KUALA LUMPUR : Banyak pihak
yang menaruh harapan dan teruja untuk mengetahui senarai calon Barisan Nasional
(BN) bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sebagaimana diuar-uarkan media,
menjadi hampa apabila ia tidak menjadi kenyataan hari ini.
Antiklimaks, begitu
kesimpulan yang boleh digambarkan terhadap harapan mereka untuk mengetahui
siapa yang akan ditampilkan BN sebagai calon-calonnya untuk pilihan para
pengundi pada 5 Mei nanti.
Bagi pihak berkepentingan,
terutamanya bakal-bakal calon, penantian penuh debaran mereka nampaknya akan
hanya berakhir dalam beberapa hari lagi.
"...belum selesai. Akan
diumumkan beberapa hari lagi," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul
Razak kepada pemberita selepas program perjumpaan Pengerusi BN Bersama Jentera
Pilihan Raya Parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.
Najib, yang juga Pengerusi
BN berkata proses memuktamadkan senarai akhir calon parti itu masih belum
selesai kerana pelbagai faktor perlu diambil kira dan dipertimbangkan dengan
teliti sebab BN hendak mengukuhkan peluangnya untuk menang pada PRU-13.
Seorang individu yang
mengaku namanya antara yang disebut-sebut akan menjadi calon berkata beliau
sangat berharap Perdana Menteri akan membuat pengumuman itu hari ini, namun akan
tetap bersabar sehingga mendapat kepastian mengenai perkara itu.
Penulis dan rakan-rakan
sekerja yang juga pengundi berharap Najib akan segera membuat pengumuman itu
untuk mengetahui calon-calon BN di kawasan masing-masing kerana ia sekali gus
dapat melenyapkan khabar angin yang bertiup kencang berhubung nama-nama yang
akan menjadi calon di kawasan pilihan raya masing-masing.
Pada perjumpaan hari ini,
Perdana Menteri menjelaskan kepada jentera pilihan raya BN bahawa penentuan
kerusi dan calon parti itu adalah proses yang kompleks kerana pelbagai faktor
perlu diambil kira.
BN, kata Najib tidak mungkin
dapat memenuhi kehendak semua pihak atau memberi kepuasan kepada semua individu
sambil meminta anggota BN memahami hakikat bahawa objektif pilihan raya kali
ini bukan semata-mata terpilih menjadi calon, sebaliknya membentuk kerajaan
yang kuat di peringkat nasional dan negeri. (Bernama)
No comments:
Post a Comment