Oleh : MAZNAH ABU
BAKAR
KUALA LUMPUR :
SESETENGAH orang beranggapan bahawa buta sejak dilahirkan lebih baik daripada
hilang penglihatan akibat kemalangan dan sebagainya.
Ada juga yang
menyifatkan untuk merasai pengalaman sebagai orang buta, kita boleh cuba berada
di tempat gelap gelita, pada hal teori itu sebenarnya kurang tepat.
Penulis ini melalui
pengalaman berjalan sejauh tiga kilometer dengan mata ditutup, untuk menghayati
dan menghargai dunia orang buta.
Sukarnya untuk
berjalan dengan yakin kerana setiap langkah dibayangi halangan walau dipimpin
oleh orang lain. Memang terasa penatnya hanya kerana memikirkan apa yang ada di
hadapan dan timbul perasaan tidak yakin dan terlalu berhati-hati untuk
melangkah.
Sedikit cahaya yang
menimpa di kelopak mata melalui penutup kain, memberi gambaran hari siang dan
kulit yang terasa perit apabila sesekali diimbas cahaya matahari, memberi
maksud kepada penulis bahawa cuaca panas ketika itu.
Inilah pengalaman
yang dirasai sekumpulan peserta 'Blind Leading The Blind Charity Walk 2012'
kali ke sembilan yang dianjurkan Kelab Lions Petaling Jaya, baru-baru ini.
Pengerusi acara Mak
Siew Fong ketika menceritakan perasaan beliau menjadi 'buta' seketika berkata:
"Saya pernah
melalui pengalaman berjalan dengan menutup mata dipimpin oleh rakan, saya tidak
boleh menggambarkan deria rasa, tapi dengan kehilangan penglihatan dan
tiba-tiba terus bergantung dengan penglihatan orang lain, semua ketakutan yang
tidak diketahui itu benar-benar mengelirukan.
"Saya rasa
inilah idea sebenarnya, untuk merasai pengalaman kira-kira sejam bagaimana
orang buta berjalan di jalan raya".
Kelab ini telah
berkhidmat untuk golongan cacat penglihatan ini sejak 1961. Ia memberikan
khidmat rawatan pemeriksaan dan perubatan mata percuma kepada golongan miskin
di luar bandar. Seramai 12,000 orang telah menjalani pemeriksaan dan 1,200
orang dirawat dengan kerjasama Hospital Mata Tun Hussein Onn.
Melalui 'Lions
SightFirst Programme' kelab ini berjaya mengumpul RM800,000 dan mendermakan
RM600,000 kepada Hospital Mata Tun Hussein Onn
Menerusi Lions
International SightFirst Programme, 1.3 juta rakan pakar rawatan mata Lions di
seluruh dunia 'memulihkan penglihatan' berjuta orang dengan melakukan 30 juta
pembedahan katarak, imbasan penglihatan, pencegahan trakoma dan program
pencegahan menjadi buta.
Menurut Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO), masih terdapat 45 juta orang buta di seluruh dunia.
Menerusi inisiatif kempen Lions International SightFirst, ia berharap menjelang
tahun 2020 masalah penglihatan ini dapat diatasi.
Acara "Blind
Leading the Blind" ini bukan bersaing untuk mencari pemenang. Perjalanan
tiga kilometer bermula dan berakhir di ruang parkir Dewan Sivik, Petaling Jaya.
Peserta Buta
Amat tersentuh hati
apabila diberitahu yang 'peserta buta' ini dibawa melintasi beberapa kawasan
seperti balai polis, kompleks membeli belah, stesen LRT, sekolah, kuil, rumah
kedai dan sebagainya.
Penulis terasa
janggal kerana semua bangunan ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, cukup
hanya mendengar namanya disebut. Tetapi sekurang-kurangnya penulis masih boleh
membayangkan bentuk yang dilihat sebelumnya.
Bagaimana pula dengan
sibuta sejak lahir? Apalah yang dapat dibayangkannya.
Dalam dunia penuh
kegelapan, hingar bingar deruman enjin amat menakutkan. Kesukaran ini mengajar
peserta betapa sulitnya berjalan tanpa penglihatan yang sempurna.
"Sangat takut,
seperti ada longkang di hadapan, takut jatuh, takut langgar sebab tak
nampak," itulah ungkapan spontan Ann Wong Ka Yen, lapan tahun.
Pelajar Tahun 2,
Sekolah Kebangsaan Seri Indah itu dan rakan-rakannya membuat keputusan untuk
menyertai acara ini dengan tujuan mahu memahami erti kehidupan orang buta.
"Terasa
sangat-sangat nak tolong mereka," kata Ann.
Shangy, pelajar India
dari Sekolah Menengah Kebangsaan Assunta berkongsi sentimen dengan Ann. Diaamat
takut dengan pengalamannya menjadi buta walaupun seketika, dan kerana itu dia
gembira dan bersyukur mempunyai sepasang mata yang sihat.
Melalui pengalaman
berada dalam kegelapan itu membuatkan dia berasa amat kasihan dan berhasrat
untuk memberi bantuan terhadap golongan ini.
Seronok Campur Takut
Berlainan pula dengan
Nur Afrina Irdini, murid tahun 5 dari Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan,
yang berasa amat seronok berjalan beramai-ramai dengan menutup mata dan
dipimpin oleh ibu serta bapanya. Perasaan seronok sudah pasti dapat menghilangkan
ketakutan di dalam dirinya.
Bagaimanapun timbul
juga perasaan takut jatuh longkang dan melanggar sesuatu di hadapan. Pengalaman
itu membuatkan Afrina amat bersimpati dengan nasib orang buta dan berazam mahu
menjaga kesihatan matanya.
Dalam gurauan penuh
bermakna dia menjawab: "Makan carrot (lobak) banyak-banyak" apabila
ditanya bagaimana dia mahu menjaga kesihatan matanya.
Sementara itu
kakitangan awam S.Chandravathani yang turut menyertai acara ini berkata keadaan
yang gelap membuatkan deria pendengarannya tajam dan cepat menangkap sesuatu.
"Saat mula
mengatur langkah, hati saya berdebar-debar kerana daripada boleh melihat,
tiba-tiba tidak. Bagaimanapun deria pendengaran menjadi lebih tajam daripada
biasa kerana dihantui perasaan takut yang menebal dan terlalu memikirkan
keselamatan diri," katanya.
Chandravathani
mengakui beliau terasa seperti akan dilanggar kenderaan yang lalu lalang di
sebelahnya, Terasa dirinya amat bergantung kepada orang yang memimpin tangannya
ketika itu.
Keindahan Yang Dihargai
Keindahan panorama
kota raya yang dipenuhi dengan bangunan pencakar langit dan keunikan seni bina
ciptaan manusia, juga kereta pelbagai jenama yang megah menyusur jalan raya,
sudah pasti seorang yang dilahirkan buta tidak pernah melihat, jauh sekali
membayangkannya.
Braille - yang
dicipta khas untuk orang buta membaca dengan merasa, tidak dapat menggambarkan
semua ini secara semula jadi. Juga tiada peralatan khas untuk mereka mengenali
bentuk fizikal bangunan, rumah, balai polis, hospital dan sebagainya.
Lebih menderita jika
seseorang yang dilahirkan normal dan mempunyai mata yang sihat tiba-tiba
menjadi buta selepas mengalami kemalangan.
Bukan mudah menjadi
buta selepas menjalani kehidupan biasa yang ditempuhi oleh seseorang yang
pernah melihat sebelum ini.
Mereka yang
dilahirkan buta lebih bergantung kepada gerak hati mereka dan rasa dalam
apa-apa pergerakan, bagaimanapun mereka yang hilang penglihatan kemudian dalam
hidup, akan terus memasang deria 'celik' untuk bertindak, lantas pergerakan
mereka lambat dan tidak selesa.
Disebabkan tidak
biasa menggunakan gerak hati, mereka akan cepat jatuh dan terlanggar halangan.
Disebabkan itu sesetengah mereka sukar untuk menerima kenyataan yang kedua-dua
mata mereka tidak boleh digunakan lagi menyebabkan mereka putus harapan dan
kecewa dalam hidup.
Menghargai Mata
Penyakit yang
kritikal seperti kencing manis juga boleh menyebabkan mata menjadi buta.
Oleh itu hargailah
mata seadanya. Sayangilah diri kita dengan menjalani kehidupan yang sihat dan
mengamalkan aktiviti yang turut membantu mengekalkan kesihatan mata.
Ketahuilah dan
fahamilah orang buta dan keperluan mereka. Pengguna jalan raya, khasnya
perlulah menghulurkan bantuan kepada mereka, melayan mereka dengan sabar dan
memberi laluan ketika ketika melintas jalan. (Bernama)
sukarnya hidup tanpa penglihatan, kita harus bersyukur kerana dilahirkan sempurna pancaindera.
ReplyDeleteSetiap manusia ada kelebihan masing2 walaupun ada yang kurang sempurna dari segi fizikal.
ReplyDeleteMaka bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang ini.
ReplyDeletedan bersyukur juga kita berada di sebuah negara yang mana kerajaan dan badan2 bukan kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan kurang upaya ini malah sentiasa memahami keperitan hidup yang mereka lalui..
ReplyDelete