SEPANG : Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengumumkan pelaksanaan ‘Program Integrasi
1Malaysia’ bersama Air Asia, yang menyaksikan tawaran penerbangan percuma oleh
syarikat penerbangan itu bagi laluan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung,
untuk satu tempoh tertentu.
Katanya, beliau hadir bagi
melancarkan reka bentuk ‘livery’ khas pesawat 1Malaysia sempena program
integrasi itu di terminal LCCT di sini pagi kelmarin kerana amat tertarik
dengan apa jua usaha untuk memupuk integrasi dan perpaduan nasional.
Najib berkata inisiatif Air
Asia yang berpaksikan konsep gagasan 1Malaysia yang diilhamkan beliau itu pasti
akan dapat ‘mendekatkan’ lagi Sabah dan Sarawak dengan semenanjung.
“Saya lihat konsep 1Malaysia
ini sebagai satu konsep yang cukup bermakna dan boleh membawa negara ke tahap
mercu kejayaan yang kita impikan,” katanya ketika berucap pada majlis
pelancaran ‘livery’ khas pesawat Airbus A320 itu di terminal LCCT di sini.
Beliau berkata konsep itu
menekankan kepada soal ‘inklusif’ dalam setiap usaha yang digerakkan kerajaan,
kerana kerajaan sedar potensi negara boleh direalisasi jika semua pihak dapat
bergerak dan bertindak sebagai satu komuniti, iaitu warga Malaysia.
Difahamkan butir-butir lebih
lanjut mengenai tempoh serta perincian mengenai pengisian ‘Program Integrasi
1Malaysia’ bersama Air Asia itu akan diumum syarikat penerbangan berkenaan minggu
depan.
Perdana menteri dan isteri
Datin Seri Rosmah Mansor kemudian menaiki pesawat itu bersama beberapa pemimpin
komuniti yang didatangkan khas dari Sabah dan Sarawak untuk program kelmarin
serta sekumpulan wartawan, berlepas menuju ke Kuantan.
Najib berkata selain
sokongan kepada program integrasi itu, kehadirannya bertujuan memberi
pengiktirafan kepada Air Asia sebagai sebuah syarikat penerbangan yang berjaya
menampilkan diri sebagai satu jenama yang sangat terkenal di persada
antarabangsa.
Beliau berkata bermula
dengan hanya dua pesawat usang kira-kira 11 tahun lepas, ia kini mempunyai
lebih 146 pesawat, dan akan mencapai lebih 300 pesawat tidak lama lagi.
Seramai 20 pekerja mengambil
masa kira-kira 12 hari menggunakan 121 tin cat untuk menyediakan ‘Livery’
pesawat 1Malaysia pada pesawat Airbus A320 yang berkapasiti 180 penumpang itu.
Pesawat itu akan diguna di
laluan operasi Air Asia Berhad, yang meliputi lebih 70 destinasi di 20 negara,
membawa pengalaman 1Malaysia kepada masyarakat seluruh dunia. (NST)
No comments:
Post a Comment