Monday 14 May 2012

BAGAIMANA MELIHAT DUNIA TANPA MATA?





Oleh : MAZNAH ABU BAKAR

KUALA LUMPUR : SESETENGAH orang beranggapan bahawa buta sejak dilahirkan lebih baik daripada hilang penglihatan akibat kemalangan dan sebagainya.

Ada juga yang menyifatkan untuk merasai pengalaman sebagai orang buta, kita boleh cuba berada di tempat gelap gelita, pada hal teori itu sebenarnya kurang tepat.

Penulis ini melalui pengalaman berjalan sejauh tiga kilometer dengan mata ditutup, untuk menghayati dan menghargai dunia orang buta.

Sukarnya untuk berjalan dengan yakin kerana setiap langkah dibayangi halangan walau dipimpin oleh orang lain. Memang terasa penatnya hanya kerana memikirkan apa yang ada di hadapan dan timbul perasaan tidak yakin dan terlalu berhati-hati untuk melangkah.

Sedikit cahaya yang menimpa di kelopak mata melalui penutup kain, memberi gambaran hari siang dan kulit yang terasa perit apabila sesekali diimbas cahaya matahari, memberi maksud kepada penulis bahawa cuaca panas ketika itu.

Inilah pengalaman yang dirasai sekumpulan peserta 'Blind Leading The Blind Charity Walk 2012' kali ke sembilan yang dianjurkan Kelab Lions Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pengerusi acara Mak Siew Fong ketika menceritakan perasaan beliau menjadi 'buta' seketika berkata:

"Saya pernah melalui pengalaman berjalan dengan menutup mata dipimpin oleh rakan, saya tidak boleh menggambarkan deria rasa, tapi dengan kehilangan penglihatan dan tiba-tiba terus bergantung dengan penglihatan orang lain, semua ketakutan yang tidak diketahui itu benar-benar mengelirukan.

"Saya rasa inilah idea sebenarnya, untuk merasai pengalaman kira-kira sejam bagaimana orang buta berjalan di jalan raya".

Kelab ini telah berkhidmat untuk golongan cacat penglihatan ini sejak 1961. Ia memberikan khidmat rawatan pemeriksaan dan perubatan mata percuma kepada golongan miskin di luar bandar. Seramai 12,000 orang telah menjalani pemeriksaan dan 1,200 orang dirawat dengan kerjasama Hospital Mata Tun Hussein Onn.

Melalui 'Lions SightFirst Programme' kelab ini berjaya mengumpul RM800,000 dan mendermakan RM600,000 kepada Hospital Mata Tun Hussein Onn

Menerusi Lions International SightFirst Programme, 1.3 juta rakan pakar rawatan mata Lions di seluruh dunia 'memulihkan penglihatan' berjuta orang dengan melakukan 30 juta pembedahan katarak, imbasan penglihatan, pencegahan trakoma dan program pencegahan menjadi buta.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masih terdapat 45 juta orang buta di seluruh dunia. Menerusi inisiatif kempen Lions International SightFirst, ia berharap menjelang tahun 2020 masalah penglihatan ini dapat diatasi.

Acara "Blind Leading the Blind" ini bukan bersaing untuk mencari pemenang. Perjalanan tiga kilometer bermula dan berakhir di ruang parkir Dewan Sivik, Petaling Jaya.

Peserta Buta

Amat tersentuh hati apabila diberitahu yang 'peserta buta' ini dibawa melintasi beberapa kawasan seperti balai polis, kompleks membeli belah, stesen LRT, sekolah, kuil, rumah kedai dan sebagainya.

Penulis terasa janggal kerana semua bangunan ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, cukup hanya mendengar namanya disebut. Tetapi sekurang-kurangnya penulis masih boleh membayangkan bentuk yang dilihat sebelumnya.

Bagaimana pula dengan sibuta sejak lahir? Apalah yang dapat dibayangkannya.

Dalam dunia penuh kegelapan, hingar bingar deruman enjin amat menakutkan. Kesukaran ini mengajar peserta betapa sulitnya berjalan tanpa penglihatan yang sempurna.

"Sangat takut, seperti ada longkang di hadapan, takut jatuh, takut langgar sebab tak nampak," itulah ungkapan spontan Ann Wong Ka Yen, lapan tahun.

Pelajar Tahun 2, Sekolah Kebangsaan Seri Indah itu dan rakan-rakannya membuat keputusan untuk menyertai acara ini dengan tujuan mahu memahami erti kehidupan orang buta.

"Terasa sangat-sangat nak tolong mereka," kata Ann.

Shangy, pelajar India dari Sekolah Menengah Kebangsaan Assunta berkongsi sentimen dengan Ann. Diaamat takut dengan pengalamannya menjadi buta walaupun seketika, dan kerana itu dia gembira dan bersyukur mempunyai sepasang mata yang sihat.

Melalui pengalaman berada dalam kegelapan itu membuatkan dia berasa amat kasihan dan berhasrat untuk memberi bantuan terhadap golongan ini.

Seronok Campur Takut

Berlainan pula dengan Nur Afrina Irdini, murid tahun 5 dari Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, yang berasa amat seronok berjalan beramai-ramai dengan menutup mata dan dipimpin oleh ibu serta bapanya. Perasaan seronok sudah pasti dapat menghilangkan ketakutan di dalam dirinya.

Bagaimanapun timbul juga perasaan takut jatuh longkang dan melanggar sesuatu di hadapan. Pengalaman itu membuatkan Afrina amat bersimpati dengan nasib orang buta dan berazam mahu menjaga kesihatan matanya.

Dalam gurauan penuh bermakna dia menjawab: "Makan carrot (lobak) banyak-banyak" apabila ditanya bagaimana dia mahu menjaga kesihatan matanya.

Sementara itu kakitangan awam S.Chandravathani yang turut menyertai acara ini berkata keadaan yang gelap membuatkan deria pendengarannya tajam dan cepat menangkap sesuatu.

"Saat mula mengatur langkah, hati saya berdebar-debar kerana daripada boleh melihat, tiba-tiba tidak. Bagaimanapun deria pendengaran menjadi lebih tajam daripada biasa kerana dihantui perasaan takut yang menebal dan terlalu memikirkan keselamatan diri," katanya.

Chandravathani mengakui beliau terasa seperti akan dilanggar kenderaan yang lalu lalang di sebelahnya, Terasa dirinya amat bergantung kepada orang yang memimpin tangannya ketika itu.

Keindahan Yang Dihargai

Keindahan panorama kota raya yang dipenuhi dengan bangunan pencakar langit dan keunikan seni bina ciptaan manusia, juga kereta pelbagai jenama yang megah menyusur jalan raya, sudah pasti seorang yang dilahirkan buta tidak pernah melihat, jauh sekali membayangkannya.

Braille - yang dicipta khas untuk orang buta membaca dengan merasa, tidak dapat menggambarkan semua ini secara semula jadi. Juga tiada peralatan khas untuk mereka mengenali bentuk fizikal bangunan, rumah, balai polis, hospital dan sebagainya.

Lebih menderita jika seseorang yang dilahirkan normal dan mempunyai mata yang sihat tiba-tiba menjadi buta selepas mengalami kemalangan.

Bukan mudah menjadi buta selepas menjalani kehidupan biasa yang ditempuhi oleh seseorang yang pernah melihat sebelum ini.

Mereka yang dilahirkan buta lebih bergantung kepada gerak hati mereka dan rasa dalam apa-apa pergerakan, bagaimanapun mereka yang hilang penglihatan kemudian dalam hidup, akan terus memasang deria 'celik' untuk bertindak, lantas pergerakan mereka lambat dan tidak selesa.

Disebabkan tidak biasa menggunakan gerak hati, mereka akan cepat jatuh dan terlanggar halangan. Disebabkan itu sesetengah mereka sukar untuk menerima kenyataan yang kedua-dua mata mereka tidak boleh digunakan lagi menyebabkan mereka putus harapan dan kecewa dalam hidup.

Menghargai Mata

Penyakit yang kritikal seperti kencing manis juga boleh menyebabkan mata menjadi buta.

Oleh itu hargailah mata seadanya. Sayangilah diri kita dengan menjalani kehidupan yang sihat dan mengamalkan aktiviti yang turut membantu mengekalkan kesihatan mata.

Ketahuilah dan fahamilah orang buta dan keperluan mereka. Pengguna jalan raya, khasnya perlulah menghulurkan bantuan kepada mereka, melayan mereka dengan sabar dan memberi laluan ketika ketika melintas jalan. (Bernama)

4 comments:

  1. sukarnya hidup tanpa penglihatan, kita harus bersyukur kerana dilahirkan sempurna pancaindera.

    ReplyDelete
  2. Setiap manusia ada kelebihan masing2 walaupun ada yang kurang sempurna dari segi fizikal.

    ReplyDelete
  3. Maka bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang ini.

    ReplyDelete
  4. dan bersyukur juga kita berada di sebuah negara yang mana kerajaan dan badan2 bukan kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan kurang upaya ini malah sentiasa memahami keperitan hidup yang mereka lalui..

    ReplyDelete