KUALA LUMPUR : Berikut
adalah transkrip wawancara eksklusif Umno-Online bersama Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak sempena ulang tahun ke-66 Umno:
MEDIAUMNO: Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh Datuk Seri. Tahniah kerana Umno akan menyambut ulang
tahun yang ke-66 pada 11 Mei, usia 66 tahun yang menunjukkan kewibawaan,
kematangan yang tidak pernah luntur untuk terus memperjuangkan agenda ke arah
membina Malaysia yang sejahtera, aman, harmonis, maju dan makmur.
Sebagai Presiden Umno yang
ketujuh pastinya banyak pengalaman pahit manis yang boleh dijadikan iktibar dan
sempadan untuk Datuk Seri untuk terus memacu dan menakhodai Umno supaya terus
kekal relevan sebagai sebuah parti dominan dalam BN, pembela rakyat dan
inklusif menjadi pilihan seluruh rakyat Malaysia.
YAB Datuk Seri, Umno
menyambut ulang tahunnya ketika seluruh negara memperkatakan tentang Pilihan
Raya Umum ke-13, perayaan ulang tahun ini sangat signifikan kerana ia adalah
yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya
diadakan.
Adakah parti daripada setiap
peringkat sudah siap siaga berdepan dengan cabaran getir ini dan adakah YAB
Datuk Seri melihat ruang penambahbaikan sudah diperbaiki?
DS NAJIB: Pada umumnya parti
Umno dan rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional sudah pun membuat persediaan
yang diperlukan bagi menghadapi Pilihan Raya yang ke-13. Namun seperti biasa
kita tahu bahawa masih ada ruang yang boleh dilakukan oleh parti kita terutama
sekali di peringkat akar umbi dan ini termasuk juga peranan yang boleh
dimainkan oleh kepimpinan peringkat bahagian, peti undi dan terus ke peringkat
cawangan.
Salah satu daripada perkara
yang saya tekankan ialah betapa pentingnya kita ini merupakan satu pasukan,
satu keluarga yang bukan saja mantap tetapi kukuh dan padu dalam apa jua
keadaan dan kita mesti melihat bahawa ancaman kita, pesaing kita adalah parti
pembangkang dan bukanlah sesama kita.
Jadi dalam keadaan kita
berhadapan dengan pilihan raya ini kita mestilah memastikan bahawa
persengketaan antara kita atau persaingan antara kita dapat diketepikan dan
kita menjurus kepada perhatian yang sepenuhnya kepada sebarang dan segala usaha
yang kita boleh lakukan untuk memastikan bahawa jentera kita ini padu dan boleh
bergerak, lancar dan penuh bersemangat untuk Umno dan Barisan Nasional.
MEDIAUMNO: Kita melihat Hari
Umno diadakan ketika mesyuarat-mesyuarat cawangan sedang berlangsung. Sudah
parti di peringkat akar umbi menterjemah dan menumpukan segala kudrat dan
tenaga untuk memastikan jentera Umno bergerak sederap bagi memastikan Umno dan
BN terus menjadi pilihan rakyat terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13
nanti?
DS NAJIB: Ya,
jentera-jentera kita pun telah pun diberi kursus, diberi panduan dan telah pun
dibuat perjumpaan dan hampir semua negeri lancarkan jentera pilihan raya tapi
sebab kita ini merupakan parti yang besar, 3.3 juta ahli kita semua sekali.
Oleh itu kita mesti
meletakkan dalam fikiran dan juga mind set anggota-anggota parti kita ini
supaya menumpu kepada sebarang usaha yang boleh dilakukan setiap daripada kita.
Tidak semestinya kita ini merupakan seorang pemimpin besar, atau pemimpin di
peringkat bahagian tapi kita sebagai ahli biasa sekurang-kurangnya nilai undi
kita, sebab ada kalanya ada juga ahli Umno yang tidak mengundi waktu pilihan
raya, jadi kita mesti pastikan bahawa setiap daripada 3.3 juta ahli Umno ada
peranan masing-masing.
MEDIAUMNO: YAB Presiden
selalu menekankan pentingnya Umno melakukan transformasi untuk terus kekal
relevan. Adakah transformasi politik dalam Umno sudah berlaku supaya parti
benar-benar dilihat sebagai dominan dan menjadi pilihan utama rakyat?
DS NAJIB: Perjalanannya
sudah pun bermula dan kita sudah pun melihat ada kesannya, antaranya kita telah
pun meminda Perlembagaan parti supaya parti Umno lebih telus, lebih demokratik
dan inklusif. Kita dah mula menghayati Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan di mana banyak program yang dilakukan oleh Umno adalah
berteraskan kepada falsafah dan Gagasan tersebut.
Walau bagaimanapun, saya
seorang yang bersikap realis bahawa melakukan transformasi secara menyeluruh
mesti disertai dengan perubahan budaya dalam Umno dan untuk mengubah sikap
manusia dan sistem nilai dalam parti kita ini tentu sekali memakan masa tetapi
saya rasa bahawa pencapaian atau pun perjalanan ini sudahpun bermula dan ada
sedikit sebanyak perubahan tapi kita perlu meneruskan lagi sebab untuk
mentrasformasikan Umno adalah satu cabaran yang tentu sekali akan memakan masa.
MEDIAUMNO: Jadi tempoh 65
tahun masih belum mencukupi Umno ini terus transform kepada kepada parti dan
rakyat?
DS NAJIB: Umno sebenarnya
sudah berjaya sebab kalau kita lihat pada peringkat awal semangat untuk
menentang Malayan Union, semangat untuk memerdekakan negara kita, masa itu
tidak ada sesiapa persoalkan tentang kelemahan Umno ataupun permasalahan
dalaman Umno sebab kita, perjuangan kita satu saja, kita nak bagaimanapun Umno
mesti merupakan pelopor kepada kemerdekaan negara kita dan dalam tempoh masa
kita berjuang untuk mengisi kemerdekaan, peringkat awal tahun 60-an, 70-an kita
lihat perjuangan kita memang berpandu kepada satu matlamat saja tapi bila
sistem nilai kita telah dicampuraduk dengan soal kepentingan untuk merebut
jawatan dan sedikit sebanyak soal politik wang melanda parti kita kerana
persaingan bertambah sengit dan kita sebagai sebuah parti telah berjaya membangunkan
negara kita dan bererti orang yang berada dalam negara kita ini sudah
bertambah.
Jadi matlamat kita sudah pun
dicampuraduk dengan soal kepentingan diri dan sebagainya. Inilah yang mesti
kita hindari bahawa sebagai sebuah parti yang telah lama wujud, terlalu besar
nilai dan jasa kita, tapi pengundi hari ini tidak akan melihat kepada
kegemilangan dalam sejarah, dari segi sejarah. Mereka nak tahu apa perjuangan
kita masa kini dan akan datang, oleh itu kita tak boleh bersandar kepada nilai
sejarah sahaja tapi kita mesti melihat Umno kepada konteks masa kini dan akan
datang. Inilah yang saya nak tekankan supaya setiap pemimpin Umno mesti
menghayati dan mencerminkan nilai-nilai kepimpinan yang disenangi oleh rakyat,
dengan itu rakyat akan memberi sokongan yang padu kepada Umno dan Barisan
Nasional.
MEDIAUMNO: Tadi Datuk Seri
ada menyebut tentang perubahan budaya dan sistem nilai yang perlu ada dalam
Umno, perubahan budaya untuk jangka masa ke arah Wawasan 2020 bagaimana yang
Datuk Seri ingin terapkan dalam Umno itu sendiri?
DS NAJIB: Sistem budaya kita
ini sebenarnya tak perlu lari daripada yang asal cuma kita akan tekankan
perkara-perkara yang perlu dalam konteks masa kini dan akan datang, umpamanya
nilai untuk meletakkan kepentingan parti mengatasi segala kepentingan, nilai
kesetiaan pada parti, disiplin, kerja dalam satu pasukan dan sebagainya. Ini
merupakan nilai-nilai sejati yang kita telah bina selama ini, dan perlu
dikekalkan, perlu dipertahankan.
Dalam konteks hari ini nilai
kita yang lama kita kekalkan, nilai yang baru yang meletakkan misalnya
menguasai kemahiran dan keilmuan itu terutama sekali dalam konteks masa kini,
kemahiran ICT umpamanya, kemahiran dalam menggunakan sosial media umpamanya,
kemahiran untuk kita berkomunikasi umpamanya. Ini semua merupakan kemahiran
yang perlu kita hayati, kita pelajari supaya peranan kita sebagai pemimpin
berkesan pada setiap era.
Jadi kalau era dulu, kalau
era mencapai kemerdekaan kita berkesan, era kita untuk mengisi kemerdekaan kita
amat berkesan, era kita untuk membawa perubahan daripada sebuah negara
pertanian kepada sebuah negara perindustrian kita berkesan jadi era kita dalam
abad ke-21 ini, dalam konteks dunia tanpa sempadan, dalam konteks ledakan
maklumat kita juga perlu memperlihatkan keberkesanan kepimpinan Umno.
MEDIAUMNO: Jadi adakah
disebabkan era hari ini Datuk Seri menyebabkan roh dan semangat perjuangan itu
telah mula pudar di kalangan ahli-ahli UMNO. Apa sebabnya Datuk Seri?
DS NAJIB: Ya, ada sedikit
sebanyak sebab unsur bahawa kita ini sudah berjaya, unsur bahawa Umno ini sudah
banyak jasanya jadi ramai orang yang mempunyai kemampuan ekonomi dan
sebagainya. Mereka tidak melihat bahawa matlamat perjuangan itu besar lebih
mengatasi segala-gala perhitungan yang lain. Jadi kalau ada sifat bahawa saya
nak utamakan apa inspirasi saya sebagai individu lebih daripada parti, maka ini
yang akan menimbulkan masalah dalam parti kita. Saya tak kata kita tak boleh
ada cita-cita peribadi, tak boleh ada kepentingan diri tetapi mestilah tidak mengatasi
apa yang penting dan lebih utama adalah parti kita, masa depan parti itu
sendiri.
MEDIAUMNO: YAB
menterjemahkan secara jelas idea-idea baru dan kreatif. Nampak keikhlasan dan
kejujuran YAB Datuk Seri sebagai pemimpin menangani kemelut keresahan rakyat
tetapi ada pandangan ia tidak diterjemah dan mendapat tindakan susulan yang
agresif di peringkat kepimpinan di bawah, ada semacam kelompongan?
DS NAJIB : Ini akan makan
masa sebab jurang antara apa yang kita luahkan sebagai pemimpin dalam bentuk
dasar kita dan juga dalam bentuk panduan yang kita berikan terutama sekali
agenda untuk negara kita dan unsur-unsur pembaharuan untuk mereka memahami dan
menghayati itu akan memakan masa tetapi saya teruja sebab sokongan kepada apa
yang kita nak lakukan seperti Gagasan 1Malaysia dan Rakyat Didahulukan, dan
kita punya GTP, ETP, PTP semuanya ini disokong oleh Umno. Umno tak ada
membantah atau tidak mempersoalkan.
Umno menyokong sepenuhnya
tetapi untuk diterjemahkan dalam bentuk peranan masing-masing dan untuk
menghujahkan bagaimana apa-apa yang kita nak buat dalam bentuk agenda baru
untuk negara itu dapat dilakukan dengan kaedah yang begitu baik sehingga rakyat
umumnya yang di luar parti kita dapat menerima bahawa Umno adalah merupakan
tonggak kepada negara kita dan Umno adalah merupakan sebuah parti yang
benar-benar, satu-satu parti yang boleh membawa negara kita ini ke arah
mencapai Wawasan 2020.
MEDIAUMNO: Adakah YAB Datuk
Seri cukup yakin bahawa rakyat menerima dengan baik segala yang dibuat
sebagaimana Gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Bantuan Rakyat 1Malaysia ini
mendapat respon yang baik daripada rakyat ataupun merupakan satu kesan yang
tidak baik?
DS NAJIB: Saya percaya
rakyat menerimanya dengan baik, dengan positif sebab apabila saya turun padang
berada dalam program berjumpa dengan rakyat, berjumpa dalam tinjauan mesra,
saya melihat bahawa suasana, mood hari ini lebih baik. Saya melihat bahawa
sambutan yang diberikan kepada saya, kepada Timbalan Presiden, kepada
pemimpin-pemimpin lain lebih positif tetapi kita juga harus sedar bahawa
pembangkang begitu aktif, mereka akan menyerang, menyelar kita dan mereka akan
cuba mengalih pandangan kita dengan mempertikaikan apa saja program yang kita
buat dan menimbulkan isu-isu yang tidak sepatutnya dijadikan isu. Jadi dengan
keadaan yang sedemikian kita kena melakukan apa yang patut untuk meyakinkan kepada
rakyat bahawa sebarang unsur negatif dari segi persepsi yang cuba dilontarkan
itu tidak akan diterima oleh rakyat.
MEDIAUMNO : Saya cukup
tertarik apabila soal persepsi ini Datuk Seri. Persepsi palsu yang dibina oleh
pembangkang yang berlawan dengan politik realis BN. Setiap kali BN mengutarakan
program untuk rakyat akan dispin, akan ditukar supaya memberi public opinion
yang silap. Macam mana peranan kita dalam Umno dan kerajaan sendiri untuk
menangani persepsi?
DS NAJIB : Kita kena sedar
bahawa perkara ini sedang dilakukan dengan begitu hebat oleh pembangkang.
Mereka akan cuba putar apa-apa isu kita, mereka akan cuba buat spinning
negative, malah pembohongan akan mereka lakukan untuk menghilangkan keyakinan
rakyat terhadap kerajaan. Umpamanya apabila kita buat BR1M yang begitu popular,
maka mereka kata 'duit ini kita gunakan wang yang dipinjam dari luar negara',
itu satu dakwaan yang tidak bertanggungjawab sama sekali. Sebab itu merupakan
satu dakwaan palsu sama sekali.
Kejayaan kita melaksanakan BR1M
adalah kerana kita berjaya menambahkan hasil negara sebanyak RM26 bilion dalam
masa setahun saja yang merupakan pencapaian tertinggi oleh kerajaan tapi
pencapaian itu tidak diberi kredit, tidak diberi penghargaan oleh mereka tetapi
sebaliknya mereka menuduh kita membuat sesuatu yang berdasarkan kononnya kita
ini kerajaan yang tak bertanggungjawab. Sebenarnya kita tidak begitu.
Merekalah yang menjanjikan
sesuatu yang bersifat populis, begitu juga apabila ada apa-apa mereka cuba
bangkitkan misalnya ada pemimpin tuduh kononnya saya ada mesyuarat dengan
ketua-ketua angkatan tentera nak melakukan sesuatu di luar Perlembagaan
seandainya Umno dan Barisan Nasional kalah. Itu merupakan satu fitnah yang amat
dahsyat tapi mereka sanggup lakukan dakwaan seperti ini semata-mata kalau
mereka tak dapat meyakinkan rakyat sekurang-kurangnya mengelirukan rakyat. Ini
taktik yang digunakan oleh parti pembangkang.
MEDIAUMNO: Tapi sebenarnya
Datuk Seri, mungkin rakyat keliru apabila pembangkang mengelirukan rakyat,
membuat fitnah maka rakyat menjadi tidak ada satu tindakan tegas dan berani
untuk memastikan perkara ini tidak berulang kerana ia berterusan dan
berterusan.
DS NAJIB: Kita ambil
tindakan dalam skop undang-undang yang sedia ada sebab dalam zaman sekarang ini
kita tak boleh nak bertindak dengan tahan orang tanpa ada alasan yang kukuh dan
malah menahan orang tanpa perbicaraan di mahkamah, itu tak boleh kita lakukan
dalam zaman sekarang. Jadi apa-apa yang didakwa oleh mereka itu, kita kena cari
bukti yang cukup dan kita kena sabit di mahkamah. Ini yang jadi kesulitan pada
kita sebab kadang-kadang ia dilemparkan dalam online, apa ayat yang dia susun
itu ialah dengan cara yang kadang-kadang sukar nak ambil tindakan. Walau
bagaimanapun jika ada cukup bukti kerajaan akan ambil tindakan dan siasatan
yang rapi perlu dilakukan terlebih dahulu.
MEDIAUMNO : Kurang daripada
empat tahun pakatan pembangkang memerintah sudah banyak kesilapan dan banyak
berlaku permasalahan. Tetapi masih ada rakyat yang terpedaya dan tidak ambil
peduli langsung tentang landskap politik bahaya yang dimainkan oleh pembangkang
kini. Apa nasihat YAB Datuk Seri kepada janji retorik palsu supaya rakyat tidak
terpedaya dalam kita nak menghadapi PRU-13?
DS NAJIB: Ya, mereka dah
janji begitu banyak untuk meraih sokongan dalam pilihan raya yang lalu. Saya
pun dah katakan macam di Selangor, saya pun dah huraikan banyak perkara yang
mereka janji dan apa yang mereka tak buat dan kita mesti ulang perkara-perkara
ini sebab kalau kita sebut sekali dua, maka ia tak akan masuk dalam kepala
orang ramai tapi kalau kita tekan dan ulang banyak kali maka rakyat akan sedar
bahawa mereka telah ditipu dalam pilihan raya yang lalu dan mereka tak
seharusnya ditipu lagi.
MEDIAUMNO : Mereka
menggunakan fitnah, tipu helah, ancaman kepada kerajaan dan Umno sendiri,
sepanjang mereka berkerajaan di beberapa buah negeri ini adakah Umno telah
berjaya menangkis tipu helah pembangkang ini?
DS NAJIB: Saya lihat memang
ada angin perubahan yang bertiup di negeri-negeri yang mereka kuasai, soalnya
sama ada sudah pun sampai ke peringkat di mana rakyat bersedia menukar dan
kembali kepada Barisan Nasional dan inilah yang mesti kita lipatgandakan usaha
kita untuk kita menerangkan kepada rakyat bahawa mereka sebenarnya tak ada
kemampuan untuk mentadbir negara dan negeri sepertimana yang mereka dakwa.
Janji-janji yang telah mereka buat tidak ditepati. Ini yang mereka patut
tekankan kepada rakyat supaya rakyat pada kesudahannya akan mengadili siapa
yang benar atau sebaliknya.
MEDIAUMNO: Saya ingin
berbalik kepada ulang tahun ke-66 Umno, adakah Datuk Seri melihat ini sebagai
kekuatan parti untuk menghadapi PRU akan datang. Jika benar-benar Datuk Seri
mengumumkan bahawa gendang perang dipalu maka kita benar-benar dapat majoriti
besar dan menawan negeri-negeri yang kalah?
DS NAJIB: Inilah yang saya
tekankan kita tak boleh ada sikap urusan seperti biasa, business as usual, kita
mesti sedar lebih-lebih lagi di negeri yang kita dah kalah. Bahawa kita mesti
buat sesuatu yang luar biasa dari segi strategi kita, kesungguhan kita,
perancangan kita, dari segi program yang kita laksanakan dan juga peranan kita
dalam sosial media online.
Semuanya itu, ialah
menampakkan bahawa kita ini berada sebuah negeri yang kita kalah itu, negeri
yang kalah dan ditawan pembangkang mesti buat sesuatu yang lebih daripada
biasa. Jangan kita nak buat tahap sumbangan kita ataupun tahap yang kita buat
itu mendatar atau biasa. Kalau kita nak menumbangkan kerajaan yang dikuasai
oleh pembangkang di negeri-negeri tertentu, kita mesti berusaha lebih daripada
biasa. Ini mesej saya. Kita mesti bersatu lebih daripada biasa, jadi barulah
kita ada peluang yang baik.
MEDIAUMNO: Adakah Datuk Seri
melihat kita telah melakukan kerja yang lebih daripada biasa dan bersatu lebih
daripada biasa?
DS NAJIB: Kita dah berusaha
dengan gigih tapi saya harap kena tambah lagi. Saya merupakan seorang manusia
yang tak puas hati. Bukan bererti bahawa kita tak melakukan, dah melakukan,
mungkin lebih daripada biasa tapi kita tak pernah berdepan dengan senario di
mana kita tewas lima buah negeri, sekarang tinggal empat dalam tangan
pembangkang. Jadi apa yang kita lakukan mesti lagi ditingkatkan lagi.
MEDIAUMNO: Untuk Hari Umno,
bagaimana Datuk Seri melihat tema Hari Umno itu sendiri iaitu 'UMNO Pembela
Rakyat'?
DS NAJIB : Sesuai dengan
falsafah Gagasan Rakyat Didahulukan, maknanya kita nak ketengahkan dan kita
ingatkan bahawa Umno adalah parti yang membela rakyat selama ini dan jasa kita
terlalu besar. Ini yang kita nak tekankan dan terapkan dan di samping itu mengingatkan
kepada ahli kita bahawa apa yang kita nak lakukan itu mesti kita konsisten,
istiqamah supaya dengan kedudukan kita itu, rakyat akan lebih yakin kepada Umno
dan Barisan Nasional.
MEDIAUMNO : 66 Tahun ulang
tahun Umno, tak boleh nafikan hubungan Umno dengan parti-parti komponen, MCA,
Gerakan dan lain-lain. Jadi bagaimana cara kita nak pastikan bahawa hubungan
ini terjalin dengan ikhlas dan benar-benar jujur berbanding dengan hubungan
antara parti-parti pembangkang?
DS NAJIB : Kita punya
hubungan berdasarkan kepada falsafah dalam Barisan Nasional dan amalan dalam
Barisan Nasional. Kita memang serasi dalam hubungan antara parti-parti komponen
dalam Barisan Nasional. Kita ini merupakan satu pakatan yang berpaksi kepada
realiti dan hakikat. Kita tidak bersandiwara kepada rakyat, salah satu daripada
sandiwara yang besar yang dilakukan oleh pembangkang ialah bahawa sehingga ke
hari ini walaupun empat tahun sudah berlalu tetapi mereka tak dapat lagi
membentuk 'shadow cabinet' dalam pembangkang walaupun mereka uar-uarkan nak
wujudkan two party system dalam negara kita tetapi mereka gagal untuk
memaparkan kepada rakyat satu kabinet bayangan.
Jadi kalau dalam pembangkang
lagi di peringkat nasional mereka gagal untuk berbuat demikian macam mana
mereka nak ada keyakinan bahawa mereka boleh tawan Putrajaya dan mereka boleh
mentadbir negara kita dengan jayanya. Soalnya bukan nak menang pilihan raya
saja tapi soalnya nak mentadbir negara kita melakukan lebih baik untuk negara
kita. Ini persoalan besar. Jadi kalau pengundi nak buat penilaian mereka harus
sedar bahawa apa yang mereka patut hitungkan bukan siapa yang patut berada di
Putrajaya tapi sebenarnya siapakah yang boleh membawa negarakita, memimpin
negara kita dalam tempoh lima tahun akan datang yang akan membawa lebih banyak
kebaikan kepada negara kita.
MEDIAUMNO : Hasil hubungan
Umno dengan parti-parti komponen ini jelas membuktikan bahawa Umno ini bukanlah
sebuah parti yang rasis dan memperjuangkan secara ekstren kehendak orang-orang
Melayu.
DS NAJIB : Umno tak pernah
ekstrem daripada dulu lagi, kita telah bersikap bertolak ansur dan inklusif
dengan kaum-kaum lain. Sebab itulah kita telah berjaya dalam 12 pilihan raya.
Walaupun kita mengalami apa yang disifatkan sebagai tsunami politik pada 2008
tapi kita akan mempelajari, menyedari akan kalau ada kesilapan kita mesti
akuinya maknanya mesti muhasabah, yang mana ia telah kita lakukan dan kita
mesti berani membuat perubahan dalam parti kita dan kerajaan telah pun
membentangkan apa pembaharuan untuk rakyat dan sekarang ini kita masuk dalam
peringkat di mana segala-gala pembaharuan yang kita telah dan sedang lakukan
itu mestilah kita dapat meyakinkan rakyat. Maknanya kebolehan kita untuk
berkomunikasi dengan berkesan kepada rakyat, supaya rakyat akan sedar bahawa
agenda trasformasi nasional kita adalah yang terbaik untuk rakyat dan masa
depan negara kita.
MEDIAUMNO : Datuk Seri
sekarang ini sedang berlangsungnya larian Umno yang diadakan serentak di
beberapa zon iaitu larian bendera Umno, jadi adakah Datuk Seri sendiri melihat
ada gelombang iaitu rakyat kepada kembali kepada Umno dan menyokong kepimpinan
BN?
DS NAJIB : Ya, memang saya
lihat ada angin perubahan ke arah Umno dan Barisan Nasional termasuk di
negeri-negeri yang kita kalah cuma saya harap bahawa momentum ini mesti kita
perhebatkan lagi. Jadi jangan kita rasa kemenangan dalam tangan kita, tak boleh,
dalam minda kita mesti ada selagi kita merasakan boleh selagi belum sampai
kepada hari mengundi selagi itu saya ada yang boleh saya lakukan, masih ada
banyak cara yang boleh saya lakukan dan saya mesti melihat daripada semua
sudut, maknanya semua pemimpin Umno mesti bersikap sedemikian.
MEDIAUMNO: Datuk Seri,
sambutan ulang tahun Umno kali ini dibuat secara besar-besaran dan dalam tempoh
masa yang panjang, jadi adakah dengan sambutan ini bermakna tempoh pilihan raya
sudah dekat atau ia adalah untuk mengingatkan perjuangan Umno itu sendiri Datuk
Seri?
DS NAJIB : Saya melihat Hari
Umno tarikh lahir, hari jadi Umno yang ke-66 ini satu ketika yang amat sesuai
sebab kita dah lama tak buat satu perhimpunan secara raksasa maknanya timely,
masanya sesuai untuk kita dan semua orang tahu bahawa pilihan raya tak lama
lagi jadi eloklah kita paparkan kepada rakyat apakah jasa Umno selama ini,
kekuatan kepada Umno itu mestilah kita perlihatkan dan kita mesti menunjukkan
bahawa kita buat satu perhimpunan dalam keadaan yang aman dan kita menghormati
undang-undang negara kita walaupun ribuan ahli Umno akan berhimpun tetapi ia
tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, kepada negara kita. Umno
akan bersikap menjunjung prinsip undang-undang negara kita ini, keluhuran
Perlembagaan dan undang-undang.
MEDIAUMNO : Kemuncak Hari
Umno adalah perhimpunan besar-besaran di Stadium Nasional Bukit Jalil, jadi apa
nasihat dan saranan YAB Datuk Seri kepada semua ahli-ahli Umno yang akan
berkampung di Bukit Jalil?
DS NAJIB : Saya ingin
mengingatkan kepada kita, kepada ahli-ahli Umno bahawa ini satu parti keramat
orang Melayu, kita mesti ada rasa kebanggaan tentang Umno bahawa kita adalah
menjadi ahli kepada keluarga sebuah parti yang terbesar dalam negara kita,
jangan kita rasa terhina, jangan kita rasa tertekan bahawa segala-gala yang
dikecapi oleh negara ini bahawa pada hakikatnya adalah jasa yang disumbangkan
oleh Umno, oleh pemimpin-pemimpin Umno, besar dan kecil selama ini.
Kita mesti menganggap bahawa
perhimpunan raksasa ini adalah perhimpunan ini adalah tanda kekuatan kita dan
kita akan mara ke hadapan dengan satu barisan yang ampuh, dengan komitmen yang
jitu dan insya-Allah berbekalkan semangat yang baru ini kita akan mencapai
kemenangan yang besar dalam pilihan raya akan datang.
MEDIAUMNO: Terima kasih
Datuk Seri dan tahniah sekali lagi. Semoga kita akan beroleh kemenangan yang
besar dalam pilihan raya akan datang.
It is important for the government and all its component parties to be united, so that they can move together towards the same goals.
ReplyDeleteGood luck to the BN government during the next General Elections.
ReplyDeleteUMNO mempunyai ahli yang amat ramai, ia mmg parti yang amat besar. semoga UMNO akan terus dalam perjuangannnya.
ReplyDeleteKeahlian UMNO bukan hanya terdapat di Malaysia saja. memang tidak hairan ahlinya boleh mencapai 3.3 juta.
DeleteKepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan Umno perlu membuka pintu seluas-luasnya untuk golongan profesional cerdik pandai menyertai parti itu dan seterusnya diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya umum.-Dr M
ReplyDeleteTerbesar itu bukannya pengukur segalanya. Yang penting sekali adalah usaha yang dibuat oleh BN itu.
ReplyDeletePenerimaan rakyat adalah penting untuk mengukur pencapaian kerajaan Umno. Oleh tu utamakan rakyat dalam soal negara
DeleteMandat yang diberi oleh rakyat jangan disia-siakan. Pergunakan sebaik mungkin untuk membela nasib rakyat M'sia
ReplyDeleteumno adalah parti terbesar yang mana bila2 masa mereka boleh menurunkan jutaan penyokong2nya untuk melancarkan perhimpunan di negeri2 Pakatan untuk mendesak kerajaan negeri itu supaya tidak sewenang2nya menggunakan dana awam untuk membiayai kos guaman pemimpin2 mereka dan untuk membiayai peserta2 perhimpunan..
ReplyDelete