersama lima lagi rakan lain difahamkan pergi ke pantai
berkenaan untuk bermandi manda.
Katanya, mangsa dipercayai
dibawa ombak deras dan hilang di pantai itu petang semalam, dan gagal
diselamatkan oleh rakan yang mandi bersama mangsa.
Menurutnya, sebaik menerima
laporan, pihak Polis Marin negeri bersama pasukan penyelamat lain termasuk
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)
melakukan operasi menyelamat mangsa, tetapi terpaksa ditangguhkan pada jam 7.30
malam semalam kerana cuaca gelap.
“Operasi mencari mangsa
diteruskan pada hari ini dengan menggandakan kaedah pencarian menggunakan
sebuah kapal terbang kecil jenis Pilatus dari Unit Udara Polis Diraja Malaysia
dan sebuah jet ski,” katanya yang ditemui di lokasi pencarian di Pantai Dalit,
di sini kelmarin.
Difahamkan, kedua-dua mangsa
yang berasal dari Telipok, dekat sini, datang bermandi manda di pantai
berkenaan bersama lima ahli keluarga yang lain kira-kira jam 12 tengahari.
Mengulas lanjut, Zaharudin
berkata operasi menyelamat yang diteruskan pada pagi ini menyaksikan PDRM
mengerahkan 18 anggota, manakala JPAM 12 orang dan JBPM 20 orang.
Katanya, jika operasi
menyelamat pada hari ini yang bakal berakhir jam 7 malam gagal menemui mangsa,
ia akan disambung pada pagi esok. (UB)
No comments:
Post a Comment