Saturday 18 June 2011

PENDAKWARAYA ‘HANTU’ DI MAHKAMAH KANGAROO?



Oleh : ZULKARNAIN ISMAIL

BATANG hidungnya patah, mukanya cedera parah dibelasah, nyawanya terancam, dia dan dua orang rakannya dikurung dan diugut untuk dibunuh, kad pengenalannya dirampas oleh anak Ahli Parlimen Malaysia (Labuan), Yusaini Bin Datuk Yusof Mahal; tetapi Pendakwa Raya memaklumkan kepadanya mereka kalah dalam perbicaraan di Mahkamah Majistret Labuan dan hanya berjanji akan membuat rayuan.

Demikianlah keterangan ringkas seorang Pengarah Urusan Utara Kita Sdn.Bhd, Hanizam Rasiol Bin Mohammad, 49, (gambar atas) bekas rakan kongsi Ahli Parlimen Malaysia (Labuan) Datuk Yusof Bin Mahal yang menyerahkan sahamnya kepada anaknya, Yusaini, sebelum menubuhkan syarikat baru, Labindo Engineering Sdn.Bhd.

“Saya tidak sangka begini balasan budi Yusaini terhadap saya, sedangkan syarikat ini milik saya dan bapa saudara saya, Dato’ Zainol Abidin Abdul Hamid sebelum bapanya, Yusof Mahal menyertai syarikat ini tanpa sebarang bayaran,” ujar Hanizam yang mengakui pernah membantu Yusof Mahal sejumlah RM300,000 ketika Yusof menghadapi masalah kewangan.

PATAH....Hanizam menunjukkan filem X-Ray tulang hidungnya patah dan perlu dibedah.

Menurut Hanizam, seorang Pengarah Jabatan Kejuruteraan dan Projek Perbadanan Labuan, Ir Ahmad Khir Haji Mohammad turut bersubahat dengan Yusaini kerana berpura-pura tidak mengenali beliau dan sedangkan kehadiran beliau ke mesyuarat tersebut yang hampir menjadi ‘Pintu Kubur’ beliau jika polis lewat sampai adalah atas jemputan Perbadanan Labuan.

Kata Hanizam, Ahmad Khir telah menghantar surat jemputan kepada beliau melalui surat PL/BPK/300-9/304 (38) bertarikh 24 April 2009.

“Saya amat kesal kerana Yusof Mahal menggunakan lesen PKK saya tanpa pengetahuan saya untuk mendapatkan projek ‘Cadangan Kerja Tanah Untuk Tapak Kompleks Komersial Bumiputera, Kompleks Letak Kereta Bertingkat Dan Esplanade Diteluk Victoria WP Labuan’ yang hanya terbongkar setelah projek berkenaan tergendala enam bulan dan Perbadanan Labuan mahu menamatkan kontrak dan menyenarai hitamkan syarikat saya,” ujar Hanizam yang kesal kerana lesen PKKnya telah dibatalkan akibat projek yang diperoleh tanpa pengetahuannya.

Kata Hanizam, Yusaini telah menandatangani dokumen tender berkenaan berharga RM8,199,690 dengan disaksikan isteri Yusaini, Noriza (tiada jawatan dalam Utarakita Sdn.Bhd) tanpa sebarang resolusi mesyuarat dan di luar pengetahuan Hanizam sebagai Pengarah Urusan.

Kehadiran Hanizam dan dua konsultannya menyebabkan Yusaini marah dan bertindak di luar kawalan sehingga menyerang dan mencederakan mereka tanpa belas ehsan, malah Hanizam dan rakannya hampir dibunuh semata-mata kerana ‘mencampuri’ urusan Yusaini.

“Saya tidak tahu apa puncanya saya kalah, tetapi kata Pendakwaraya hanya masalah teknikal, terutama laporan perubatan dan saksi,” kata Hanizam yang kesal kerana Pendakwaraya, Aida Bt Jaafar Mad Ariff daripada Jabatan Peguam Negara sentiasa berdalih ketika beliau meminta salinan keputusan mahkamah dan rayuan yang kononnya difailkan.

Sebelum kesnya dibawa ke Mahkamah oleh Pendakwaraya, Hanizam memaklumkan bahawa Peguamnya, Salehuddin Saidin & Associates telah mengemukakan notis tuntutan sejumlah RM5 juta kepada Yusaini terhadap serangan fizikal yang dilakukannya, tetapi diabaikan.

Akibat daripada serangan ganas tersebut, Hanizam bukan sahaja mengalami trauma, kehilangan pendapatan kerana lesen PKKnya disenarai hitam; malah memerlukan antara RM18,000 hingga RM30,000 untuk membetulkan tulang hidungnya yang patah kerana di belasah Yusaini.

TERBENGKALAI....Inilah projek terbengkalai yang menggunakan lesen Utara Kita Sdn.Bhd.

“Saya tidak tahu sama ada saya diwakili Pendakwaraya atau ‘Hanturaya’ kerana seolah-olah berada di Mahkamah Kangaroo,” kata Hanizam dengan nada kesal kerana akibat kecuaian Pendakwaraya, beliau mengalami kerugian yang besar dan menjadi mangsa birokrasi.

Hanizam kesal kerana penjenayah sebenar bebas, sedangkan beliau menanggung penderitaan dan kehilangan segala-galanya termasuk hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan gantirugi.

Mengikut rekod, Hanizam telah membuat laporan polis di Balai Polis Labuan melalui laporan bernombor Labuan/002254/09 pada jam 0308 am pada 29/04/2009 setelah polis mengambil kenyataannya dan laporan diterima oleh Konstabel Awg Edrusli Bin Awg Damit seperti berikut;

Pada 28/04/2009 jam lebih kurang 2.45 petang, bertempat di pejabat Labindo terletak di Bestari Warehouse WP Labuan semasa menghadiri mesyuarat tapak projek yang bernama ‘Cadangan Kerja Tanah Untuk Tapak Kompleks Komersial Bumiputera, Kompleks Letak Kereta Bertingkat Dan Esplanade Diteluk Victoria WP Labuan.’

Seperti di alamat di atas, saya bersama (2) rakan sekerja saya penama Zahrol Azhar bin Zuhri @ Darmo KPT: 690613-08-6275 dan Muhammad Shukri bin Abdullah KPT 471004-12-5013, semasa berada di bilik mesyuarat tersebut kami telah memperkenalkan diri kepada Pengerusi Mesyuarat, Encik Ahmad Khir daripada Perbadanan WP Labuan dan ahli-ahli mesyuarat yang lain yang mana saya sebagai Pengarah Urusan syarikat Utara Kita (M) Sdn Bhd hadir untuk membincangkan cara menyelesaikan masalah projek yang terbengkalai selama (6) bulan yang dikendalikan oleh syarikat Utara Kita (M) Sdn Bhd.

Syarikat kami di Kuala Lumpur telah dijemput untuk hadir oleh pihak Perbadanan Labuan. Setelah beberapa minit mesyuarat dijalankan Encik Yusani Bin Datuk Yusof Mahal keluar daripada bilik mesyuarat dan selang berberapa minit beliau masuk semula dan mengarahkan sesiapa yang tidak berkenaan keluar daripada bilik mesyuarat.

Saya mengarahkan (2) orang rakan sekerja saya keluar daripada bilik mesyuarat bagi meneruskan mesyuarat tersebut. Apabila (2) orang sekerja saya keluar daripada bilik mesyuarat tersebut, Encik Yusaini pun keluar sekali.

Semasa saya berbincang dengan Pengerusi Encik Ahmad Khir untuk menjelaskan dan menyelesaikan masalah projek tergendala, Encik Sukri telah datang dan memberi tahu kepada saya yang mana Encik Zahrol telah dipukul oleh Encik Yusaini Datuk Yusuf Mahal dan saya terus keluar untuk mententeramkan dan meleraikan keadaan dan tanya kenapa Encik Zahrol dipukul dan tiba-tiba Encik Yusaini Datuk Yusuf Mahal terus menghantuk kepala beliau ke dahi saya hingga berdarah dan memukul saya serta maki hamun.

Encik Yusaini Datuk Yusuf Mahal memaksa kami menyerahkan kad pengenalan kami bertiga dan mengatakan dia tidak membenarkan kami keluar dari pejabat Labindo dan juga tidak membenarkan kami meninggalkan Pulau Labuan.

Kami bertiga dikunci dalam pejabat dan Encik Yusaini Datuk Yusuf Mahal mengarahkan Encik Mohd Syukri menyerahkan kad pengenalan kepada beliau dan semasa beliau minta kad pengenalan Encik Zahrol, beliau memegang serpihan kaca.

Kemudian Encik Zahrol menyerahkan kad pengenalan kepada salah seorang yang ada di situ dan menyerahkan kad pengenalan Encik Zahrol kepada Encik Yusaini Datuk Yusuf Mahal.

Selepas mengambil kad pengenalan kedua-dua rakan sekerja saya, tiba-tiba beliau datang kepada saya dan memaksa saya menyerahkan kad pengenalan saya kepada beliau sambil mencurahkan teh panas ke badan saya dan mengugut akan melakukan perkara yang lain sekiranya saya tidak menyerahkan kad pengenalan saya kepada beliau.

Untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, sayapun serahkan kad pengenalan saya kepada Encik Yusaini Datuk Yusuf Mahal sendiri demi keselamatan kami bertiga.

Selepas saya menyerahkan kad pengenalan saya kepada Encik Yusaini Datuk Yusuf Mahal, beliau memukul saya lagi mengunakan lutut di muka sehingga hidung saya patah dan berdarah sambil mengeluarkan kata-kata ugutan akan mencederakan kami dengan banyak lagi sehingga berliau berkata kepada kepada orang-orang beliau untuk membawa kami ke gudang kosong dan mengatakan, "apa akan jadi, jadilah.”

Pada saya ugutan tersebut akan mengancam nyawa dan rakan sekerja saya. Semasa saya bersama (2) orang rakan sekerja saya hendak dibawa beredar daripada pejabat tersebut, pihak polis sampai dan dapat meredakan keadaan.

Kami dibawa oleh pihak polis menaiki kereta peronda ke Balai Polis WP Labuan. Apabila sampai di Balai Polis WP Labuan, Inspektor Normazira dan Chif Inspektor Uzaini mengarahkan kami bertiga mendapatkan rawatan di Hospital Labuan dan diiringi oleh anggota polis.

Setelah mendapatkan rawatan, kami bertiga datang kembali ke Balai Polis WP Labuan untuk membuat laporan polis. Laporan polis dibuat adalah untuk tindakan pihak polis dan meminta perlindungan keselamatan diri kami bertiga dan memintak pihak polis untuk mendapatkan kembali kad pengenalan kami bertiga yang telah diambil oleh Encik Yusaini Datuk Yusuf Mahal. Sekian laporan saya.

Sementara itu, berikut merupakan rakaman percakapan dalam pemeriksaan Polis yang dicatat oleh Inspektor Normazira Binti Mohamed Nor di Pejabat Pegawai Penyiasat, Balai Polis Labuan pada jam 11.45 malam di bawah Seksyen 112 (iv) Kanun Tatacara Jenayah.

Bagi Menjawab Soalan Saya (Normazira):

Saya dilahirkan di Pulau Pinang. Saya tinggal di Subang Jaya, Selangor. Saya merupakan Managing Director kepada syarikat pembinaan UtaraKita sejak tahun 1995.

S: Apakah yang mahu kamu ceritakan kepada saya?

J: Pada bulan March 2009 (tarikh tidak ingat), saya telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif iaitu Dato' Basiran dan memaklumkan beliau bahawa saya adalah Managing Director kepada Utara Kita (M) Sdn. Bhd untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan status projek. Dato Basiran telah meminta kepada saya supaya berurusan dengan Encik Ahmad Khir.

Saya kemudiannya telah berhubung dengan Encik Ahmad Khir untuk mengetahui status projek yang tergendala selama 6 bulan. Saya telah memberitahu beliau saya mahu melihat dokumen mengenai projek cadangan kerja tanah untuk tapak ‘Kompleks Komersial Bumiputera, Kompleks Letak Kereta Bertingkat Dan Esplanade di Teluk Victoria, Wilayah Persekutuan Labuan’.

Seminggu selepas itu, saya dan juga Encik Zahrol telah datang ke WP Labuan dan berjumpa dengan Encik Ahmad Khir di Pejabat Perbadanan Labuan untuk mendapatkan dokumen tender dan surat-surat berkenaan projek tersebut untuk menganalisa perihal projek yang telah terbengkalai.

Pada awal bulan April, saya bersama Encik Zahrol dan Encik Mohd Shukri Abdullah telah membincangkan berkaitan projek tergendala. Encik Ahmad Khir ada memberitahu saya bahawa satu mesyuarat tapak akan diadakan pada 28/04/2009 jam 2.30 petang bertempat di Labindo Office, Bestari Ware House, WP Labuan dan saya memaklumkan beliau saya mahu hadir di mesyuarat tersebut untuk mengetahui berkenaan projek tersebut dan beliau tidak ada apa-apa halangan dan saya wajib datang untuk menghadiri mesyuarat tapak tersebut.

Pada 28/04/2009 jam lebih kurang 2.45 petang, saya bersama Encik Zahrol dan juga Encik Mohd Shukri telah datang ke Labindo Office untuk menghadiri mesyuarat tapak.

Kemudian semasa kami berada di bilik mesyuarat Labindo Office, setelah perkenalkan diri saya dan juga Encik Zahrol dan Encik Mohd Shukri, tiba-tiba Yusani keluar dari bilik mesyuarat dan tidak lama kemudian beliau masuk semula dan protes serta beritahu sesiapa yang tidak berkenaan diminta keluar dari bilik mesyuarat.

Saya kemudiannya mengikut arahan telah menyuruh Encik Zahrol dan Encik Mohd Shukri keluar dari bilik mesyuarat kerana mahukan semua berjalan lancar. Apabila Encik Zahrol dan Encik Mohd Shukri keluar, Encik Yusani turut keluar daripada bilik mesyuarat.

Semasa saya sedang berbincang dengan Encik Ahmad Khir, Encik Mohd Shukri beritahu saya Yusani memukul Zahrol. Saya kemudiannya terus keluar dari bilik mesyuarat dan berada di ruang legar pejabat, saya mendapati Yusani sedang memukul Zahrol bertubi-tubi, saya cuba meleraikan keadaan tetapi saya sendiri di pukul oleh Yusani.

Yusani telah menghantukkan kepalanya ke arah dahi saya. Tumbuk di bahagian hidung saya sehingga hidung saya patah. Semasa saya di ruang tamu pejabat, beliau menggunakan lutut untuk menghentam muka saya.

Yusani telah memaksa kami menyerahkan kad pengenalan milik kami dan memberi amaran tidak meninggalkan pejabat dan juga pulau Labuan dan pada masa yang sama beliau telah menyimbah teh panas ke arah badan saya.

Kemudian Yusani telah memberi amaran kepada kepada kami semua tidak boleh keluar dari pejabat tersebut dengan mengunci pintu dan grill pintu pejabat. Beliau sendiri juga telah mencederakan tangannya sendiri dengan menghentak replika kapal. Kemudian beliau memanggil kawan-kawan beliau dan cakap beliau mahu bawa kami ke gudang untuk memukul kami.

Jam lebih kurang 4.45 petang, polis datang ke pejabat tersebut dan meredakan keadaan. Kemudian saya, Zahrol dan juga Encik Mohd Shukri di bawa ke balai untuk tindakan selanjutnya.

S: Apakah punca kamu dan kawan kamu dimarahi dan di pukul oleh penama Yusani?

J: Beliau tidak berpuas hati, saya membawa Zaharul dan Mohd Shukri masuk ke dalam mesyuarat tersebut kerana beliau benarkan saya seorang sahaja untuk memasuki ke dalam mesyuarat tersebut.

S: Kenapa beliau tidak berpuashati?

J: kerana beliau tidak mengenali Zahrol dan juga Mohd Shukri.

S: Adakah Zahrol dan Mohd Syukri pekerja kamu?

J: Beliau adalah consultant kepada saya.

S: Apakah yang digunakan untuk memukul kamu?

J: Tangan dan kaki

S: Adakah beliau ada mengunakan apa-apa senjata?

J: Tidak ada.

S: Apakah kecederaan yang kamu alami?

J: Saya telah mengalami bengkak di bahagian dahi dan patah batang hidung.

S: Siapakah saksi yang Nampak kejadian itu?

J: Staff di Labindo, Khairul dan Zahrol, Mohd Syukri dan Syaiful adik kepada Yusani dan ramai lagi orang-orang yang berada di pejabat tersebut termasuk juga individu yang menghadiri mesyuarat tersebut

S: Ada apa-apa lagi yang mahu kamu tambah dalam percakapan kamu?

J: Yusani mengatakan ada CCTV di dalam pejabat beliau yang boleh menjadi saksi.

S: Adakah keterangan yang kamu berikan ini adalah benar?

J: Ya

Rakaman percakapan selesai pada 29/04/2009 jam lebih kurang 0045 hrs. Percakapan dibacakan semula dan pengadu turunkan tandatangan.

11 comments:

  1. Apa cerita di sebelah pihak Yusaini pula?

    ReplyDelete
  2. harap pembelaan yang adil dapat dilakukan. jangan hanya kerana anak Ahli Parlimen maka Yusaini boleh terlepas daripada kesalahannya. status seseorang tidak akan kebal dengan undang-undang.

    ReplyDelete
  3. Siasatan biarlah telus. Kalau hari ini si pesalah boleh terlepas, akan datang lebih banyak jenayah yang akan dilakukannya.

    ReplyDelete
  4. harap kebenaran akan diketahui nanti dan pihak yang bersalah akan mendapat hukuman.

    ReplyDelete
  5. dimana kredibiliti pihak pendakwaraya yang sepatutnya memberi keadilan kepada mangsa?? sudah terang lagi bersuluh siapa sebenarnya yang salah dalam hal ini.. bagaimana kami sebagai rakyat mahu mempercayai keadilan di negara ini jika keadilan hanya diberikan kepada pihak2 tertentu?? saya harap pemimpin2 negara, ketua polis negara dan sprm masuk campur memandangkan pendakwaraya tidak boleh diguna pakai.

    ReplyDelete
  6. Kes ini seharusnya dikaji semula. Kesian yang tidak bersalah tetapi terpaksa menanggung kesensaraan.

    ReplyDelete
  7. Setuju judas, apa pula cerita di pihak Yusaini. dengar cerita dari kedua-dua pihak sebelum buat andaian:P

    ReplyDelete
  8. Apapun, harap hal ini dapat ditanggani segera.

    ReplyDelete
  9. Mahkamah haruslah adil dalam pembicaraan. keadilan harus ditegakkan.

    ReplyDelete
  10. Bukan ini satu jenayah yang besar. Harap pihak polis ditidak duduk diam dan dianggap sebagai berat sebelah. Hanya kerana anak Ahli Parlimen Malaysia (Labuan) polsi tidak berani bertindak dengan seadilnya.

    ReplyDelete
  11. Harap kebenaran akan didedahkan.

    ReplyDelete