PELANCARAN
... Linda (kiri) sewaktu melancarkan program 'Military Community Volunteering
Day' di perkarangan Harbour Mall itu.
OLEH: SHAIMON S JUMADI
SANDAKAN : Rakyat perlu
bersyukur di atas komitmen padu pasukan keselamatan negara seperti Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) yang telah mempertahankan kedaulatan negara dari
cengkaman anasir-anasir luar.
Datin Linda Tsen Thau Lin
berkata pengorbanan ATM sesungguhnya dihargai seluruh lapisan rakyat terutama
semasa menjalankan 'Ops Daulat' di Lahad Datu yang menyaksikan pasukan
keselamatan berjaya menangani kes pencerobohan dengan berkesan.
"Kita bersyukur dan
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan keselamatan khasnya ATM
yang berjuang di perbatasan demi keamanan dan kesejahteraan rakyat, tanggungjawab yang dicurahkan amat dihargai," katanya.
Berucap semasa menjadi
tetamu kehormat untuk melancarkan Hari Terbuka ATM di perkarangan pusat
membeli-belah Harbour Mall Sandakan, di sini, kelmarin beliau berkata program
dipanggil sebagai 'Military Community Volunteering Day' (MCVD) itu diadakan serentak
di 40 buah kem tentera iaitu melibatkan 32 kawasan seluruh negara.
Pada peringkat nasional,
ujarnya, program tersebut dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib
Tun Razak di Kuantan, Pahang.
"Pada hari kem tentera
di seluruh negara, pameran senjata dan peralatan yang digunakan oleh tentera
darat, tentera laut dan tentera udara termasuk perkhidmatan kesihatan,
pergigian, persembahan pancaragam, senamrobik dan pengambilan tentera termasuk
askar sukarelawan diadakan.
"Di Felda Sahabat di
Lahad Datu, pasukan pengesan kombat yang terlibat dalam operasi kombat semasa
'Ops Daulat' dipamerkan untuk mendidik orang awam dan meyakinkan mereka bahawa
keadaan di kawasan berkenaan sekarang adalah selamat dan terkawal,"
beritahunya.
Linda berkata, tema yang
dipilih sempena program iaitu 'Tentera dan Rakyat Sentiasa Bersama' adalah
tepat pada masanya memandangkan di pantai timur negeri ini sejak awal bulan
Februari lepas, pihak tentera telah mempertahankan kedaulatan sekali gus
menjaga keselamatan dan keamanan rakyat.
Sambil menyambut baik
penubuhan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah atau ESSZONE, katanya rakyat akan
memberi sokongan 100 peratus kepada pasukan tentera demi keamanan.
Menurutnya, program yang
diadakan di Harbour Mall itu akan membolehkan pihak tentera dan rakyat
bercampur-gaul dan sekali gus mengeratkan lagi silaturrahim antara satu sama
lain.
"Saya juga menyeru
kepada orang ramai agar mengambil kesempatan ini untuk berinteraksi dengan
pasukan tentera kita sebagai satu cara menunjukkan penghargaan kepada
mereka," ujarnya.
Terdahulu dari itu, Pegawai
Memerintah KD Sri Sandakan, Kapten Alias Baharuddin (TLDM) pula memberitahu
program yang dilaksanakan adalah satu program khas di mana ia bertujuan untuk
mengeratkan hubungan antara warga ATM dan masyarakat sesuai dengan tema
tersebut.
Secara tidak langsung,
katanya, akan dapat menarik minat generasi muda menyertai ATM menerusi pameran
kerjaya yang diadakan sempena program itu.
"Program selama dua
hari ini akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti pembersihan bandar,
pertunjukan aset tentera, kapal terbuka, pameran kerjaya, menderma darah,
konsert dan lain-lain.
"Ia juga antara usaha
pihak kerajaan yang telah memutuskan agar anggota ATM mengambil peluang dalam
program-program sebegini untuk memperkenalkan aset dan keupayaan masing-masing.
"Sekali gus ianya dapat
menyampaikan maklumat kepada rakyat berkenaan keupayaan serta kemajuan aset ATM
pada hari ini," jelas Alias.
No comments:
Post a Comment