Wednesday, 10 April 2013

NAJIB FOKUS BIDANG PENDIDIKAN






TAWAU : Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak begitu fokus membangunkan bidang pendidikan dan menjaga kebajikan para pendidik sehingga para pensyarah dan guru merupakan antara golongan yang paling terasa sentuhan kasih sayang kerajaan.

Menurut tokoh akademik disegani di Sabah, Datuk Mary Yap Kain Ching, kebajikan pendidik dijaga dengan baik dengan pemberian pelbagai insentif seperti pembangunan profesionalisme secara berterusan dan elaun kritikal untuk guru teknik vokasional serta guru bahasa Inggeris, Matematik dan Sains untuk memotivasi mereka.

“Selain itu, warga pendidik juga mempunyai peluang baik naik pangkat hingga ke tahap tinggi tanpa perlu meninggalkan sekolah sama ada dihantar bertugas ke pejabat pelajaran atau ke kementerian berdasarkan konsep ‘naik pangkat tanpa berpindah’,” katanya kepada Bernama di sini.

Mesra dengan nama Mary Yap, beliau berkata insentif kenaikan pangkat melalui konsep ini tidak terhad kepada para pengetua sahaja malah turut dinikmati guru-guru lain melalui pengenalan ‘Guru Cemerlang’ di samping kenaikan pangkat menurut kaedah ‘time-based’.

“Jadi ini sudah menunjukkan satu justifikasi cukup jelas bahawa BN bersikap penyayang kerana apa yang sangat penting ialah kebajikan warga pendidik dijaga dengan baik,” katanya.

Mary Yap, bekas Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Teknik Tawau, menyifatkan kerajaan BN sebagai kerajaan penyayang kepada semua rakyat dan memberi perhatian berat terhadap keperluan dan kepentingan pendidikan secara merata termasuk sekolah mubaligh dan sekolah jenis kebangsaan.

“Semua sekolah ini juga termasuk dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Nasional Malaysia (PPPN) yang dilancarkan perdana menteri untuk tahun 2013 hingga 2025,” katanya yang juga Pengerusi Persekutuan Majlis Sekolah-Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia.

Mary Yap, yang pernah menerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan atas sumbangannya dalam bidang pendidikan, menangkis tanggapan pihak tertentu kononnya pelbagai inisiatif dan sentuhan kasih sayang BN bertujuan memancing undi, memandangkan ia sememangnya perancangan kerajaan melalui belanjawan negara.

Katanya kerajaan BN juga tidak mengambil ringan soal pembinaan modal insane berkualiti untuk masa depan negara melalui usaha berterusan menambah baik sistem pendidikan menjadikannya bertaraf dunia.

Kementerian Pelajaran sekarang, menurutnya, bukan sahaja terus berusaha menjaga kebajikan warga pendidik malah berusaha mewujudkan sistem atau dasar pendidikan yang boleh memacu kecemerlangan pendidikan dan modal insan negara pada masa depan.

“Sebagai seorang pendidik, saya melihat Kementerian Pelajaran memang menjaga warga pendidik dengan baik. Pelbagai aliran sekolah seperti sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh dan sekolah agama juga wujud dan mendapat perhatian besar kerajaan BN,” katanya.

Mary Yap berkata di bawah kerajaan BN pelbagai program dan inisiatif melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) diperkenalkan untuk membawa kemakmuran kepada semua lapisan masyarakat.

“Jelaslah BN merupakan parti yang bersikap penyayang. Rakyat terutama golongan berpendapatan rendah tidak mungkin mendapat perhatian sebaik ini jika bukan BN yang memerintah,” katanya memetik pelbagai contoh program yang sudah dilaksanakan dan memberi manfaat besar kepada rakyat jelata.

Ia termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, pemberian baucer buku kepada pelajar pengajian tinggi, skim rumah pertama, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang kini dijanjikan diberi berterusan dengan pelbagai penambahbaikan.

Mary Yap yang juga anggota Majlis Penasihat Wanita Sabah berkata kerajaan BN juga melaksanakan banyak program ekonomi dan sosial untuk membantu mempertingkat taraf hidup dan menjaga kebajikan wanita termasuk ibu tunggal dan warga emas.

Beliau yakin kerajaan BN berada di landasan yang betul bagi memacu pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan 2020, namun menegaskan bahawa rakyat perlu memberi sokongan tidak berbelah bahagi atas kesungguhan dan komitmen tinggi pemimpin BN untuk membawa kemakmuran kepada rakyat dan negara. (Bernama)

No comments:

Post a Comment