Thursday 18 April 2013

LIBARAN AKAN TERUS MEMBANGUN






WATIKAH....Juslie menerima Watikah Pencalonan beliau di Parlimen Libaran.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

LIBARAN : Penyandang Calon Barisan Nasional (BN) Kawasan Parlimen Libaran, Datuk Hj Juslie yakin bahawa kerusi Parlimen Libaran yang dipegangnya selama tiga penggal masih kekal milik BN pada PRU 13 ini nanti.

Katanya, Parlimen Libaran termasuk DUN Gum-Gum dan Sungei Sibuga adalah kubu kuat BN/UMNO jadi parti pembangkang, khususnya Pakatan Rakyat tidak mudah membolot ketiga-tiga kerusi di kawasan yang dimaksudkan.

Juslie berkata demikian kepada Sabahkini.Net selepas menerima Watikah Pencalonan daripada Ketua Menteri Sabah untuk membolehkan beliau bertanding semula di parlimen Libaran.

Bagaimanapun Juslie berterima kasih kepada pucuk pimpinan pusat Dato Sri Najib Tun Abdul Razak dan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Hj Aman yang masih menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada beliau.


“Sebagai mantan Ahli Parlimen Libaran selama tiga penggal dan masuk penggal keempat ini, sekiranya saya diberi mandat semula untuk menerajui kepimpinan di Libaran; saya akan meneruskan misi-visi dan agenda saya sebagai wakil kerajaan BN,” ujarnya.

Katanya, beliau akan memastikan kerja melebarkan jalan dua hala yang bermula daripada  batu 8 sehingga ke Batu 16 Jalan Labuk yang sedang dalam pembinaan disiapkan segera bagi mengatasi masalah lalulintas.


"Selain itu, semua jalan kampung di bawah seliaan Parlimen Libaran akan dinaik taraf, manakala ekonomi penduduk setempat akan diteruskan ini selaras dengan slogan Janj Ditepati,” ujarnya.

Sementara itu, penyandang calon BN DUN Gum-Gum, Datuk Hj Zakaria Hj Edris  berkata, sekiranya beliau diberi mandat semula sebagai wakil Rakyat; beliau juga akan meneruskan agendanya membangunkan Gum-Gum terutama sekali menambah pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR).



Zakaria yang telah menjadi ADUN Gum-Gum selama dua penggal mengakui BN telah banyak membawa pembangunan prasarana untuk dinikmati rakyat.

“Saya berjanji, sekiranya saya dipilih semula oleh para pengundi di Gum-Gum, saya akan memastikan semua prasarana dinaik taraf demi untuk keselesaan penduduk setempat,” ujarnya.


Zakaria turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua Bahagian UMNO Libaran yang juga selaku Pengerusi Perhubungan BN Negeri kerana masih memberikan kepercayaan penuh kepada beliau untuk bertanding semula pada PRU ke 13 ini bagi menentang calon-calon pembangkang.

No comments:

Post a Comment