Tuesday, 1 May 2012

IBU BAPA DI INDONESIA TERPAKSA BANTING TULANG





Oleh : BUSTANUDDIN JALALUDDIN

AR-RAUDAH, anak perempuan bongsu Rasyidin, memperoleh ijazah daripada sebuah universiti awam Jawa Barat di Bandung setelah menamatkan pengajian dengan pembiayaan bapanya.

Kalaulah tidak kerana kesanggupan bapanya yang bekerja di sebuah kilang kecil membuat pakaian membanting tulang untuk mencari pendapatan tambahan bagi membiayai pengajiannya, mungkin gadis ini tidak berpeluang mendapat segulung ijazah seperti yang diimpikannya.

Menginsafi kesempitan hidup yang mereka alami dan untuk membalas pengorbanan bapanya, Ar-Raudah belajar dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan bapanya berbangga dengan pencapaiannya.

Memandangkan pendidikan tinggi di Indonesia memerlukan perbelanjaan besar kerana kerajaan tidak menyediakan pinjaman pendidikan, manakala biasiswa juga begitu terhad jumlahnya, sudah menjadi perkara biasa bagi ibu bapa seperti Rasyidin mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai pelajaran anak masing-masing di negara 237 juta penduduk ini.

Malah, sesetengah ibu bapa seperti yang terdapat di Sumatera, terpaksa menjual kerbau lembu untuk mendapatkan wang bagi melunaskan yuran pengajian anak mereka di peringkat universiti.

Pelajar Indonesia yang mendapat biasiswa, sama ada daripada badan kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan Kebudayaan, kerajaan wilayah atau syarikat milik kerajaan, begitu terhad jumlahnya.

Contohnya, keutamaan kerajaan pusat sekarang ialah memberi biasiswa hanya kepada pelajar cemerlang daripada keluarga miskin.

Memetik kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Prof Musliar Kasim di Mataram, ibu wilayah Nusa Tenggara Barat (NTB), baru-baru ini, pelajar cemerlang daripada keluarga miskin memang layak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di universiti.

"Tiada sebab pelajar cemerlang daripada keluarga miskin tidak melanjutkan pelajaran di universiti," katanya.

Musliar berkata kerajaan, melalui Direktorat Jenderal Pendidikan Tinggi, kini melaksanakan pemberian biasiswa dikenali sebagai "Bidik Misi" kepada pelajar yang mendapat keputusan baik dalam pelajaran.

Melalui program biasiswa ini, setiap pelajar akan menerima Rp600,000 (RM214) sebulan atau Rp2.4 juta (RM857) bagi setiap semester.

Pada 2012, 30,000 pelajar universiti awam akan menerima biasiswa Bidik Misi.

Pelajar yang dipertimbangkan untuk menerima biasiswa ini mestilah berusia tidak kurang 21 tahun, manakala pendapatan kasar ibu bapa mereka pula tidak lebih Rp3 juta (RM1,071) sebulan.

Sementara itu, biasiswa yang disediakan kerajaan wilayah begitu terhad jumlahnya. Gabenor Gorontalo Rusli Habibie baru-baru ini berkata Perkhidmatan Pendidikan Gorontalo akan memilih 10 pelajar daripada sekolah tinggi, sekolah tinggi agama dan sekolah vokasional untuk diberi biasiswa bagi melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

Habibie berkata 10 pelajar terbaik tahun ini perlu membuat persiapan untuk melanjutkan pengajian di Jerman kerana tujuan biasiswa itu diberi ialah untuk melahirkan lebih ramai saintis yang akan berkhidmat di Gorontalo.

Katanya belum ada penduduk Gorontalo yang menyandang jawatan penting atau memperoleh kepakaran daripada syarikat yang beroperasi di Gorontalo, wilayah yang berjiran dengan Sulawesi Utara.

"Sungguh menyedihkan apabila penduduk tempatan hanya menjadi pekerja peringkat bawahan seperti dalam perkhidmatan keselamatan dan pembersihan, tanpa memegang jawatan penting di wilayah sendiri," katanya.

Gabenor itu berazam untuk mengubah keadaan sedia ada dengan melahirkan lebih ramai profesional yang terdiri daripada anak jati Gorontalo.

Habibie berkata Jerman menjadi pilihan kerana pendidikannya yang berkualiti tinggi serta kesediaan negara itu memberi biasiswa kepada pelajar Indonesia.

Biasiswa ini menambah jumlah dana yang disediakan kerajaan wilayah Gorontalo, katanya.

Habibie berharap selepas menamatkan pengajian di Jerman, pelajar berkenaan akan pulang ke tanah air untuk membantu kerajaan membangunkan Gorontalo.

Pelajar Indonesia juga mendapat biasiswa daripada negara lain seperti Jepun, yang menawarkan 140 biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di negara matahari terbit itu bagi tahun akademik 2012.

Pelajar yang terpilih menerimanya termasuk daripada tiga universiti iaitu Universiti Surakarta Sebelas Maret (UNS), Universiti Slamet Riyadi (Unisri) dan Universiti Surakarta Muhammadiyah (UMS), semuanya di Jawa Tengah, kata Duta Besar Jepun ke Indonesia, Yoshinori Katori. (Bernama)

10 comments:

  1. Tengoklah bertapa kesian mereka yang terpaksa membiayai pendidikan anak-anak mereka tanpa pinjaman. Kita pula tidak pandai menghargai apa yang kita ada.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pelajar di sini pula lebih rela dijadikan alat politik pihak2 tertentu.

      Delete
  2. Diharapkan Rasyidin akan berusaha mendapatkan pekerjaan yang lebih baik untuk membalas jasa ibu-bapanya yang berbanting tulang untuk menghantarnya ke Universiti.

    ReplyDelete
  3. Mudah-mudahan pelajar di sana dapat bawa perubahan positif di tempat mereka sendiri selepas tamat pengajian.

    ReplyDelete
  4. ktia harus contohi usaha yang dilakukan Rasyidin, kita di Malaysia dah cukup bertuah.

    ReplyDelete
  5. Hargai kemudahan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan. kalau tidak puas hati, bukan buat demo atau perhimpunan untuk tunjuk perasaan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu.. dan rakyat juga perlu fikirkan kesan dan sejauhmana pihak2 yang kononnya mahu memberikan pendidikan percuma kepada rakyat dapat merealisasikan cadangan ini..

      Delete
  6. PTPTN mula memberikan info semasa mengenai pinjaman untuk pendidikkan.

    ReplyDelete
  7. Pinjaman pendidik di M'sia ada baik dan buruknya. Tapi mungkin lebih bagus sebab kita boleh membuat loan untuk sambung belajar.

    ReplyDelete
  8. jika rakyat Indonesia memperolehi kerajaan seperti Malaysia, pasti mereka akan lebih bersyukur kerana setiap anak2 yang menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pasti akan dapat kemudahan pinjaman..

    ReplyDelete