Thursday 4 April 2013

MANIFESTO RM46B DIBIAYAI 'DIVIDEN ANTIRASUAH'





        
Oleh : LIM GUAN ENG

SAMBIL kita menantikan detik berlangsungnya pilihan raya umum ke-13 yang bersejarah ini, anda boleh memainkan peranan yang penting dalam mengubah perjalanan sejarah negara kita.

Hanya dengan keberanian untuk berubah, anda dapat menggalas masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia yang bebas daripada ketakutan, bebas daripada kejahilan dan bebas daripada rasuah. Malaysia berhak menikmati masa depan yang lebih baik!

Pilihan raya umum yang bersejarah ini berkisar pada ekonomi negara serta parti mana yang mempunyai dasar yang betul, idea, aspirasi dan prinsip untuk membina kehidupan rakyat dengan lebih baik.

Malaysia tersekat dalam perangkap pendapatan sederhana. Ramai yang sukar percaya bahawa pada tahun 1966, KDNK per kapita Malaysia adalah sebanyak AS$350, jauh mendahului Korea Selatan dengan AS$130.

Hampir lima puluh tahun kemudian, KDNK Malaysia meningkat kepada AS$9,977 sementara Korea Selatan melonjak mendahului Malaysia kepada AS$22,424.

Sejak Mac 2008, sistem dwi-parti bukan sahaja memberikan kita pilihan malah memberi nilai kepada pilihan kita.

Negara-negara yang dahulunya kurang maju daripada kita seperti Korea Selatan dan Taiwan telah berubah menjadi negara ekonomi berpendapatan tinggi sementara kita masih tersekat dalam perangkap pendapatan sederhana.

Pada tahun 1963, rakyat Malaysia lebih kaya daripada Korea dan Taiwan, dengan pendapatan per kapita sebanyak 13.6 peratus berbanding dengan pendapatan Amerika Syarikat, manakala Korea dan Taiwan pula mempunyai pendapatan per kapita lebih rendah, masing-masing pada 10.7 peratus dan 12.6 peratus.

Lima puluh tahun kemudian, hari ini, Malaysia jauh di belakang dengan hanya menjadi separuh kaya daripada Korea dan Taiwan.
Terdapat tiga faktor kejayaan yang kritikal, iaitu demokrasi yang berfungsi, memerangi rasuah dan membina modal insan. Kerajaan yang gagal untuk melaksanakan tugas dengan baik akan digantikan melalui pilihan raya demokratik oleh kerajaan yang baik, lantas menghasilkan pembaharuan dan penambahbaikan progresif.

Pemimpin yang korup digantikan oleh mereka yang berintegriti. Sementara itu, kemakmuran negara pula disokong dengan membina dan melatih semula modal insan.

Zaman Anwar 15 tahun berturut-turut defisit

Hadiah terbaik yang boleh diberi oleh sesebuah kerajaan kepada generasi masa depan kita bukanlah pemberian wang tunai tetapi pengetahuan, pendidikan, serta sistem yang adil dengan integriti dan peluang yang saksama.

Barulah kita boleh memastikan kehidupan yang bermaruah serta kehidupan yang lebih baik untuk generasi masa depan kita.

Malaysia berhak menikmati masa depan yang lebih baik!

Jauh berbeza dengan kedua-dua negara di atas, Malaysia merupakan jaguh nombor satu di dunia dari segi aliran keluar modal haram per kapita, dengan kerugian RM32,000 bagi setiap rakyat Malaysia.

Ia angka yang lebih teruk berbanding China dengan kerugian RM6,400 per kapita dalam tempoh masa yang sama.

Tidak hairanlah bagaimana hutang negara kita telah meningkat dua kali ganda daripada RM267 bilion pada tahun 2007 kepada lebih RM502 bilion pada hari ini, lima tahun kemudian.

Tambahan pula, Malaysia telah mencatat belanjawan defisit selama 15 tahun berturut-turut. Kali terakhir Malaysia mencatat lebihan ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Adalah penting supaya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri untuk meletakkan Malaysia kembali ke keadaan sepatutnya.

Dengan mengambil iktibar daripada faktor-faktor kejayaan Korea Selatan, kita boleh menyanggah kejatuhan ekonomi Malaysia. Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa kita boleh mentadbir negeri dengan bersih, bertanggungjawab dan telus.

Kami telah menukar defisit menjadi lebihan, mengurangkan hutang negeri, meningkatkan aset dan rizab kami, dan berjaya menyelamatkan berbilion dana awam melalui tender terbuka yang berdaya saing.

Lebih penting lagi, kami telah menyalurkan simpanan negeri kepada rakyat melalui program-program berjiwa rakyat. Dengan bantuan dan sokongan anda, kita boleh melakukan perkara yang sama untuk Malaysia.

Malaysia berhak menikmati masa depan yang lebih baik!

Dasar manfaat tak mufliskan negara

Saya juga ingin memberi jaminan kepada anda bahawa dasar-dasar yang memanfaatkan rakyat tidak akan membankrapkan negara - hanya rasuah yang akan membankrapkan negara.

Janji-janji dalam manifesto Pakatan berjumlah RM46 bilion dapat dibiayai dengan mudah melalui 'dividen antirasuah', iaitu simpanan 25 peratus daripada semua pemerolehan dan projek kerajaan yang berjumlah RM206 bilion setahun.

Simpanan 25 peratus adalah bersamaan dengan RM51 bilion, iaitu lebih daripada cukup untuk membiayai janji-janji kami.

Mari kita bergerak ke hadapan untuk menjadi sebuah negara pintar yang bertaraf antarabangsa - negara yang mendidik dan memupuk bakat; negara yang memberi galakan dan ganjaran untuk ketekunan, kepakaran dan keusahawanan; negara yang sesuai didiami dengan menjadi bersih, hijau, sihat dan selamat; serta negara yang mengamalkan integriti, keadilan dan tadbir urus berjiwa rakyat.

Malaysia berhak menikmati masa depan yang lebih baik!

Satu-satunya langkah ke hadapan adalah perubahan. Hanya apabila anda mempunyai keberanian untuk berubah, maka anda boleh hidup dengan bermaruah. Masanya telah tiba untuk kita bersatu padu sebagai satu keluarga rakyat Malaysia.

Masalah anda sebagai orang Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban turut menjadi masalah kami. Pemimpin anda menjadi pemimpin kami. Anak-anak anda adalah juga anak-anak kami. Harapan anda menjadi aspirasi kami.

Kita tidak mahu takut kepada kerajaan tetapi sebaliknya kerajaan takut kepada kita. Sertailah kami dalam perjuangan untuk memberi harapan kepada anda dan anak-anak muda.

Marilah kita bersatu supaya kita dapat menghadapi cabaran masa depan bersama-sama. Dalam persediaan untuk masa depan, janganlah kita membiarkan BN mencuri masa depan anak-anak kita sepertimana mereka telah merompak masa depan kita selama 56 tahun yang lalu. Ini kalilah!

Malaysia berhak menikmati masa depan yang lebih baik!

(NOTA : Lim Guan Eng setiausaha agung DAP. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Sabahkini.net).

No comments:

Post a Comment