Monday, 14 January 2013

OKU BERDIRI SAMA TINGGI DENGAN BN






SUMBANGAN.... Peter Pang (tiga kanan) menghulurkan sumbangan kepada salah seorang warga OKU sempena pelancaran PPDK N.44 Karamunting.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Peter Pang En Yin, menyokong penuh penubuhan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) lebih-lebih lagi agenda kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melihat rakyatnya 'Berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah'.

Ini katanya, kemajuan tidak mengenal erti paras rupa dan jantina sama ada kaya atau miskin kerana apa yang penting semua pihak berganding bahu menyokong saranan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak agar tidak membelakangkan warga Orang Kurang Upaya (OKU).

"Peranan OKU juga penting dalam konteks pembangunan negara ... justeru, kita mesti hargai dan titikberatkan kebajikan mereka," jelasnya semasa melancarkan PPDK N.44 Karamunting di sebuah restoran makanan laut, di sini, kelmarin.

Peter Pang menambah bahawa penubuhan PPDK amat penting kerana ia ditumpukan kepada OKU yang memerlukan latihan asas dari segi pergerakan, pertuturan, pendidikan khas dan kemahiran dalam aktiviti kehidupan seharian.

Beliau berkata, program ini dibuka kepada OKU dari semua jenis ketidakupayaan dan semua peringkat umur di mana pendekatan yang diamalkan adalah melalui kerjasama bersepadu pelbagai sektor dalam perancangan dan penyediaan perkhidmatan serta kemudahan yang diperlukan.

"PDDK juga merupakan satu alternatif kepada pemulihan dalam institusi antara objektif penubuhannya ialah mengalakkan sikap prihatin, berdikari dan rasa tanggungjawab masyarakat tempatan dalam program pemulihan OKU.

"Mengembleng sumber tempatan untuk pemulihan OKU. Mengalakkan penggunaan cara yang mudah dan teknik yang diterima, murah dan efektif dan sesuai dengan keadaan setempat.

"Di samping menggunakan infrastruktur organisasi tempatan yang sedia ada untuk memberi perkhidmatan dan mengambil kira sumber ekonomi negara dan membolehkannya untuk diperluaskan perkhidmatan yang menyeluruh mengikut keperluan OKU," jelasnya.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting sehubungan itu berkata jawatankuasa PPDK bertanggungjawab untuk mengurus dan mengatur agar dapat berjalan dengan lancar dan sempurna berdasarkan garis panduan pengurusannya.

Menurutnya, jawatankuasa yang ada juga harus merancang dan seterusnya melaksanakan program-program yang dapat membangun komuniti untuk rehabilitasi, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha membantu meningkatkan keperluan yang dikehendaki oleh warga OKU dan jenis-jenis kemahiran dan pendidikan, sekali gus membolehkan golongan berkenaan maju kehadapan.

No comments:

Post a Comment