Thursday, 10 May 2012

PENEROKA MENITISKAN AIR MATA GEMBIRA



JERANTUT : Para peneroka yang hadir pada majlis pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pemberian durian runtuh sempena penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH), melahirkan rasa penuh syukur, malah ada yang menitiskan air mata kegembiraan.

Kalangan peneroka, isteri, generasi kedua dan warga kerja Felda yang ditemui di majlis pengumuman tersebut di Felda Jengka 8, di sini penuh ceria dan gembira berikutan pengumuman Perdana Menteri itu.

Bagi Pengerusi Gerakan Perkumpulan Wanita (GPW) Wilayah Terengganu, Wan Saedah Wan Musa, 56, pengumuman Perdana Menteri itu telah melenyapkan sama sekali tohmahan pembangkang yang selama ini membuat pelbagai kenyataan bertujuan menggagalkan penyenaraian FGVH.

“Perdana Menteri cukup prihatin dan bersikap adil apabila turut memberikan agihan kepada para isteri dan-anak peneroka. Kami sebelum ini telah meminta Pengerusi Felda supaya turut mengambil kira peranan dan pengorbanan para isteri dan anak-anak yang turut mencurah tenaga memajukan tanah ladang masing-masing,” kata Wan Saedah.

Beliau berkata penyenaraian FGVH itu akan mengangkat martabat warga peneroka apabila Felda menjalankan perniagaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu Polis Bantuan Felda,  Yaakob Musa, 56, melahirkan rasa bersyukur apabila turut menikmati durian runtuh berikutan penyenaraian FGVH.

“Ternyata sekali Datuk Seri Najib turut mengambil kira peranan kakitangan Felda yang juga turut menyumbang bagi memajukan tanah rancangan Felda.

“Walaupun kami bukan peneroka tetapi dapat sama menikmati hasil sumbangan FGVH menerusi pembayaran bonus tambahan selama dua bulan setengah gaji disamping bonus tahunan seperti biasa,” kata Yaakob yang sudah berkhidmat 28 tahun bersama Felda.

Generasi kedua, Mohd. Asri Ab. Wahab, 39, berkata, pengagihan hasil daripada penyenaraian FGVH kepada anak-anak peneroka membuktikan Perdana Menteri seorang pemimpin yang berpandangan jauh.

“Seperti bapanya (perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein) yang menjadi pencetus penubuhan Felda, Datuk Seri Najib juga mempunyai jiwa yang sama untuk memastikan anak-anak peneroka turut menikmati hasil yang sama.

“Perubahan hidup sebagai warga peneroka sangat bermakna kerana kami dapat menikmati kehidupan yang jauh lebih baik berbanding jika terus tinggal di kampung di Pasir Mas, Kelantan,” kata Asli yang kini bertugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka.

Menurutnya, usaha pembangkang yang cuba menggagalkan penyenaraian FGVH tidak akan berjaya kerana keseluruhan warga peneroka menyokong usaha Perdana Menteri itu.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan perbuatan segelintir warga peneroka yang membiarkan diri mereka menjadi alat pembangkang sehingga sanggup bertindak untuk menggagalkan usaha kerajaan itu. (Bernama)

8 comments:

  1. peneroka pasti aman gembira atas durian runtuh yang diterima, mereka pasti rasa dihargai.

    ReplyDelete
  2. Semoga FGVH memperolehi keuntungan yang banyak nanti seterusnya menyalurkan keuntungan itu kepada peneroka.

    ReplyDelete
  3. Pihak pembangkang sengaja memutar belitkan isu ini untuk mengaburi pemikiran peneroka.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cerita yang memberi kredit kepada kerajaan memang biasa diputar belitkan oleh pembangkang

      Delete
  4. Terima kasih kepada keprihatinan PM kita dengan memberikan durian runtuh kepada warga peneroka.

    ReplyDelete
  5. Durian runtuh yang dijanjikan sudah tertunai

    ReplyDelete
  6. syabas kepada Felda dan juga kerajaan pimpinan Najib..

    ReplyDelete
  7. kalau bukan kerana penyenaraian FGVG ke Bursa Malaysia, peneroka tidak akan dapat menikmati durian runtuh seperti ini..

    ReplyDelete